Thursday, 16 May 2013

ESTETIK DALAM KARYA AGUNG



1.0 PENGENALAN

Istilah estetika berasal dari bahasa Latin “aestheticus” atau bahasa Yunani “aestheticos” yang bersumber dari kata “aithe” yang berarti merasa. “Estetika dapat didefinisikan sebagai susunan bahagian dari sesuatu yang mengandung pola. Pola mana mempersatukan bagian-bagian tersebut yang mengandung keselarasan dari unsur-unsurnya, sehingga menimbulkan keindahan.” (Effendy, 1993)

Terdapat beragam ajaran klasik mengenai estetika yang perlu dimuatkan sebagai landasan penelitian ini, namun sebisa mungkin tidak terlalu menyimpang jauh dari tujuan komunikasi dan metod analisis, sebagai berikut.

Pandangan Plato tentang keindahan dapat dibagi menjadi dua. Yang satu tentang dunia idea, sedangkan yang lain nampaknya lebih membatasi diri pada dunia yang nyata. Pandangan kedua menyatakan bahawa yang indah dan sumber segala keindahan adalah yang paling sesderhana, yang dimaksud “sederhana” adalah bentuk dan ukuran yang tidak diberi batasan lebih lanjut berdasarkan sesuatu yang “lebih sederhana” lagi. Oleh sebab itu, keindahan seperti ini bersifat terpilah-pilah. Keindahan seperti ini hanya dapat ditunjukkan, misalnya warna merah. Kendatipun, yang majmuk juga dapat dialami sebagai sesuatu yang indah, jika tersusun secara harmonis berdasarkan sesuatu yang betul-betul sederhana.

Pandangan lainnya yang mendekati pandangan kedua dari Plato tersebut adalah dari Aristoteles yang menyebutkan bahwa keindahan menyangkut keseimbangan dan keteraturan ukuran, yakni ukuran sesuatu bahan. Pandangan ini, menurut Aristoteles, berlaku untuk benda-benda alam ataupun untuk karya seni buatan manusia. Karya seni yang dibicarakan Aristoteles terutama karya sastra dan drama. Ia membicarakan karya drama terutama dalam bentuk tragedi seperti dipentaskan diiringi dengan musik dan tarian, titik pangkal pandangan Aristoteles ialah bahawa karya seni harus dinilai sebagai suatu tiruan dunia alamiah dan dunia manusia.

 Pengertian berikutnya yang lebih membukakan jalan bagi perkembangan moden, adalah beberapa rumusan keindahan yang datang dari Thomas Aquinas. Menurut beliau, “keindahan berkaitan dengan pengetahuan; kita menyebut sesuatau indah jika sesuati itu menyenangkan mata sang pengamat, dan mencoloknya peranan subjek.”

2.0 ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

2.1 Estetik Dalam Gaya Bahasa


              Dalam teks hikayat, unsur-unsur keindahan bahasa diaplikasikan untuk menyalurkan pemikiran dan pandangan terhadap sesuatu tema dan persoalan.. Unsur bahasa dalam sesebuah teks hikayat tidak secara langsung menjadi cerminan jati diri penulis kerana khalayak dapat mengenali diri pengarang melalui penggunaan gaya bahasa dalam teks yang dihayati. Antara beberapa contoh unsur bahasa yang sering didapati dalam teks hikayat ialah metafora, personifikasi, simile, hiperbola, simbolik, repitisi dan sebagainya. Unsur bahasa ini digunakan dalam teks hikayat bagi menimbulkan keindahan luaran dan kepelbagaian maksud cerita. Seni keindahan bahasa atau estetik dalam sastera hikayat dapat diperhatikan melalui gambaran perlukisan taman-taman, kejelitaan puteri, keindahan pakaian dan sebagainya oleh pengarang teks hikayat. Dalam Hikayat Inderaputera umpamanya, pengarang telah menggunakan dan memanipulasikan unsur bahasa bagi membentuk cerita. Di antara gaya bahasa tersebut ialah unsur personifikasi yang digambarkan dalam satu babak sewaktu Indraputra sedang menikmati keindahan Bukit Permata. Gambaran tersebut dinyatakan oleh pengarang seperti berikut:

Seketika lagi bukit permata itu pun berdengung-dengunglah seperti bunyi buluh perindu, terlalulah indah bunyinya itu. Maka Indraputra pun duduk seketika, maka ia pun segeralah berjalan daripada itu. Sebermula jikalau lain daripada Indraputra nescaya tinggallah ia di sana dengan sebab bunyinya itu, demikianlah adanya.
                                                                                                                     (Hikayat Indraputra)


Personifikasi dalam ayat di atas ialah pada "bukit permata itu pun berdengung-dengunglah seperti buluh perindu". unsur perorangan telah diberikan kepada bukit permata bagi memberi gambaran keindahan pada bukit tersebut. Dalam Hikayat Indraputra juga, pengarang telah memperlihatkan rasa kagumnya terhadap kejelitaan Puteri Candera Lela Nur Lela yang tiada tolok bandingnya seperti berikut:

Maka tuan puteri pun tersenyumlah seraya memandang ke bawah mahligai itu. Maka anak raja itu pun memandang ke atas. Maka sama terpandang muka tuan puteri Candera Lela Nur Lela dengan anak raja itu. Maka anak raja itu pun seperti lenyaplah rasanya ia dalam laut berahi itu, sebab terlalu elok rupanya tuan puteri itu. Kalakian maka anak raja itu pun tergelincirlah kakinya itu daripada yang keemasan itu, lalu jatuh ke atas tangganya pedang itu. Maka jadilah penggal dua tubuhnya itu lalu mati.
                                                                                                                 (Hikayat Indraputra)

Dapat diperhatikan pada petikan di atas keindahan dalaman dan luaran yang hendak disampaikan oleh pengarang. keindahan luaran yang meliputi estetik bahasa digambarkan melalui penggunaan unsur-unsur dan gaya bahasa dan penyampaian bahasa. dalam petikan Hikayat Indraputra di atas, terdapat penggunaan gaya bahasa metafora, iaitu pada perkataan "laut berahi". Selain itu terdapat juga penggunaan gaya bahasa repetisi, iaitu pengulangan perkataan "maka" dalam Hikayat Indraputra tersebut. Repetisi yang digunakan oelh pengarang V.I Braginsky menjelaskan bahawa frasa-frasa yang akan diawali dengan kata penghujung "maka" dalam Hikayat Melayu, disifatkan seakan-akan mencontohi model umum sastera naratif Arab Parsi yang bersifat prosa. Unsur keindahan dalaman pula meliputi estetik perutusan tergambar pada pemikiran pengarang yang sejajar dengan kebenaran, iaitu antara ajaran Islam dengan realiti.


Dalam Sejarah Melayu, penggunaan simile yang digunakan oleh Tun Seri Lanang memberikan nilai estetik yang tersendiri kepada Sejarah Melayu. Dalam ayat dibawah, penggunaan simile yang digunakan oleh pengarang menimbulkan keindahan dengan membandingkan dengan benda lain yang mempunyai perumapaan yang lebih menarik yang membawa maksud yang sama. Perkataan ’seperti’ yang digunakan menunjukkan penggunaan gaya bahasa simile dalam karya agung Sejarah Melayu dan menimbulkan nilai keindahan pada karya tersebut.

