1.0 Pengenalan
Falsafah
membawa maksud "al-bahsu" yakni pengetahuan,kebijaksanaan,keutamaan.
Perkataan falsafah sebenarnya berasal daripada istilah Yunani ,Philo yakni
cinta dan Sophos yakni hikmat,kebijaksanaan. Pythagoras telah menggelarkan
dirinya sebagai philosophos atau pencinta kebijaksanaan(Lover of Wisdom).
Tetapi
ada juga yang mengatakan bahawa Socrates adalah orang yang mula-mula
menggunakan istilah falsafah. Socrates menganggap dirinya sebagai philosophos
untuk membezakan dirinya dengan golongan Sophist(Sophisme/Sufasta'iyyin) yang
diasaskan oleh Protagoras. Pokok pemikiran Sophisme ialah bahawa segala sesuatu
itu berubah-ubah dan tidak tetap. Hal ini bermakna bahawa kebenaran yang hakiki
tidak tercapai dan tidak akan tercapai. Oleh kerana kebenaran hakiki tidak
tercapai maka tiap-tiap pendirian boleh dibenarkan. Sebab itu tidak ada ukuran
yang tetap tentang benar dan salah atau baik dan buruk. Nilai-nilai moral yang
dianggap baik dan abadi tidak penting lagi kerana apa yang dianggap baik pada
hari ini sudah dianggap tidak baik pada hari esok. Mengenai Socrates peranannya
yang besar ialah menghadapi kaum Sophist melalui proses dialog untuk mencari
kebenaran. Dengan ini Socrates memberi maksud falsafah itu satu ilmu untuk
mencari sebab dan kebenaran kepada punca sesuatu perkara. Melalui istilah
Socrates inilah yang menjadi begitu popular lantaran ianya diikuti oleh ramai
ahli Falsafah berikutnya sehingga munculnya Falsafah Islam seperti Farabi dan
Ibnu Sina yang memberi erti yang sama.
Bagaimanapun
pengertian falsafah secara popular ialah berfikir. Perkara yang dikatakan berfikir
secara falsafah haruslah mengandungi ciri-ciri seperti berfikir secara
radikal,iaitu secara mendalam hingga keakar umbinya atau asal-usulnya dan
hakikatnya, berfikir secara universal,iaitu menurut pengalaman manusia secara
umum, bukan khusus dan terbatas dengan ilmu tertentu sahaja dan berfikir secara
integral,iaitu berpadu secara lengkap pada mana-mana bahagian yang ada. Dalam
setiap karya agung yang dikarang terdapat falsafah yang ingin diterapkan dan
disampaikan oleh pengarang secara langsung atau tidak langsung. Karya agung
merupakan falsafah pemikiran atau idealisme yang ingin diterapkan dalam karya
itu sendiri.
2.0 Falsafah
Melayu dalam Hikayat Hang Tuah.
Hikayat Hang Tuah (HHT)
terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh Kassim
Ahmad. HHT sebuah karya epik yang berbentuk prosa yang mengandungi lebih
daripada 500 halaman dengan lebih kurang 164,000 patah-perkataan. HHT ini telah
dihasilkan pada akhir kurun ke-17. Karya ini juga disebut Valentijin
Kitab Hantoewa menurut Francois Valentijin dalam karyanya Oud
en Nieuw Oost-Indien (1728). Tambahnya lagi, karya ini biasanya
dinamakan oleh Sarjana Melayu Sulatas-Salatin iaitu Sultan-Sultan Melaka.
HHT
merupakan sebuah epik kebangsaan. Epik ini telah menegemukakan watak Hang Tuah
sebagai tokoh agung bagi bangsa Melayu dan sebagai lambang kemegahan dan
kekuatan bangsa Melayu. Menurut Kassim Ahmad (1992: xvi) kebangunan, kebesaran
dan kejatuhan Melaka berhubung rapat dengan tokoh Hang Tuah. Hal ini bermaksud,
apabila Hang Tuah kecil Melaka baharu didirikan. Apabila Melaka besar beliau
merupakan orang kanan bersama Bendahara, di dalam urusan pentadbiran dan di
dalam urusan keselamatan di dalam negeri suaranya muktamad. Apabila ia jatuh
sakit Melaka diancam oleh Portugis dan terus kalah apabila ia berundur dari
perkhidmatan negara. Tidak lain, Hang Tuah ialah lambang kekuasaan dan
kebesaran Melaka. Di dalam hidupnya tercatat riwayat Kerajaan Melayu Melaka dan
bangsa Melayu dalam zaman feudal yang sudah lampau. Selain daripada itu, watak
Hang Tuah sebagai pahlawan yang taat setia kepada raja yang sanggup menyelami
mahkota dan keris raja yang jatuh ke dalam laut. Penceritaan kisah Hang Tuah
dan saudaranya dalam karya agung Hikayat Hang Tuah mempunyai idealisme dan
falsafah yang tersendiri yang terkandung di dalamnya. Antara idealisme dan
falsafah yang ditonjolkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah ialah :
2.1 Kehebatan
Dan Kepentingan Ilmu Persilatan.