'Seperti ular berbelit-belit lakunya'
                                                                                                                    (Sejarah Melayu. hlm 175)

'Baginda pun melambung-lambung dirinya seperti ayam disembelih'                                                                                                                                                                    (Sejarah Melayu, hlm 176)

Selain itu, penggunaan gaya bahasa hiperbola dalam sesebuah karya agung mampu menjadikan karya tersebut indah. Hiperbola merupakan sesuatu perlabangan yang berlebihan. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, pengguanaan hiperbola dimasukkan bagi memperhebatkan lagi penceritaan tentang mitos dan kehebatan peperangan antara garuda dan anak raja Rom itu sendiri. Hiperbola diperlihatkan ’ maka geruda pun datanglah seperti ribut taufan yang besar..’ bagi menunjukkan kehebatan serangan daripada burung garuda tersebut. Dengan itu, penceritaan lebih indah dengan menggunakan unsur hiperbola tersebut dengan menjadikan penceritaan lebih hebat.


Hatta, tiada berapa lamanya berlayar, adalah kira-kira sehari semalam lagi hendak ke Pulau Langkapuri itu, maka terlihatlah kepada burung geroda angkatan pelayaran anak raja itu, lalu dinantikan hari malam. Setelah itu bahtera Raja Merong Mahawangsa singgah kepada suatu pulau mengambil air kayu. Maka geroda pun datanglah seperti ribut taufan yang teramat besar, menyambar dan memukul dengan sayapnya dan menendang kakinya kepada bahtera anak raja Rom itu hingga habislah karam tenggelam segala kapal dan keci itu, orang pun banyaklah mati daripada yang hidup, bertaburan sepanjang laut itu...
                                                                                                          (Hikyat Merong Mahawangsa)


2.2 Estetik Dalam Nilai Keislaman 

Estetika Islam juga turut ditonjolkan dalam kebanyakkan karya agung Melayu. Unsur keindahan ini dapat dilihat pada setiap permulaan sesebuah karya agung. Contohnya dalam karya agung Bustan al-Katibin karya Raja Ali Haji. Pada permulaan kitab tersebut dimulai dengan memuji kebesaran Allah dan Nabi Muhammad.

Al-hamdulillahi ladzhi akhraja bi’ibadi mina ‘l-jahili wa’ z-zalami, wa’ s-solatu wa ‘salamu ‘ala Sayyidina Muhammadan fasha ‘l-lughata wa ‘l-kalama, wa ‘ala alihi wa asha bihi hum ahli ‘l-fadli wa ‘l-akram. Ertinya, segala puji bagi Allah, Tuhan yang mengeluarkan akan hamba-Nya (daripada) bodoh dan gelap; dan rahmat serta salam-Nya atas penghulu kami Nabi Muhammad yang terlebih fasih daripada segala bahasa dan terlebih fasih daripada segala perkataan; dan atas keluarganya dan segala sahabatnya iaitu segala mereka itu yang ahli kelebihan dan kemuliaan.
                                                                                              (Bustan al-Katibin)

“Al – bikru fil – qawmi ahra la – hum syarban”
                                                                                      (Sejarah Melayu, hlm 196)

“Al bahabbatu bainun manfiyyun , wa’i- ‘syqu fiqrun manfiyyun”.
                                                                                      (Sejarah Melayu, hlm 194)

Petikan di atas memperlihatkan keindahan pada penggunaan bahasa Arab bagi menunjukkan estetika keislaman. Karya agung banyak dipengaruhi dengan Islam kerana pengarang pada masa tersebut menerima pengaruh daripada bahasa asing seperti bahasa Arab. Dari segi struktur luaran petikan di atas, gaya bahasa yang digunakan dalam petikan tersebut menggunakan bahasa Arab. Kata-kata pujian diperindahkan dengan unsur-unsur alam ciptaan tuhan. Dari segi struktur dalaman pula dapat dilihat daripada aspek maknanya, iaitu puji-pujian kepada Allah dan Nabi Muhammad. Dalam Sejarah Melayu, Tun Seri Lanang memasukkan banyak kata-kata dan bidalan Arab di dalam teksnya yang menunjukkan unsur keisalaman. Ungkapan Arab yang digunakan menambahkan nilai estetik dalam karya tersebut.

2.3 Estetik Dalam Wit Dan Humor

Selain daripada itu, dalam karya agung turut dimasukkan unsur- unsur wit dan humor yang menjadikan sesebuah karya agung tersebut hebat dan mempunyai nilai estetika yang tesendiri. Wit dan humor yang dimasukkan dalam penceritaan karya agung memberi nilai estetika kepada karya agung yang dikarang. Dalam Sejarah Melayu misalnya, Tun Seri Lanag memasukkan teknik wit dan humor sekaligus mencantikkan keindahan dalam karya tersebut.

‘ Tun Pepatih Putih menghadap Negara China. Ia makan kangkung pada masa mengangkat kangkung itu keatas ia dapat melihat raja China dengan nyatanya’.
(Sejarah Melayu, hlm 95)

Wit adalah sesuatu yang berkaitan dengan akal, budi, fikiran atau kecerdasan otak dalam melakukan sesuatu perkara. Teknik penceritaan yang disampaikan oleh Tun Seri Lanang mampu memberi nilai estetik dari segi pemikiran dan kecerdasan otak yang mempunyai akal dalam membuat sesuatu perkara supaya tidak diketahui umum. Pengarang tidak menceritakan secara teru dan menggunakan unsure wit yang dimasukkan menjadikan penceritaan tersebut lebih indah.

‘ Ada seorang keeling, Miaruzu namanya, ikut askar Melaka melanggar Haru. Ketika ia hendak buang air, bertemu dengan seekor kambing randuk, kerana takut, ia menyangka kambing itu askar Haru, ia lari tunggang-langgang. Perbuatan ini menggemparkan askar-askar Melaka, Miaruzul memberitahu:
“Kita bertemu Haru tua, kita hudap ia Zughul, kita zughul ia hudap”. Tetapi bila disiasat ternyatalah hanya seekot kambing randuk.  Peristiwa itu melucukan lalu dibuat pantun mellaui kata-kata Miaruzul itu
(Sejarah Melayu)
Humor ialah perbuatan yang menimbulkan kelucuan. Dalam Sejarah Melayu terdapat unsure-unsur humor yang diceritakan oleh pengarang. Humor mempunyai nilai estetika dan memberi keindahan kepada sesebuah karya agung. Dalam petikan diatas dinyatakan sebagai terdapat keindahan unsur humor kerana seorang keling itu dengan perasaan takut tersebut sehingga menganggap seekor kambing ranuk dibayangkan sebagai askar Haru sednagkan itu adalah jauh bezanya. Teknik humor yang digunakan pengarang mampu untuk memberikan nilai estetik kepada sesebuah karya agung itu sendiri.

2.4 Estetik Dalam Kebudayaan Melayu

Nilai estetika bukan sahaja dapat dilihat dari segi bahasa, pemikirannya semata-meta. Unsur-unsur adat istiadat Melayu yang diperlihatkan dalam sesebuah karya menjadikan karya tersebut lebih indah. Nilai keindahan Melayu merupakan sebuah nilai estetika dalam sesebuah karya. Dalam karya agung seperi Hikayat hang Tuah dan Sejarah Melayu banyak memasukkan kebudayaan dan adat istiadat Melayu serta diselitkan beberapa buah pantun bagi mengindahkan lagi sesebuah karya. Terdapat banyak peraturan yang berbentuk adat istiadat dalam Sejarah Melayu yang menimbulkan nilai estetikanya  dalam karya tersebut.

‘ Adat istiadat diraja yang disusun oleh Sultan Muhammad Syah mengandungi larangan kekuningan, hak memakai perhiasan emas, cara pemakaian ketika menghadap raja, paung putih untuk raja, paying kuning untuk anak raja, tatacara menjunjung duli, peratura perarakan bergajah menghantar dan menerima surat dan utusan, adapt mengurniakan gelaran, adapt raja menyambut hari raya, adapt raja bersiap-siap kerana menyamut sesuatu perayaan dan adapt menyambut malam 27 haribulan Ramadhan.
(Sejarah Melayu, hlm 56-61)

‘Sultan Mahmud Syah mengadakan adat mengurniakan usungan kepada Bendahara dan Laksamana.’
(Sejarah Melayu, hlm 140)

‘Sultan Alaudin Riayat Syah mengadakan hukum potong tangan bagi kesalahan mencuri.’

( Sejarah Melayu, hlm 129)

                    Adat istiadat yang dinyatakan dalam Sejarah Melayu memberikan nilai estetik kepada penulisan karyanya. Adat istiadat Melayu yang diceritakan dalam Sejarah Melayu dengan pelbagai adat memberi nilai keindahan dalam kehidupan Melayu. Kehidupan Melayu yang memperjuangkan adat Melayu dalam setiap perkara yang dilakukan menunjukkan keindahan adat tersebut. Misalnya, dalam cara pemakaian sekalipun terdapat adatnya yang tersendiri.

‘Lada siapa dibangsalkan?
Rana saujana kerati
Pada siapa disesalkan?
Tuan juga empunya pekerti’
(Hikayat Raja-Raja Pasai)

Menurut pendeta Za’ba, pantun ialah karangan berangkap yang benar-benar asal ciptaan orang Melayu. Melalui pantun, mereka dapat meluahkan perasaan dengan perkataan yang lebih halus dan pantun mempunyai nilai estetiknya yang tersendiri. Berdasarkan teks –teks diatas, kebudayaan Melayu mampu untuk menimbulkan nilai sesebuah estetik dalam sesebuah karya agung itu sendiri. Nilai estetik dilihat dari pemakaian pantun dan enceritaan tentang adapt istiadat Melayu menjadikan karya tersebut lebih indah.

3.0 Penutup

            Demikianlah beberapa unsur estetika dalam bentuk kesenian teater tradisional Melayu yang suatu masa dahulu begitu mendominasi dalam kehidupan masyarakat. Karya-karya agung yang ditulis oleh pengarang-pengarang hebat menjadi sumber rujukan kepada masyarakat kerana adanya unsur estetik dalam penghasilan karya tersebut. Tidak dapat dinafikan bahawa estetika yang terkandung dalam karya agung inilah yang telah menarik juataan pembaca untuk terus mengkaji karya-karya agung.

            Estetika ialah ilmu yang membahaskan tentang keindahan dan kesenian. Bidang penelitiannya meliputi keindahan dan seni, nilai-nilai retorika, suasana hati dan lain-lain yang ada hubungan dengan nilai-nilai kecantikan. Keindahan atau estetik meliputi pelbagai aspek. Manusia yang benar-benar mengkaji dengan teliti akan dapat merasai keindahan dalam sesebuah karya sastera. Setiap keindahan yang dizahirkan melalui bahasa mampu menarik perhatian khalayak pembaca untuk terus menikmati karya tersebut. Sesungguhnya karya agung Melayu sememangnya kaya dengan nilai estetika dan keindahan yang tinggi.


BIBLIOGRAFI

Aminudin Mansor (2012). Estetika dalam Karya Sastera. Diperoleh pada April 17, 2013 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0129&sec=Sastera&pg=sa_02.htm

Gaya Bahasa Sejarah Melayu (1991). Diperoleh pada April 17, 2013 daripada http://profjawi.webs.com/versiRumi/gayabahasa.html

Harun Daud (1989). Sejarah Melayu:Satu Kajian Daripada Aspek Budaya.  Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka

Harleny Abd Arif (2010). Unsur Keindahan Bahasa dalam Teks Hikayat. Diperoleh pada     April 16, 2013 daripada http://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/2010/02/19/869/

Hikayat Merong Mahawangsa (2009). Diperolah pada  April 20, 2013 daripada   http://themalaypress.blogspot.com/2009/07/manuskrip-hikayat-merong-mahawangsa.html

Karya Zaman Islam Kaya Nilai Estetika (2000). Diperoleh pada April 16, 2013 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec= Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm

Mustafa Mohd Isa (1999). Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih. Selangor: Utusan Publication Sdn. Bhd.



ULASAN KARYA AGUNG

                          Ulasan artikel berdasarkan artikel 1:
Kembalikan Hang Tuah ke Tempatnya

                                                Pendahuluan

            Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah karya besar jika ingin dibandingkan dengan karya-karya Melayu tradisional yang lain kerana di dalamnya tercakup pelbagai pesanan dan gagasan yang harus direnung oleh setiap pembacanya terutama bangsa Melayu. Hikayat Hang Tuah harus diterima dan dinilai sebagai sebuah karya sastera dan bukanlah sebuah sejarah. Ini jelas dilihat daripada namanya sendiri ‘hikayat’ yang bermaksud cerita. Kesusasteraan Melayu jenis inilah yang menjadi titik permulaan kepada bentuk novel atau roman Melayu.

            Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang di dalamnya telah dimuatkan dengan cita-cita dan kebesaran bangsa Melayu. Hikayat ini telah mencatatkan riwayat hidup bangsa ini sejak mulanya melewati zaman pembangunan, lalu ke zaman kebesaran dan akhirnya ke zaman kehancurannya. Tokoh utamanya iaitu Hang Tuah telah mewakili bangsa itu sendiri mengenai cita-citanya, kebolehannya dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pembatasan ini penting kerana sudah tentu Hang Tuah tidak dapat mewakili peribadi Melayu sepanjang zaman kerana unsur-unsur keperibadian itu sendiri ditentukan oleh keadaan sejarah. Walau bagaimanapun, hikayat ini dan wiranya telah melahirkan suatu sikap hidup Melayu, iaitu sikap hidup yang berlaku sebelum datangnya peradaban moden dan yang sedang bergeser dengan sikap hidup baharu yang dibawa oleh barat.

            Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah hikayat Melayu lama yang asli dan tiada tolok bandingnya dengan kesusasteraan Melayu lama yang lain. Cerita-cerita panji seperti Hikayat Cekel Waneng berasal daripada Jawa, Hikayat Seri Rama dan Hikayat Sang Boma disadur daripada epik Hindu, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiah pula diterjemahkan daripada sumber-sumber Islam dan hanya Hikayat Hang Tuah ini sahaja satu-satunya epik Melayu asli. Sebagai satu ciptaan sastera Melayu lama, hikayat ini mempunyai nilainya tersendiri kerana tiada satu pun karangan lama sebelumnya atau selepasnya yang memperlihatkan aliran realisme. Hikayat Hang Tuah mengisahkan manusia-manusia Melayu yang hidup meskipun manusia itu diberikan sifat yang luar biasa. Oleh itu, Hikayat Hnag Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang unggul yang memaparkan keintelektualan pengarang Melayu pada waktu itu.