Hang Tuah sebagai seorang laksamana dan
hulubalang Melayu terulung zaman kegemilangan Kerajaan Empayar Laut Melayu
Melaka zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah dan awal zaman pemerintahan Sultan
Mahmud Syah sudah tidak asing lagi kepada masyarakat umum Nusantara malah
masyarakat Asia Tenggara dan sebahagian kecil dunia amnya. Kehebatan ilmu
persilatan beliau yang digambarkan oleh pengarang Hikayat Hang Tuah (Rujukan : Hang Tuah. DBP, Kuala Lumpur.
Ogos 1963) bagaikan tiada tandingannya lagi semenjak zaman beliau hinggalah
ke hari ini. Penulis hanyalah orang biasa sebagai guru kepada salah satu seni
silat lama Nusantara Melayu iaitu Seni Silat Melayu Asli Sejati yang bernaung
dalam Persatuan Seni Silat Gerak Sejati (Trg) Malaysia merasa amatlah kerdil
untuk menganalisa, mengulas dan memberi pandangan serta pendapat yang jitu dan
tepat dari segi seni, teknik dan falsafah persilatan Laksamana Hang Tuah
seorang pendekar handalan, Laksamana, panglima dan pahlawan Melayu teragung.
Maka tidaklah terjangkau dan terfikir sepenuhnya perkara-perkara tersebut
dengan ilmu dan pengalaman serta kebolehan persilatan penulis yang amat cetek
dibandingkan dengan beliau. Sementara itu di luar sana terdapat bagitu ramai
guru-guru, mahaguru-mahaguru yang lebih arif dan hebat dalam ilmu persilatan
Melayu Nusantara. Kehebatan ilmu persilatan Hang Tuah adalah berpaksikan dan
berpunca daripada ilmu zahir dan batin Tiga Orang Guru beliau berserta sebilah
keris penduanya yang sakti iaitu Keris Taming Sari dan keris berjasanya iaitu
keris utamanya `Keris Panjang Tempa Melaka` serta sebilah pisau kecil hikmat
yang selalu tidak berpisah dengan beliau yang rahsianya hanya terbongkar
sewaktu perpisahan beliau dengan gurunya seorang Syeikh Sufi di hulu Melaka
iaitu Syeikh Mansur yang ternyata melalui dialog ini:
“Ya tuanku, suatu pun tiada persembah
(hadiah untuk guru sebagai membalas budi-p) hamba ka-bawah kadam (yang mulia-p)
tuanku, hanya-lah pisau (badik?-p) sa-bilah ini (untuk-p) permainan tangan
(pakaian-p) tuanku.` Maka di-sambut oleh Syeikh pisau itu, maka di-lihat-nya
pisau itu sarong-nya daripada emas sa-puloh mutu di-tatah mas permata sembilan
bagai, shahadan hulu-nya daripada chula (tanduk). Maka pada hulu-nya suatu
intan dibuboh-nya, chahaya-nya amat gilang-gemilang dan mata pisau itu terlalu
baik (dari segi tempaan besinya dan ukuran tuahnya-p). Maka sheikh pun terlalu
sukacita seraya berkata, `Sunggoh-lah tuan anak kepada-ku (sanggup
menghadiahkan barang yang amat bernilai sabagai tanda kasihnya-p). Bermula
pisau itu sa-buah negeri dengan isi-nya tiada ku tukarkan. Ada pun kasih
anak-ku itu Allah Ta`ala juga membalas dia, tetapi (walau pun pisau bertuah dan
berhikmat ini tiada lagi pada Hang Tuah-p) insha Allah Ta`ala, barang di-mana
tempat anak-ku itu dipeliharakan Allah subhanahu wa Taala juga, bala di-jauhkan
Allah Ta`ala pada kadam. `Sa-telah sudah Sheikh Mansur memberi do`a akan
Laksamana, Laksamana pun sujud pada kaki sheikh (maksud – merendah diri kepada
guru dengan cara mencium tangan orang yang suci hati dan kerana menghormati
ilmu agama serta ilmu ketuhanan yang ada di dalam dadanya - bukan perbuatan
sujud fizikal pada kaki manusia - kerana perbuatan begitu syirik dan berdosa
besar dalam Islam-p) itu lalu ia bermohon. Maka sheikh pun memelok mencium
Laksamana. Maka Tun Pekerma dan Tun Kasturi pun bemohonlah (permisi) pada
sheikh itu.”
(Hikayat
Hang Tuah: hlm 308)
2.2 Keberanian dan kebijasanaan
Keberanian
dan ketabahan Hang Tuah dan ahli rombongan peminangan itu dikagumi oleh
Seri Betara Majapahit sehingga baginda menganugerahkan gelaran Penggawa Agung
kepada Hang Tuah yang bertaraf tinggi selepas kedudukan Patih Gajah Mada.