Pada zaman tradisional Hang Jebat dianggap sebagai penderhaka dan dibenci oleh masyarakat tetapi dalam tahun 1960-70-an imej Hang Jebat telah berubah dan beliau telah menjadi wira dalam bangsa Melayu. Sehingga kini banyak tafsiran baru terhadap Hikayat Hang Tuah telah dibuat bagi memurnikan watak Hang Jebat. Tafsiran baru ini dapat dilihat dalam dua bentuk utama iaitu skrip drama dan penulisan ilmiah. Di dalam skrip drama yang ditulis oleh Ali Aziz, beliau telah meletakkan Hang Jebat sebagai wira bangsa yang memperjuangkan keadilan dan membela sahabat yang dizalimi oleh raja. Watak Hang Jebat dikatakan telah menderhaka kepada raja kerana ingin membela Hang Tuah dan ingin menegakkan keadilan. Hang Jebat juga dikatakan telah menjaga keluarga Hang Tuah dengan mengambil berat perihal anak dan isteri Hang Tuah. Selain Ali Aziz, Usman Awang juga merupakan salah seorang pemutar watak Hang Jebat untuk disesuaikan dengan perjuangan kemanusiaan sejagatnya. Beliau turut membina watak Hang Jebat sebagai seorang pejuang kebenaran dan menentang kezaliman. Pada bahagian akhir kata pengantar, Usman Awang cuba menarik perhatian khalayak dengan membakar semangat mereka supaya menyokong dan membenarkan perjuangan Hang Jebat dengan satu slogan perjuangan Hang Jebat iaitu ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’.  Dalam penulisan ilmiah, sarjana terkenal yang melihat Hang Jebat dalam pendekatan moden ialah Kassim Ahmad. Sesuai dengan fahaman sosialisnya, beliau melihat pentingnya pertentangan kelas atau pertentangan masyarakatbawahan terhadap golongan atasan yang bersifat feudal demi melahirkan sebuah masyarakat yang adil tanpa penindasan. Mengikut fahaman ini, semua golongan yang bekerjasama atau menyokong golongan aristokrat tidak boleh diberi tempat sebagaimana yang dilakukan oleh Hang Tuah. Hnag Jebat yang telah mencabar raja dan menjadi penderhaka ditafsirkan sebagai seorang yang mempunyai unsur kepahlawanan, namun ia gagal dalam perjuangan menegakkan kebenaran kerana memilih untuk setia kepada seorang sahabat dan dianggap sebagai pemberontak. Antara sarjana lain yang sealiran dengan Kassim Ahmad ialah Solehah Ishak yang turut mengetengahkan mengenai falsafah hidup watak itu. Abdul Rahman Napiah turut meletakkan Hang Jebat sebagai pahlawan Melayu yang berani menentang Raja semata-mata demi persahabatan. Beliau menyifatkan Hang Jebat sebagai pemecah tradisi feudalisme dan percaya perkara yang dilakukannya adalah benar dan hak. Menurut Mohammad Haji Salleh pula, beliau mengatakan memiliki peribadi yang utuh dengan kesungguhan dalam segala reaksinya. Jebat dikatakan memberontak berasaskan akal pemikiran bukanlah kerana kemarahan emosi.

            Perubahan pandangan masyarakat terhadap imej Hang Jebat sekali gus merubah juga pemikiran mereka terhadap Hang Tuah. Hang Tuah bukan sahaja tidak lagi disanjung malah diletakkan sebagai pengkhianat sahabat, tiada sikap bertimbang rasa, tidak menegakkan keadilan, dan ada juga yang menganggap Hang Tuah sebagai pejuang yang kolot. Kalau dilihat berdasrkan teks Hikayat Hang Tuah, hampir seluruhnya memperlihatkan ketokohan seorang wira Melayu yang bertanggungjawab menjaga dan mengagungkan raja serta negara kota Melaka. Abdul Rahman Napiah yang pernah meletakkan Hang Jebat sebagai wira bangsa turut meletakkan nilai-nilai yang baik dalam menilai watak Hang Tuah mengatasi sikap Hang Jebat. Menurutnya, Hang Tuah merupakan seorang yang cukup pintar, tajam fikiran, jauh pandangan dan mempunyai banyak muslihat. Sebagai seorang hulubalang, Hang Tuah dikatakan seorang wira yang serba sempurna baik dari segi jasmani, rohani, pemikiran, tindakan dan cara berbudaya. Pengarang Hikayat Hang Tuah dilihat ingin membina semula negara kota berdasarkan jatuh bangunnya kerajaan Melayu Melaka. Raja Melaka yang ramai termasuk Raja Iskandar Syah hingga Mahmud Syah disatukan diri Sang Maniaka. Pembesar dan Hulubalang yang baik pula disatukan pada watak Hang Tuah dan yang tidak baik digabungkan membentuk watak Hang Jebat. Mengikut sejarah, negara kota Melaka mencapai kegemilangan sewaktu pemerintahan Sultan Mansur dan Alauddin yang banyak dibantu oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Pengarang Hikayat Hang Tuah telah mengambil gelaran yang dipakai oleh Tun Perak sebagai nama Bendahara iaitu Paduka Raja. Sultan Mansor diambil sebagai model raja dalam karyanya yang bernama Sang Maniaka. Semua sifat baik pembesar dan hulubalang terutama Tun Perak diambil dan dimasukkan ke dalam satu watak iaitu Hang Tuah. Hang Tuah telah diberikan sifat yang baik sebagai lambang wira bangsa Melayu. Manakala sifat tamak, dengki, angkuh, seperti yang ada pada Bendahara Tun Mutahir, Raja Mendaliar dan Kitol di masukkan ke dalam watak Hang Jebat. Bagi pengarang Hikayat Hang Tuah, perbuatan atau tindakan yang tidak baik haruslah ditangani dengan bijak dan saksama, sebagaimana Hang Tuah menangani penderhakaan Hang Jebat.

 Ulasan artikel

Artikel ini membincangkan mengenai kedudukan Hang Tuah dalam kalangan masyarakat Melayu kini. Artikel ini ditulis oleh Haron Daud dan diberi tajuk ‘Kembalikan Hnag Tuah ke tempatnya’. Penulisan dan perbincangan di dalam artikel ini adalah berlandaskan dua khazanah kesusasteraan Melayu tradisional iaitu Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan artikel ini, penulis cuba untuk mengetengahkan persoalan mengenai siapakah wira bangsa yang sebenarnya sama ada Hang Tuah atau Hang Jebat. Berdasarkan teks Hikayat Hang Tuah, penulisnya cuba untuk mengetengahkan watak Hang Tuah sebagai watak yang wajar dicontohi bagi masyarakat Melayu khususnya. Namun, penerimaan masyarakat terhadap Hang Tuah sebagai wira bangsa kian luntur dan Hang Jebat yang dianggap sebagai wira bangsa atas sebab dan alasan yang tertentu. Imej Hang Jebat dalam pemikiran dan penerimaan orang Melayu telah berubah mengikut zaman dan kehendak masyarakat.

            Pandangan terhadap artikel

 Pengarang Hikayat Hang Tuah cuba menampilkan suatu jalinan cerita mengenai seorang tokoh Melayu daripada cantuman bermacam-macam tradisi Melayu dengan strukturnya yang tersendiri. Hikayat Hang Tuah ini ditulis bukanlah untuk mempamerkan sejarah pemerintahan raja-raja Melayu, tetapi ingin menonjolkan jati diri Melayu yang unggul daripada manusia lain. Hikayat Hang Tuah dapat diangkat sebagai sebuah epik Melayu kerana memiliki ciri-cirinya sebuah epik seperti kedudukan wira yang begitu tinggi dalam sejarah bangsanya, penceritaan yang berlatarkan masa yang panjang dan latar yang meluas, keunggulan sifat yang ada pada wira, dan kesaktian wira yang sukar untuk dikalahkan. Tidak dapat dinafikan bahawa Hikayat Hang Tuah adalah cerita yang menyorot Hang Tuah sebagai wira Melayu, terutama dari segi pengabdiannya kepada raja dan negara kota Melaka. Pelbagai pendapat dan pandangan hasil kajian para sarjana yang cuba untuk melihat siapakah wira Melayu yang sebenar, sama ada Hang Tuah mahupun Hang Jebat. Segala pendapat yang dikemukakan mempunyai alasannya yang tersendiri dan dapat diterima namun kita perlu berbalik kepada teks asli Hikayat Hang Tuah dalam mencari wira sebenar yang cuba ditonjolkan. Mungkin terdapat beberapa kekurangan dalam watak Hang Tuah yang dianggap sebagai wira Melayu, namun kita perlu juga melihat zaman hikayat tersebut ditulis, dan membandingkan hasil tulisan tersebut selari dengan zamannya dan tidak membandingkannya dengan zaman sekarang yang sudah tidak lagi mengamalkan sistem feudal dan raja berkuasa mutlak. Berdasarkan teks asal Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah merupakan watak utama yang ingin ditonjolkan dan bukanlah watak Hang Jebat. Watak Hang Tuah digarap sebagai seorang yang amat taat kepada raja sesuai dengan zaman tersebut yang mempercayai raja itu berdaulat dan perlu dihormati dan ditaati walaupun terpaksa mengorbankan diri sendiri. Hal ini merupakan situasi yang berlaku pada zaman tersebut dan bagi orang yang tidak menghormati raja akan dianggap sebagai penderhaka seperti watak Hang Jebat yang pastinya tidak boleh dijadikan sebagai contoh yang baik pada zaman tersebut. Selain taat kepada raja, Hang Tuah juga digambarkan sebagai seorang yang memiliki keperibadian yang mulia,seorang yang berilmu dan mempunyai ciri-ciri seorang pahlawan yang tiada tandingannya. Semua sifat yang cuba ditonjolkan dalam watak Hang Tuah menjadikan watak tersebut sempurna tanpa sebarang cacat celanya sebagai seorang wira bangsa.

            Pemberontakan Hang Jebat berlaku kerana dorongan kemanusiaan dalam dirinya untuk membela keadilan yang telah dicabul oleh raja. Raja bertindak zalim sedemikian kerana raja berkuasa mutlak, Fikiran salah beliau ini disahkan oleh masyarakat feudal pada waktu itu. Apabila pemberontakan ini gagal, kerana digagalkan oleh rakan karib, rakan seperjuangan dan orang yang dibelanya, perasaan kecewa yang amat dahsyat menyebabkan Jebat bertindak liar dan melepaskan geram terhadap orang Melaka yang mendukung prinsip feudal yang zalim itu. Perbuatan Hang Jebat ini tetap dianggap salah kerana sikap dan kepercayaan masyarakat pada zaman tersebut yang amat menghormati dan menyanjungi raja.

            Kebahagiaan negeri Melaka sering dikaitkan dengan ketokohan Hang Tuah. Sewaktu Hang Tuah masih gagah, negeri Melaka berada di puncak kegemilangan tetapi pabila Hang Tuah telah kehilangan kerisnya,kegemilangan Melaka mulai suram. Secara tidak langsung pengarang Hikayat Hang Tuah cuba menunjukkan kewajaran dalam kejatuhan Melaka. Gambaran kejatuhan Melaka telah mula dibayangkan sejak mahkota Raja Melaka jatuh ke dalam laut di Selat Singapura. Begitu juga apabila mahkota Melaka disambar buaya putih , itu tanda bahawa Melaka akan jatuh ke tangan Portugis, golongan manusia berkulit putih. Hikayat Hang Tuah dicipta kembali oleh pengarangnya sebagai pralambang untuk menyorot kembali keagungan Melaka dan Hang Tuah sebagai wira yang membawa kebanggaan kepada negeri Melaka.

4.0              Kesimpulan

Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah hikayat yang mantap yang cuba dipaparkan oleh penulisnya sebagai satu wadah untuk menonjolkan jati diri Melayu. Jati diri Melayu cuba dipaparkan melalui tokoh Hang Tuah lima bersaudara dan Hang Tuah sebagai wiranya yang unggul. Kemantapan aspek fizikal, mental, dan rohani yang terdapat dalam watak Hang Tuah menjadikannya seorang tokoh yang berwibawa. Beliau telah memantapkan dirinya dengan pelbagai ilmu, dan dengan ilmu inilah menyebabkan seorang manusia itu dihormati. Aspek rasional dalam berfikir pula ditonjolkan melalui watak Hang Jebat yang menentang raja. Pengarang sebenarnya ingin memaparkan mengenai akan sampai waktunya rakyat akan menuntut hak sebagai rakyat dan akan tiba waktunya kedudukan sultan akan goyah. Bagi menjadikan kedudukan rakyat dan raja ini stabil, kedua-dua kelompok harus menyedari hak dan tanggungjawab masing-masing. Oleh itu, berdasarkan Hikayat Hang Tuah, dapatlah disimpulkan bahawa kita haruslah mempunyai jati diri yang unggul dan benar-benar murni seperti yang dilakukan oleh Hang Tuah. Rakyat pula hendaklah setia kepada pemerintah dan cintakan negara, manakala pemerintah pula perlulah adil dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang pemimpin.

Rujukan:

Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ulasan artikel berdasarkan artikel 2:
Etnosentrisme Melayu dalam Sulatus Salatin

 Pendahuluan

Sulalatus Salatin dianggap sebagai sebuah karya sejarah yang universal bagi masyarakat Melayu tradisi, khususnya yang berpusat pada Empayar Melayu Melaka. Semua yang digambarkan di dalam karya tersebut merupakan alam masyarakat Melayu pada ketika itu yang meragkumi bidang politik, ekonomi, masyarakat, dan juga agama. Dalam lingkungan itu, yang terpenting ialah orang Melayu atau orang Melaka dengan raja-rajanya, peristiwa yang berlaku dan tindakan yang dilakukan di sekitar ketokohan serta alam persekitaran mereka. Orang luar dan peristiwa yang berpunca daripada luar tidak begitu dipentingkan dan hanya dianggap sebagai unsur sampingan yang berfungsi mengukuhkan kedudukan atau keagungan seorang tokoh mahupun budaya tempatan.
            Dengan hal yang demikian dapat dilihat orang Melayu Melaka yang digambarkan sebagai orang yang serba boleh, pintar dan terkenal. Dalam Sulalatus Salatin terdapat beberapa contoh yang menggambarkan unsur seperti ini seperti Sultan Muhammad Syah, atau Raja Kecil Besar yang merupakan raja yang paling awal memeluk Islam dan beliau dikatakan sebagai ‘terlalu sekali adil baginda pada memelihara segala manusia’. Sultan Alauddin Riayat Syah pula dianggap sebagai ‘terlalu perkasa, tiada berbagai-bagai pada zaman itu’. Bendahara Paduka Raja Tun Perak pula dikatakan sebagai ‘orang bijaksana’ dan banyak lagi contoh ketokohan pemerintah yang dimuatkan di dalam karya agung ini. 