Kebijaksanaan Hang Tuah terserlah sekali lagi apabila beliau berjaya mengenal
pasti dan mengubati penyakit kuda tezi yang liar yang gagal ditunggangi oleh
sesiapa pun. Hang Tuah mengatakan bahawa kuda tezi bingkisan Sultan Sang Jaya
Nantaka itu berpenyakit kerana mewarisi tabiat kerbau iaitu apabila kelelahan
akan mencari sungai tempat berkubang. Penjelasan ini mendatangkan kemarahan
utusan Benua Keling, Orang Kaya Sang Perdana (O.K.S Perdana Setia) dan Sang
Ratna Setia kerana berasa terhina. Akhirnya Hang Tuah dapat menyembuhkan
penyakit kuda tezi tersebut dalam masa 7 hari. Kemudian rombongan utusan Melaka
selamat kembali ke Melaka dengan membawa utusan Majapahit yang menerima
peminangan Raja Melaka terhadap Raden Mas Ayu.
Sifat
Berani Hang Tuah merupakan tokoh utama dalam Hikayat Hang Tuah. Keberanian Hang
Tuah jelas terlihat ketika beliau berada di Majapahit. Hang Tuah sentiasa
berwaspada dan beringat-ingat dengan tindakan beliau ketika menentang
musuh-musuh yang cuba menentangnya. Keberanian Hang Tuah mendapat perhatian
daripada Betara Majapahit dan mengakui dengan dialognya menyatakan bahawa:
“….adapun kulihat Laksamana itu bukan
barang-barangorang dan bukan barang-barang hulubalang dengan beraninya dan
bijaksananya; syahadan tahunya padailmu firasat dan penjurit ; dan tahu bermain
senjata jangan dikata lagi;…….”
(Hikayat
Hang Tuah: hlm169)
Sifat
keberanian dan rasional Hang Tuah amat bijak bertindak ketika berada dalam
keadaan terdesak. Hang Tuah juga menggunakan kepintarannya untuk mendapatkan
semula keris Taming Sari dari Hang Jebat semasa mereka berlawan. Hang Tuah cuba
melekakan Hang Jebat dengan kata-kata yang menunjukkan simpati terhadap Hang
Jebat;
“Hai Si Jebat, apatah dayaku kerana
aku dititahkan raja membuangkan engkau ? Dalam pada itupun, jika engkau berdosa
ini lain daripada dosa yang demikian, tahu juga kupohonkan. Yang engkau dan
Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu ini bukanlah sahabat lagi padaku, penaka
saudaraku;ah. Sukar aku berkata.”
(Hikayat
Hang Tuah: hlm 390)
Dengan
ini dapat dilihat bahawa keberanian dan kebijaksaan dalam membuat keputusan itu
perlu diambil dengan kadar yang rasional mengikut keperluan pada sesuatu masa.
Dengan menggunakan keberanian dan kebijaksanaan yang ada dengan baik, Hang Tuah
mampu untuk mengatasi segala masalah yang menimpanya.
2.3 Kesetiaan kepada raja.
Dalam
Hikayat Hang Tuah, pengarangnya banyak menyelitkan falsafah tentang kesetiaan
kepada raja. Raja dianggap sangat mulia kedudukannya dan mempunyai kuasa yang
tinggi. Bagi masyarakat Melayu sangat penting untuk menghormati institusi
diraja dan taat setia kepada perintah raja.
Dalam Hikayat Hang Tuah, sikap Hang Tuah yang sangat pentingkan ketaatan
kepada raja menjadi isu utama dalam penceritaannya. Hang Tuah dikatakan sanggup
membelakangkan persahabatannya dengan Hang Jebat bagi menurut perintah raja
untuk membunuh Hang Jebat.
Selain
itu, sifat taat setia Hang Tuah digambarkan sebagai seorang hamba yang taat
setia kepada rajanya. Beliau sanggup dirinya dibunuh biarpun tidak bersalah.
Hukuman bunuh yang dititahkan ke atas Hang Tuah terjadi sebanyak dua kali.
Namun beliau tidak pernah menyimpan dendam pada raja malah menerimanya dengan
penuh sifat kesetiaan selepas diperlakukan sedemikian oleh raja. Demikian
diceritakan betapa besarnya kesetiaan Hang Tuah kepada rajanya dan tidak
berpaling tadah walaupun dihukum banyak kali diatas kesalahan yang tidak dilakukan oleh beliau.
“…..maka Laksamana pun menguinus
kerisnya dari pinggangnya lalu dipersembahkannya pada Bendahara; demikian katanya,
“Alhamdulillah! Si Tuah tiada bertuan dua tiga dan Si Tuah tiada mau derhaka
kepada tuannya.”
(Hikayat Hang Tuah: hlm 207)
Sikap
kesetiaan Hang Tuah mampu memberi inspirasi kepada pengarang dan pembaca dalam
kehidupan seharian dan mampu untuk dijadikan falsafah hidup dan diadaptasikan
dalam kehidupan pada zaman kini.
3.0 Falsafah Melayu dalam Sulalat al-Salatin
(Sejarah Melayu).