            Di dalam karya ini turut digambarkan mengenai kemunculan, kegemilangan serta kebesaran Empayar Melayu Melaka yang bertindak sebagai sebuah pusat tamadun serantau, di mana raja serta pembesar memainkan peranan masing-masing sama ada usaha membangunkan mahupun mengekalkan keunggulan serta kesejahteraannya. Ini merupakan peranan dan tugas yang sangat mencabar dan orang Melaka berjaya mengatasi setiap cabaran tersebutkecuali pada bahagian akhir apabila mereka menemui kegagalan demi kegagalan untuk mendapatkan kembali tapak kekuasaan mereka dan akhirnya membuka sebuah empayar baru yang kemudiannya dikenali sebagai Empayar Johor-Riau.

          Dalam Sulalatus Salatin, pengarangnya dengan cara yang paling kreatif telah menggunakan teknik penceritaan dengan sebaik mungkin untuk memperlihatkan mengapa orang barat tidak seharusnya diletakkan di tempat yang mulia menurut kaca mata anak watan. Pengarang dilihat berusaha untuk mengembalikan imej orang Melayu yang gagah, berani, dan tidak gentar untuk berhadapan dengan pihak musuh. Orang Melayu sebagai bangsa yang dijajah berjaya menewaskan Portugis dan menghantar mereka pulang ke tempat mereka berpengkalan iaitu di Goa. Hal ini dapat dilihat dengan jelas sewaktu pengarang menukilkan peristiwa ini sewaktu peristiwa pertemuan kali kedua di antara orang Melaka dan Portugis. Tentera laut Portugis yang bertapak di Goa, telah di arahkan untuk menyerang Melaka dan malangnya Portugis kalah dalam serangan tersebut. Keberanian orang Melayu menentang Portugis digarap dengan begitu menarik dengan memperlihatkan orang Melaka tidak gentar menentang orang Portugis yang menggunakan peralatan yang canggih sedangkan mereka hanya menggunakan senjata tradisional, namun ia sama sekali tidak menghalang orang Melaka untuk menghambat tentera Peringgi (Portugis) sehingga “pecahlah tentera Peringgi berhamburan terjun ke air”. Kejayaan orang Melaka mematahkan serangan Portugis ini merupakan  salah satu cara pengarang mengangkat etnosentrisme yang dimiliki oleh masyarakat Melayu dalam mempertahankan tanah air daripada ditawan pihak musuh.

            Peristiwa kekalahan Portugis di tangan orang Melaka menimbulkan kemarahan wizurai Portugis, Alfonso d’Albuquerque. Beliau ingin membuat satu serang balas terhadap Melaka namun cadangannya itu tidak dipersetujui oleh Kapitan Mor yang merupakan ketua angkatan perang sebelum ini. Kapitan mor mengatakan, “pada bicara kita, jikalau lagi ada Bendahara Seri Maharaja, berapa pun besarnya anggota Goa mau menyerang, Melaka tiada akan alah”.  Berdasarkan petikan tersebut, penulis berusaha untuk mengangkat kewibawaan pemimpin Melaka ketika itu sehingga kehandalannya diakui oleh pihak lawan. Pengolahan seperti ini merupakan cara pengarang untuk memperlihatkan betapa tingginya semangat etnosentrisme yang dimilikinya, dan turut menggambarkan semangat etnosentrisme masyarakat yang diwakilinya.  

    Sebelum berlakunya peristiwa peperangan, pengarang turut memperihalkan sambutan orang Melaka sewaktu kedatangan Portugis. Pengarang memperlihatkan bahawa orang Melaka memandang orang Portugis dengan pandangan yang aneh, dan rasa jengkel mereka sampai ke kemuncaknya apabila melihat perbuatan orang Peringgi yang memakaikan sendiri rantai emas berpermata di leher Bendahara Seri Maharaja. Orang Melaka marah dengan tindakan tersebut namun ditenangkan oleh Bendahara Seri Maharaja dengan mengatakan “…jangan kamu turuti, kerana ia (Peringgi) orang yang tiada tahu bahasa”. Secara tersiratnya menunjukkan bahawa orang Peringgi merupakan bangsa yang tidak tahu adab dan tidak pandai menghormati peraturan dan adab resam kaum lain. Dapat dilihat dengan jelas pengarang cuba untuk memperlihatkan bahawa adat dan kebudayaan yang dimiliki oleh bangsanya merupakan sesuatu yang unggul dan mewujudkan jurang perbezaan yang ketara antara dengan pihak lain. Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa, pengarang teks Sulalatus Salatin telah menggunakan teks ini dengan sebaiknya untuk mengangkat etnik Melayu Melaka setaraf dengan etnik lain yang hebat dan unggul pada masa tersebut.

    Menurut R. Suntharalingam (1980: 10), etnosentrisme merupakan satu dorongan perjuangan yang berupaya memupuk semangat cintakan tanah air, menggalakkan perpaduan rakyat berdasarkan ikatan keturunan dan kebudayaan, dan menyemai semangat menentang pencerobohan kuasa asing. Jelaslah bahawa, etnosentrisme merupakan kecenderungan untuk meletakkan etnik masing-masing sentiasa melebihi dan menguasai etnik yang lain. Rasa cinta dan bangga terhadap kaum sendiri akan membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai entiti kebudayaan yang sama dan akan memiliki kekuatan dalaman dalam mempertahankan tanah air atau warisan leluhur mereka daripada ancaman luar.

Ulasan artikel

            Artikel ini membincangkan mengenai etnosentrisme dalam teks historiografi Melayu tradisional Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Zubir Idris. Artikel yang bertajuk Etnosentrisme Melayu dalam Sulalatus Salatin ini ingin melihat bibit-bibit penentangan awal masyarakat Melayu terhadap penjajah sebelum zaman kolonial yang ingin di analisis secara intrinsik di dalam teks Sulalatus Salatin. Kajian meneliti aspek tema, persoalan dan kekuatan kebahasaan untuk diaplikasikan oleh pengarang silam bagi menggambarkan etnosentrisme etnik Melayu khususnya di Melaka. Kajian yang dijalankan memanfaatkan idea William Graham Sumner dalam bukunya Folkways (1911) sebagai premis kajian dalam memperkatakan mengenai konsep etnosentrisme. Hal ini penting kerana beliau merupakan antara tokoh pemula yang membicarakan etnosentrisme daripada sudut pandangan disiplin sosiologi.
            Menurut Sumner, etnosentrisme merupakan pendirian sesuatu kelompok bahawa pandangan atau penilaiannya adalah tunjang segala-galanya dan menjadi titik rujukan kepada persepsi dan idea orang lain. Etnosentrisme menggariskan kebudayaan sendiri adalah lebih tinggi daripada kebudayaan orang lain. kebudayaan asing pula dilihat melalui kaca mata kebudayaan sendiri dan setiap perkara yang berbeza daripada budaya sendiri akan dinilai sebagai satu kelemahan dalam sesuatu budaya.

Pandangan terhadap artikel

            Etnik dapat didefinisikan sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam termasuk adat resam, pakaian, bahasa, dan kegiatan ekonomi. Etnik dapat dikelaskan melalui perbezaan budaya. Etnik pada dasarnya bersifat etsentrik iaitu menganggap ciri-ciri budayanya sebagai wajar, betul dan lebih utama daripada budaya etnik lain yang dipandang rendah serta dianggap ganjil. Konsep etnik ini membentuk konsep etnisiti atau etnosentrisme. Etnisiti merupakan rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik yang mewujudkan satu budaya yang jelas yang menyatukan anggotanya dengan satu sejarah, nilai, sikap, dan tingkah laku yang sama. Etnosentrisme pula merujuk kepada kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam kalangan anggota sesebuah kelompok etnik yang mengakui bahawa budaya mereka jauh lebih hebat dan baik daripada kelompok lain. etnosentrisme turut membawa makna melihat kelompok etnik lain menerusi perspektif etnik sendiri. Etnosentrisme terjadi jika masing-masing menolak untuk bercampur dengan kebudayaan lain. Etnosentrisme sering menjadi punca permasalahan dalam proses hidup berkelompok kerana masing-masing ingin menegakkan kebudayaan masing-masing. Namun terdapat juga bangsa atau suku bangsa yang menjadi besar dan terkenal kerana rasa kebanggaannya terhadap kelompoknya dan sebuah bangsa akan menjadi besar sekiranya setiap unsur dalam kelompok tersebut mencintai simbol-simbol dan makna yang menjadi ciri khas kepada sesuatu kelompok.

            Dalam penghasilan sebuah karya sastera, etnosentrisme ini penting bagi memperlihatkan identiti dalam karya yang dihasilkan. Sebuah karya sastera tanpa identiti akan menyebabkan karya tersebut mengalir tanpa menimbulkan rasa suka pada karya yang dibaca. Salah satu cara penulis untuk membuatkan pembaca menikmati hasil tulisannya adalah dengan menyelitkan unsur-unsur etnosentrisme supaya pembaca merasa dekat dengan karya yang dihasilkan dan karya tersebut lebih mudah diterima oleh masyarakat setempat. Hal ini dapat menarik minat pembaca untuk membaca dan pembaca akan lebih selesa dan mudah memahami setiap perkara yang ingin disampaikan kerana hasil penulisan tersebut berada dalam ruang lingkup kehidupan mereka.  Inilah yang telah digunakan oleh pengarang Sulalatus Salatin dalam menghasilkan sebuah karya yang hebat dan dekat dengan pembacanya.  Tujuan pengarang Sulalatus Salatin memasukkan unsur etnosentrisme dalam karyanya juga dapat dilihat melalui motif penulisan karya tersebut adalah untuk menyukakan duli hadrat baginda Sultan. Dengan memasukkan unsur-unsur etnosentrisme akan dapat menaikkan rasa bangga terhadap bangsa dan  juga dapat menggembirakan hati orang yang membaca karya tersebut kerana kedudukan bangsanya disanjung tinggi di dalam sesebuah karya. Penggunaan etnosentrisme dalam karya Sulalatus Salatin juga adalah bertujuan untuk menaikkan semangat patriotisme dan merendahkan golongan penjajah yang sering kali dilihat sebagai golongan yang kuat dan sangat berpengaruh. Unsur etnosentrisme digunakan untuk menaikkan semangat orang Melayu untuk bangkit menentang penjajah dan tidak gentar dengan segala bentuk ancaman dari pihak luar dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara tercinta. Dengan cara merendahkan golongan penjajah dan memaparkan kebolehan dan keunggulan orang Melayu dapat menaikkan semangat dan keberanian untuk menentang golongan penjajah. Oleh itu, jelaslah bahawa unsur etnosentrisme adalah wajar di gunakan di dalam penulisan sesebuah karya agar pembaca merasa dekat dengan karya yang dihasilkan dan dapat menarik minat pembaca untuk terus membaca dan meningkatkan lagi semangat patriotisme dalam diri orang Melayu.
            Namun pegamalan sikap etnosentrisme dalam kalangan mayarakat yang berbilang bangsa seperti Malaysia adalah tidak wajar. Hal ini kerana, pengamalan sikap ini boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang bangsa dan perpaduan tidak akan mampu dibentuk. Kecenderungan melihat bangsa sendiri lebih baik daripada bangsa lain akan menghalang komunikasi positif kerana telah wujud pelbagai andaian negatif terhadap kelompok bangsa yang lain. Selain itu, individu yang etnosentik juga akan cenderung bersifat angkuh dan tidak ragu-ragu untuk memperkecilkan satu kelompok masyarakat yang lain dan hal ini pastinya tidak dapat menghasilkan satu komunikasi silang budaya yang berkesan. Dalam penghasilan karya, mugkin boleh diselitkan unsur etnosentrisme namun penulis harus lebih rasional dan tidak membandingkan antara dua bangsa dan menjaga setiap sensitiviti bangsa yang terdapat di Malaysia. Unsur etnosentrisme ini juga boleh digunakan dalam memupuk sikap patriotisme dalam diri masyarakat dengan memperlihatkan kekuatan apabila semua kaum mampu untuk bersatu dan bersama-sama membela nasib negara tercinta.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang telah dilakukan, dapat dilihat dengan jelas bahawa unsur etnosentrisme memang digunakan di dalam karya pensejarahan Melayu sebagai wadah untuk menaikkan semangat patriotisme dan yakin terhadap kebolehan bangsa sendiri. Karya Sulalatus Salatin digunakan dengan sebaik mungkin dalam mengangkat meletakkan etnik Melayu setaraf dengan etnik yang lain yang hebat dan unggul pada masa tersebut. Penggunaan unsur etnosentrisme sememangnya dapat memberikan manfaat sekiranya digunakan dengan betul, dan unsur itu juga dapat memusnahkan sesuatu bangsa sekiranya digunakan dengan cara yang salah. Sulalatus Salatin merupakan eksperimen agung pengarangnya yang berusaha melakarkan jiwa serta perlakuan bangsanya.  Melalui cerita yang dikendalikan sebagai sumber yang sarat dengan sifat lisan pengkisah membawa kita ke dalam hasrat, mimpi, dan cita-cita bangsa itu sendiri.  Manakala kesedihan, kegembiraan, adat istiadat, dan nilainya digambarkan dengan terperinci melalui karya bertulis.  Sastera lama merupakan gedung ilmu tentang bangsa Melayu yang digarap melalui bahasa, sejarah, kesusasteraan, kehidupan politik, adat istiadat, dan agamanya.  Oleh itu, jelaslah bahawa sastera bukanlah sekadar untuk hiburan semata-mata malah didalamnya terkandung nilai sejarah yang mempunyai kegunaan dan faedah yang boleh dipraktikkan oleh masyarakat dalam kehidupan  seharian.   

Rujukan:

Haron Daud (1993). Sejarah Melayu satu kajian daripada aspek pensejarahan budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Haji Salleh (1997).  Karya agung, Sulalat al-Salatin.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Yusuf Ibrahim (2010). Sejarawan dan persejarahan Melayu. Kuala Lumpur: Tinta     publisher.

Komunikasi silang budaya. Dicapai pada 6 April 201, daripada http://transformasi-          ummah.blogspot.com/2011/12/komunikasi-silang-budaya.html.