Teks yang dikenali sebagai Sejarah
Melayu atau Sulalat al-Salatin ini
telah melalui beberapa zaman bermula di Melaka pada zaman Kerajaan Melayu
Melaka kemudian berkembang sehingga menjadi sebuah sejarah yang lengkap. Karya Sulalat
al-Salatin merupakan sebuah sastera sejarah kerana isinya terkandung
peristiwa sejarah dan bercampur dengan sastera rakyat. Naskhah asal karya ini telah disalin beberapa
kali di Johor kerana merupakan sebuah karya yang penting yang diperlukan oleh
istana untuk merujuk salasilah raja dan kerabatnya. Pada zaman dahulu turut menjadi budaya bahawa
teks yang baik akan diperbanyakkan untuk pembacaan dan disimpan. Karya yang ditulis di Johor ini bartarikh
1612 amat penting dan dari awal lagi dikagumi kerana kandungan, bahasa, dan
seni persembahannya. Teks Sejarah Melayu ini amat penting bagi bangsa yang
menjadi pokok persoalan dan sejarahnya iaitu bangsa Melayu. Melalui teks Sejarah Melayu ini, dapat
diketahui susur galur pemerintah Tanah Melayu dahulu kala serta sejarah
pemerintahan mereka. Melalui teks sejarah ini juga, kita dapat melihat falsafah
dan pemikiran orang Melayu dalam menjalani kehidupan seharian.
3.1 Kepercayaan
dan agama.
Kepercayaan dan agama merupakan dua
aspek sosial yang amat berkait rapat dengan kehidupan dan amalan seharian. Pada
satu ketika dahulu, animisme dan Hindu-Buddha menjadi kepercayaan dan agama
anutan orang Melayu tetapi pegangan itu berubah apabila datangnya Islam yang
berteraskan kepercayaan kepada Allah. Namun, kepercayaan animisme dan
Hindu-Buddha yang menjadi amalan sejak berkurun lama amat sukar dikikis dan kekal
diamalkan. Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah
berbentuk animisme. Mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa
ghaib. Sehubungan dengan itu wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu,
pokok, sungai, gunung, dan pelbagai fenomena alam yang lain. Sebagai contoh,
demi untuk keselamatan anggota masyarakat kuasa ghaib atau penunggu perlu
dipuja dan dijamu dengan hidangan yang enak. Sebagai contoh, bagi mereka yang
bergantung hidup kepada laut mereka akan mengadakan puja pantai. Demikian juga
dengan tempat-tempat lain seperti hutan dan sungai. Dalam Sejarah Melayu, ada
dirakamkan beberapa kali kisah pembukaan hutan sama ada untuk dijadikan negeri
atau kawasan pertanian. Bagi mengelakkan rancangan atau aktivit mereka terganggu,
penunggu hutan akan dipuja atau sekurang-kurangnya diberi penghormatan dengan
meminta izin daripadanya. Walau bagaimanapun, masyarakat Melayu tradisional
tidak menganggap semua hantu membawa kecelakaan. Mereka turut percaya bahawa
hantu juga dapat memberikan kelebihan dan kekauatan luar biasa kepada manusia,
sebagaimana yang diperoleh Badang dalam Sejarah Melayu. Badang dikatakan
menjadi kuat dan tidak dapat dikalahkan oleh pahlawan yang handal setelah
memakan muntah hantu. Banyak lagi kepercayaan-kepercayaan lain yang diamalkan
oleh masyarakat Melayu tradisonal seperti kepercayaan terhadap bomoh, ahli
nujum, ramalan berdasarkan mimpi, keramat, semangat dan banyak lagi. Masih
banyak lagi kepercayaan yang berunsur animisme yang masih dipraktikkan oleh
masyarakat Melayu tradisional. Pengekalan kepercayaan ini satu daripadanya
adalah disebabkan terdapat persamaan konsep ghaib dan perlakuan luar biasa
dalam agama-agama selepasnya.
3.2 Konsep
raja dan kedaulatannya.
Politik Melayu tradisional memperlihatkan
raja sebagai orang yang sangat penting dan amat dihormati. Sebagai seorang
pemerintah, raja disifatkan sebagai orang yang mulia dan mempunyai pelbagai
kelebihan. Dalam Sejarah Melayu, raja diletakkan setaraf dengan nabi dan
sebagai pengganti Allah di muka bumi dan perkara ini dapat dilihat dalam wasiat
Bendahara Paduka Raja Tun Perak kepada segala anak cucunya. Konsep raja yang
sedemikian bukanlah bermula dengan kedatangan Islam, tetapi telah wujud sejak
zaman animisme dan Hindu-Buddha lagi. Dalam kepercayaan animisme raja dianggap
sebagai orang yang paling berkuasa dan menjadi penghubung antara rakyat dengan
roh nenek moyang. Manakala pada zaman Hindu-Buddha, raja dikatakan titisan para
dewa. Konsep raja dikaitkan dengan keagamaan bagi memperkuatkan kepercayaan
rakyat terhadap kebesaran dan kemuliaan raja serta disesuaikan dengan kedudukan
agama yang mereka anuti.
Sesuai dengan konsep raja, seseorang
raja itu dikatakan mempunyai beberapa sifat yang mulia dan kuasa luar biasa.
Kebolehan luar biasa seorang raja ini pula dikaitkan pula dengan konsep daulat.