Etnosentrisme dalam sastera Riau . Dicapai 6 April 2013, daripada             http://bambangkariyawan.blogspot.com/2012/06/etnosentrisme-dalam-sastra-riau-     sumber.html


Ulasan artikel berdasarkan artikel 3:
Ilmu Ketatanegaraan Melayu Abad ke-19: Kajian Terhadap Karya Raja Ali Haji

1.0              Ulasan artikel
Artikel ini mengetengahkan Raja Ali Haji (1808-1873) sebagai ilmuwan dalam bidang ilmu ketatanegaraan Melayu. Karya beliau Gurindam Dua Belas, Bustan al-Katibin dan Tuhfat al-Nafis telah mengangkat kesarjanaan beliau dalam bidang sastera dan sejarah. Dalam kajian ini penulis mendapati karya beliau Thamarat al-Muhimmah juga memiliki kehebatan yang tersendiri dan dapat dianggap sebagai karya besar dalam ilmu ketatanegaraan Melayu. Antara perkara penting yang beliau kemukakan dalam karyanya ialah kepentingan akidah, kepentingan ilmu, pelantikan raja dan pemakzulannya, hukum menerima hadiah dan rasuah, kedudukan ulama atau ilmuwan dalam pemerintahan, prinsip keadilan, hubungan agama dan negara, pertalian antara hukum syarak, hukum akal dan hukum adat, tugas penjawat awam, tugas raja atau penguasa, kepentingan pemeliharaan jiwa, raga, dan kehormatan dan sifat-sifat tercela yang mesti dijauhi oleh raja dan orang-orang besar demi kemakmuran bangsa dan negara.

Semua permasalahan tersebut dijelaskan dengan padat dan ringkas, sehingga mudah difahami dan diamalkan oleh pembacanya. Karya Raja Ali Haji ini juga menggambarkan kuatnya pengaruh kerangka pemikiran Islam dalam pandangan dunia ilmuwan Melayu ketika itu sebelum merebaknya kerangka pemikiran yang sekular dan liberal. Oleh kerana karya ini bersandarkan kepada karya-karya besar yang ditulis oleh ulama -ulama  besar dalam sejarah Islam yang panjang,  Thamarat al-Muhimmah dapat dianggap sebagai karya kemuncak ilmu ketatanegaraan Melayu yang bersumberkan tradisi keilmuan Islam.

2.0              Pandangan terhadap artikel

Ilmu ketatanegaraan bermaksud ilmu yang berkaitan tentang pentadibiran dan pemerintahan dalam sesebuah negara. Raja Ali Haji telah menekankan beberapa perkara yang penting merujuk kepada ilmu ketatanegaraan. Beliau telah menekankan bahawa pemerintahan yang baik adalah pemerintahan berdasarkan ilmu. Oleh itu, pemimpin yang bijak perlu mementingkan prinsip keadilan, kedaulatan syariah dan melaksanakan pemerintahan dengan musyawarah. Penekanan yang dilakukan oleh Raja Ali Haji terhadap keutamaan ilmu menggambarkan kebijaksanaan beliau yang mendahului zaman.  
  
Pada hari ini, negara-negara maju memilih  pemimpin dalam kalangan orang yang berilmu. Malah, rakyat dari negara maju akan berasa malu jika  pemimpin yang muncul walaupun dipilih secara demokratik  tidak dapat dibanggakan dari segi ilmunya. Oleh hal yang demikian, Raja Ali Haji telah meletakkan ilmu sebagai syarat perlantikan seorang raja atau pemimpin tertinggi sesebuah negara. Perlantikan pegawai-pegawai kerajaan, hakim dan qadi hendaklah dalam kalangan orang-orang yang berilmu. Setiap pertimbangan atau keputusan yang diambil perlu  memenuhi kemaslahatan agama dan kemaslahatan duniawi.

Melalui karya-karyanya juga, Raja Ali Haji menerangkan peranan tasawuf dalam membimbing dan menyelamatkan seseorang daripada menjadi pemimpin yang jahat atau zalim. Beliau mengatakan bahawa seseorang itu tidak akan dapat menjadi pemimpin yang baik jika tidak mengetahui penyakit-penyakit hati atau sifat-sifat tercela seperti takbur, dengki dan sebagainya yang mesti dijauhi dan diubati kerana kesejahteraan luaran bergantung kepada kesejahteraan dalaman iaitu hati. Setiap sifat tercela ini dibahas dan diterangkan bahayanya kepada diri dan negara.

Oleh itu,  untuk melahirkan pemimpin dan penjawat awam yang berintegriti, tidak mengamalkan rasuah, amanah, jujur dan disiplin, kesejahteraan hati daripada penyakit atau sifat-sifat tercela itu perlu ditangani terlebih dahulu.

Raja Ali Haji juga menekankan konsep kerajaan atau pemerintahan yang adil. Seorang raja atau pemimpin sebenarnya memerintah sebagai khalifah yang menggantikan Rasulullah dan bukan kerana keturunan. Keturunan atau darah bagi Raja Ali Haji tidak menjamin hak seseorang memerintah orang lain. Bagi Raja Ali Haji, jika keadilan dan tanggungjawab moral yang digariskan oleh Islam diabaikan maka negara tersebut akan terancam. Raja Ali Haji menentang pemerintahan kuku besi yang mengabaikan kebajikan rakyat. Raja Ali Haji sangat menekankan pentingnya raja sebagai rujukan utama.  Bagi Raja Ali Haji, para ilmuwan, wazir iaitu menteri dan pemimpin berhak untuk memikirkan dan menciptakan ilmu, kaedah dan cara baru yang beliau nyatakan sebagai ijtihad dalam persoalan keduniaan dan perlu bersesuaian dengan suruhan dan kemaslahatan agama.

Di samping itu, pemerintahan dengan musyawarah juga ditekankan oleh Raja Ali Haji dalam karya-karyanya. Musyawarah adalah konsep dan prinsip yang amat penting yang mencirikan sistem pemerintahan Islam kerana musyawarah merupakan lambang pemerintahan yang adil dan bijaksana. Tambahan lagi, musyawarah dapat memastikan sesebuah negara itu diperintah berdasarkan ilmu dan kebijaksanaan dan bukan berdasarkan  hawa nafsu. Musyawarah adalah prinsip dalam pemerintahan dan kepimpinan Islam dan bukan hanya satu birokrasi atau kebiasaan yang dibuat dalam setiap organisasi.  Beliau juga menjelaskan bahawa musyawarah perlu dilakukan dengan orang yang berilmu bukan dengan orang yang jahil, sombong, dengki, penakut, bakhil dan  bersekedudukan agar musyawarah yang dilaksanakan menghasilkan satu pertimbangan yang terbaik.

3.0              Kesimpulan

Thamarat al-Muhimmah  merupakan karya terulung dan kemuncak dalam ilmu ketatanegaraan Islam yang lahir di zaman keemasan tamadun Melayu.  Banyak idea-idea yang dikemukakan oleh Raja Ali Haji masih relevan dan penting untuk dijadikan panduan kepada generasi umat Islam masa kini dalam menghadapi pelbagai cabaran yang datang silih berganti.  Berdasarkan  perbahasannya tentang aspek-aspek di atas dapat disimpulkan  bahawa beliau juga memiliki ilmu tentang perubatan, astronomi dan pemakanan selain ilmu-ilmu yang telah dibahas iaitu ilmu tasawuf, ilmu politik dan ketatanegaraan, ilmu bahasa, ilmu falsafah, ilmu syariah dan lain-lain lagi.

Rujukan:

Sahlan Mohd Saman (1994). Pengarang dan Kepengarangan Melayu. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Hawa Haji Salleh (2009). Kelopak Pemikiran Sastera Melayu. Bangi: 
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

UKM Journal Article Repository (2011). Dicapai 1 Mei 2013, daripada        http://journalarticle.ukm.my/3310/