Masyarakat Melayu amat mempercayai bahawa seorang raja adalah berdaulat. Konsep
daulat ini memberikan banyak hak dan keistimewaan kepada raja. Raja juga tidak
boleh dicela atau dikritik dan daulat turut menuntut taat setia yang tidak
boleh dipersoalkan lagi oleh rakyat. Berdasarkan keterangan di atas, raja
Melayu pernah memperlihatkan kedaulatan mereka. raja yang berdaulat jika
direndahkan akan menyebabkan orang tersebut terkena tulah. Contohnya, dalam
Sejarah Melayu ada diceritakan mengenai Maharaja China yang menjadi kedal
setelah Sultan Mansur Syah mengaku kebesaran Raja China melebihi Raja Melayu
dengan mengirim sembah kepadanya. Bagi mengubati penyakit tersebut, Raja China
perlu meminum dan membasuh muka dengan air basuh kaki Sultan Mansur Syah. Cara
pengubatan itu sendiri memperlihatkan kedaulatan Raja Melayu. Orang yang tidak
sedarjat dengan raja juga akan terkena tulah jika dikahwini oleh baginda.
Sejarah Melayu menggambarkan hal ini dalam peristiwa perkahwinan Seri Teri
Buana, di mana tiga puluh Sembilan orang isterinya menjadi kedal setelah
ditiduri pada malam hari kerana mereka dari kalangan rakyat biasa. Selain itu
tulah juga boleh terkena kepada orang yang menceroboh hak-hak raja, melanggar
larangan baginda, mengetepikan segala kebesaran dan menderhaka kepada raja. Hal
ini turut digambarkan di dalam Sejarah Melayu iaitu Sang Rajuna Tapa yang
menderhaka kepada Raja Iskandar Syah di Singapura kerana beliau telah membantu
Majapahit menewaskan Singapura. Akibat perbuatan derhaka tersebut:
Dengan takdir Allah Taala, maka
rumah Sang Rajuna Tapa
pun roboh, dan kerengkiangnya pun
tumbang, dan beras pun habis
menjadi tanah, dan Sang Rajuna Tapa suami isteri pun menjadi batu.
(Sejarah
Melayu: hlm 53)
Kedudukan
dan kedaulatan raja menjadi semakin teguh dengan adanya perjanjjian taat setia
diantara raja dan rakyat. Hal ini jelas dapat dilihat dalam persetiaan Demang
Lebar Daun dengan Seri Teri Buana yang terdapat dalam teks Sejarah Melayu.
Antaranya ialah raja tidak boleh mencela, menista, mengeji dan mengaibkan
rakyat, manakala rakyat pula tidak boleh sekali-kali menderhaka dan menitikkan
darah (membunuh) raja meskipun raja itu bersalah, jahat atau zalim. Dengan
adanya perjanjian dan pengakuan rakyat terhadap kedaulatan raja, maka lahirlah
ungkapan ‘pantang Melayu menderhaka’. Justeru, sewaktu pemerintahan Kesulatanan
Melayu Melaka, dapat dilihat beberapa pembesar dan rakyat yang amat setia terhadap
raja seperti Bendahara Paduka Raja Tun Perak yang tidak menderhaka walaupun
anaknya dibunuh oleh raja, Hang Tuah yang sanggup membunuh sahabat karibnya
sendiri atas arahan sultan, dan Tun Ali Hati pembesar Sultan Ahmad Syah yang
tidak mahu menyembah sultan lain setelah Sultan Ahmad Syah mangkat dan sanggup
dibunuh daripada mengubah kesetiaannya itu. Jelaslah di sini bahawa raja merupakan satu konsep penting
dalam masyarakat Melayu dan mereka mempercayai bahawa raja mempunyai daulat dan
kebolehan yang luar biasa dan baginda tidak boleh diderhakai oleh rakyat.
3.3 Pelaksanaan undang -undang.
Undang-undang
Melayu tradisional dibentuk berteraskan adat yang diamalkan oleh mereka.
Berdasarkan Sejarah Melayu, boleh dikatakan bahawa asas bagi pembentukan undang-undang
adalah sewaktu berlakunya persetiaan antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri
Buana di Palembang. Persetiaan ini telah meletakkan raja sebagai sesuatu yang
agung dan wajib dihormati oleh rakyat, manakala rakyat pula tidak boleh
dizalimi. Bagi menjamin kedudukan dan status raja, lahirlah konsep daulat dan
derhaka yang memberi kuasa mutlak kepada raja untuk membuat undang-undang.
Undang-undang yang dibuat tidak secara nyata dan perlaksanannya adalah
berdasarkan sesuatu hukuman yang dipraktikkan dalam satu-satu masa. Dalam
Sejarah Melayu ada diceritakan mengenai hukuman yang dikenakan ke atas
penderhaka. Penderhakaan boleh dimaksudkan sebagai orang yang tidak mengikut
perintah raja atau melakukan sebarang tindakan yang menyinggung dan mencabar
hak dan kedudukan raja. Undang-undang yang membawa hukuman mati ke atas
penderhaka pertama kali dijatuhkan kepada Tun Jana Khatib yang dikatakan cuba
menawan hati isteri baginda dengan menunjukkan kebijaksanaannya membelah pohon
pinang melalui tilikan mata.
Terdapat
juga hukuman yang bersifat umum dan mungkin untuk kepentingan seluruh
masyarakat. Undang-undang ini tidak melibatkan raja, namun hukuman bagi
kesalahan tersebut masih ditentukan oleh raja. Di antara undang-undang umum itu
ialah kesalahan memfitnah orang lain. Sejarah Melayu memperlihatkan pelaksanaan
undang-undang ini melalui hukuman bunuh yang dikenakan ke atas Bendahara Seri
Maharaja kerana fitnah yang dibuat oleh Kitul dan Raja Mendeliar. Terdapat juga
undang-undang yang mengenai bersekedudukan dengan isteri orang. Sesiapa yang
melanggarnya boleh dihukum bunuh oleh suami perempuan tersebut tanpa mengira ia
seorang pembesar mahupun sultan. Undang-undang ini dapat dilihat dengan jelas
dalam Sejarah Melayu dalam episod Sultan Mahmud Syah berlaku curang dengan
isteri Tun Biajid. Jika Tun Biajid tidak berpegang pada konsep pantang Melayu
menderhaka kepada sultan, pastinya Sultan Mahmud Syah sudah dibunuh. Sejarah
Melayu juga tidak ketinggalan dalam memaparkan undang-undang yang melibatkan
kecurian dan mengambil harta atau barang orang lain. Undang-undang ini
dipraktikkan sewaktu zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah. Waktu itu,
terlalu kerap berlaku kecurian dan baginda sendiri keluar mengawal pada waktu
malam dan membunuh setiap pencuri yang ditemuinya. Berdasarkan tindakan sultan
itu menunjukkan sabit kesalahan mencuri, seseorang itu boleh dihukum bunuh.
Memang diakui bahawa undang-undang yang dilaksanakan kadang-kala lebih
menguntungkan raja, namun masyarakat Melayu dapat menerima keadaan tersebut dan
mereka sedar undang-undang yang dikenakan adalah untuk menjamin keharmonian dan
kesejahteraan masyarakat.
Sulalat
al-Salatin merupakan eksperimen agung pengarangnya yang berusaha melakarkan
jiwa serta perlakuan bangsanya. Melalui
cerita yang dikendalikan sebagai sumber yang sarat dengan sifat lisan pengkisah
membawa kita ke dalam hasrat, mimpi, dan cita-cita bangsa itu sendiri. Manakala kesedihan, kegembiraan, adat
istiadat, dan nilainya digambarkan dengan terperinci melalui karya
bertulis. Sastera lama merupakan gedung
ilmu tentang bangsa Melayu yang digarap melalui bahasa, sejarah, kesusasteraan,
kehidupan politik, adat istiadat, dan agamanya.
Oleh itu, jelaslah bahawa sastera bukanlah sekadar untuk hiburan
semata-mata malah didalamnya terkandung nilai sejarah yang mempunyai falsafah
sesuatu bangsa yang penting untuk dikaji dan diteliti.
4.0 Falsafah
Melayu dalam Bustan al-Katibin
Linguistik Melayu yang diupayakan
oleh tokoh setempat dan serantau di Alam Melayu dapat dikesan titik awalnya
pada pertengahan abad ke-19 iaitu dengan mengambil tarikh terhasilnya karya
tatabahasa Melayu oleh Raja Ali Haji. Karya itu berjudul Kitab Bustan
al-Katibin yang dihasilkan pada tahun 1850.Bustan al-Katibin ialah sebuah karya paling awal mengenai bahasa Melayu berkaitan pelajaran ejaan dan tatabahasa Melayu yang disusun oleh ilmuwan dan budayawan Melayu yang ulung, iaitu Raja Ali Haji.
Bustan al-Katibin merupakan karya yang berjaya
meninggalkan kesan seni, budaya dan pemikiran luar biasa dalam tamadun atau
tradisi sesuatu bangsa. Karya ini dianggap warisan bangsa dalam erti kata
bahawa ia mewakili ‘minda’ dan pengalaman bersama bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana
yang dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradisi ilmu, adat,
bahasa, seni, dan pekerti budaya dan sosial yang membentuk citra identiti
ketamadunan bangsa itu.
Menurut Hashim (2009), dalam Islam, memang ada perkaitan yang
dalam antara pemahaman bahasa atau ilmu dengan pentauhidan kepada Allah. “Dalam
Islam, pengajian bahasa khususnya bahasa Arab dan bahasa penganut Islam yang
lain, merupakan alat untuk mencapai makrifat iaitu mengenali Allah dan seluruh
kewujudan, memperteguh keimanan dan ketakwaan, dan menyemai adab kesopanan yang
mulia yang mengandungi ilmu-ilmu lain seperti nahu (sintaksis), sharaf
(morfologi) dan sebagainya,”. Hal ini demikian merupakan falsafah-falsafah
Melayu yang diterapkan oleh pengarang dalam karya.
Sekitar tahun 1827, Raja Ali Haji bersama ayahnya menunaikan
ibadah Haji ke Mekah. Kemudian, beliau tinggal di sana selama setahun untuk
memperluas pengetahuan agama. Di Mekah, beliau sempat belajar beberapa bidang
keislaman dan ilmu bahasa Arab daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani.
Berbekalkan pengembaraan intelektual dan pengalaman yang telah dilaluinya, Raja
Ali Haji tumbuh menjadi pemuda berwawasan luas. Meskipun usianya muda, beliau
sudah dikenali sebagai seorang ulama yang sering kali diminta fatwanya oleh
pihak kerajaan. Dalam Bustan al Katibin, Raja Ali Haji tampil sebagai seorang
askar kerajaan untuk menjaga keberlangsungan tradisi dan budaya Melayu.
Falsafah Melayu Raja Ali Haji yang merupakan pemikiran beliau dinyatakan melalui
nilai dan norma-norma Islam.
4.1 Kepentingan Ilmu dalam Masyarakat Melayu
Bustan
al-Katibin merupakan karya Raja Ali Haji berkaitan tatabahasa Melayu yang
menjadi warisan berharga kepada penyambungan tradisi pengajian bahasa dalam
Islam yang bermula sejak zaman awal Islam lagi. Dalam Islam, pengajian bahasa
khususnya bahasa Arab dan bahasa penganut Islam yang lain, merupakan alat untuk
mencapai makrifat iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan bahasa mampu
untuk memperteguh keimanan dan ketaqwaan dan menyemai adab kesopanan
selain mengandungi ilmu-ilmu lain
seperti nahu dan sebagainya. Raja Ali Haji telah menggariskan tatabahasa Melayu berdasarkan maksud dan matlamat
pengajian bahasa yang digariskan oleh tradisi pengajian Islam tersebut. Di
sinilah letaknya falsafah Melayu Raja Ali Haji dalam tradisi persuratan Melayu,
yang meletakkan asas pengajian bahasa Melayu pada tempat yang sebenar iaitu
bahasa sebagai alat untuk memperoleh ilmu yang benar yang akan membawa kepada
keyakinan dan ketaqwaan.
Selain itu, Raja Ali Haji menyatakan
bahawa terdapat kaitan yang erat antara kebolehan berbahasa dan adab sopan yang
mulia dengan ilmu yang tinggi. Tegas beliau dalam Bustan al-Katibin:
…adab
dan sopan itu daripada tutur kata juga asalnya, kemudian baharulah pada
kelakuan. Bermula apabila berkehendak kepada menuturkan ilmu dan berkata-kata
yang beradab dan sopan, tak dapat tiada mengetahuilah dahulu ilmu yang dua itu
iaitu ilmu wa al-kalam (pengetahuan dan pertuturan). Adapun kelebihan ilmu wa
al-kalam amat besar sehingganya mengata setengah hukama’ segala pekerjaan
pedang boleh diperbuat dengan qalam, adapun pekerjaan-pekerjaan qalam tiada
boleh diperbuat dengan pedang…
(Bustan
al-Katibin: hlm 3)
Bagi Raja Ali Haji, keturunan dan
pangkat yang tinggi akan menjadi perkara yang sia-sia tanpa ilmu yang sahih,
akal budi yang luhur dan adab sopan yang mulia. Hal ini demikian disokong
berdasarkan penyataan berikut:
“…jikalau
beberapa pun bangsa (keturunan) jika tiada ilmu dan akal dan adab, ke bawah juga
jatuhnya”.
(Bustan
al-Katibin: hlm 2)
Beliau
juga telah menerangkan kelebihan ilmu dan akal untuk meletakkan tujuan yang
sebenarnya dalam pembelajaran bahasa. Ilmu yang paling penting yang harus
dipelajari oleh orang Islam ialah agama Islam. Oleh itu, sebelum beliau
memulakan penghuraian tentang bahasa Melayu, terlebih dahulu dihuraikan secara
terperinci adab dan syarat menuntut ilmu yang sebenarnya merupakan asas teknik
dan psikologi pendidikan yang mampu melahirkan orang Melayu yang bukan sahaja
fasih bercakap tetapi juga boleh bercakap
dengan budi bahasa dan adab sopan yang mulia dengan ilmu yang sahih dan
benar. Raja Ali Haji juga menegaskan bahawa proses pendidikan yang dapat
membawa kepada disiplin jasad, akal dan unsur rohaniah perlu disemai dalam diri
setiap individu. Dengan cara ini, masyarakat Melayu akan mencari, memperoleh
dan mengamalkan ilmu yang benar bagi mencapai matlamat daripada proses
pendidikan.
Di samping itu, dalam karya
ini, Raja Ali Haji mengatakan bahawa “Jikalau
beberapa pun bangsa jika tiada ilmu dan akal dan adab, ke bawah juga jatuhnya,
yakni kehinaan juga diperolehnya.” Berdasarkan penyataan ini,
Raja Ali Haji mengaitkan hubungan yang erat antara ilmu, akal dan adab. Maksudnya, masyarakat atau bangsa akan menjadi masyarakat yang
unggul sekiranya mereka diberi ilmu yang benar seterusnya ilmu ini dapat membentuk akal dan adab masyarakat.
4.2 Adab Menuntut Ilmu
Raja
Ali Haji menekankan ketertiban dalam setiap perkara. Oleh itu, adab mampu
membawa kepada ketertiban ilmu seperti yang diutarakan oleh beliau dalam Bustan
al-Katibin:
“…tiap-tiap
perkara itu ada yang terlebih besar dan ada yang kecil, ada yang tinggi, ada
yang rendah, ada yang mulia, ada yang hina, ada yang pendek, ada yang panjang,
ada yang halus, ada yang kasar…Maka didahulukan yang terlebih besar daripada
yang kecil, didahulukanlah yang tinggi daripada yang rendah…perkara ugama
terlebih tinggi daripada perkara dunia dan perkara kerajaan terlebih tinggi
daripada perkara perniagaan..perkataan “buang air besar” dan “buang air kecil”
terlebih mulia daripada perkataan “berak” dan “kencing”…”
Bustan al-Katibin: hlm71-73)
Kaedah
menulis surat kiriman yang diutarakan oleh Raja Ali Haji dalam kitab uni adalah
mengukuhkan dan mengesahkan ketertiban atau martabat ilmu yang membawa kepada
kesahihan dan kebenaran ilmu dalam Islam. Kemudian, Ali Haji menunjukkan hubungan ilmu dengan kalam iaitu
bahasa. ”Adapun kelebihan ilmu wal kalam amat besar sehingganya mengatasi
setengah hukama’, segala pekerjaan pedang bisa diperbuat dengan kalam. Adapun
pekerjaan-pekerjaan kalam tidak bisa diperbuat dengan pedang, maka ini ibarat
yang terlebih sangat nyatanya. Dan beberapa ribu dan laksa pedang yang sudah
terhunus, dengan seguris kalam jadi tersarung, terkadang jadi tertangkap dan terikat dengan
pedang sekali.”
Seterusnya, Raja Ali Haji menerangkan apabila seseorang sudah mengetahui kelebihan ilmu, maka individu tersebut harus memelihara adab dan syaratnya. "Adapun syaratnya itu, iaitu antara nafsumu dengan dirimu sendiri. adapun adabnya itu antaramu dan gurumu".
Raja Ali Haji juga menjelaskan
dalam kitab ini, terdapat lima syarat untuk menuntut ilmu. Pertama, seseorang
perlu mempunyai keinginan untuk menuntut ilmu. Kedua, seseorang perlu sentiasa
mengulang perkara yang telah dipelajari. Ketiga, muzakarah, bermaksud melakukan perbincangan bersama agar masing-masing
mengingati perkara yang dipelajari. Keempat, mutala’ah, bermaksud sentiasa memikirkan perkara yang tidak difahami dan
individu tersebut perlu bertanya kepada sahabat mereka apabila melakukan
perjumpaan. Kelima, sekiranya, sahabat tersebut tidak dapat membantu untuk
menjelaskan sesuatu perkara yang tidak difahami, individu tersebut perlu bertanyakan
yang kita kemusykilan tersebut kepada guru.
4.3 Kebahasaan berdasarkan Al-Quran dan Hadis
Berdasarkan
pandangan Raja Ali Haji tentang pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa
Melayu berkait rapat dengan kewujudan dan kejadian alam semesta. Oleh itu,
pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu seharusnya menjadi alat
dan wahana yang membawa ke arah pengenalan, pengertian, pemahaman, pengucapan,
pengungkapan, penyampaian, pemujaan, pemujian dan pengakuan terhadap Allah.
Raja
Ali haji menekankan bahawa perkara paling utama yang harus dipelajari oleh
orang Melayu tentang bahasanya ialah ilmu yang terkandung di dalamnya kerana bahasa
padanya ialah alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara kreatif oleh
manusia untuk mencapai ilmu yang benar tentang alam ciptaan Allah. Dengan
mengikuti adab dan syarat menuntut ilmu, pembelajaran bahasa Melayu mampu
melahirkan penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi bercakap dengan budi
dan adab sopan yang mutlak dengan ilmu yang sahih dan benar. Inilah falsafah
Melayu yang dinyatakan dalam Bustan al-Katibin iaitu kebahasaan berdasarkan
al-Quran dan hadis.
Malah, Raja Ali Haji sangat
menekankan hubungan yang erat antara bahasa, akal dengan pengakuan adanya Allah
SWT kerana pelajaran bahasa cenderung bersifat sekuler. Menurut, sarjana Barat,
bahasa berfungsi sebagai alat untuk mengekspresikan diri, alat untuk
berkomunikasi, alat untuk integrasi atau adaptasi sosial dan alat untuk
melakukan kontrol sosial.
Hal ini demikian menunjukkan bahawa pelajaran bahasa yang membebaskan
manusia dari penciptanya menjadikan bahasa itu digunakan sewenang-wenangnya
seterusnya mengakibatkan hilang adab berbahasa dan muncul bahasa-bahasa atau
kata-kata yang tidak bermutu.
5.0 Falsafah Melayu dalam Tuhfat al-Nafis
Tuhfat al- Nafis adalah buku sejarah karangan Raja Ali
Haji, sasterawan dari Kepri dan pangeran Kesultanan Riau-Lingga keturunan
Bugis. Buku ini ditulis pada tahun 1885 dalam huruf Jawi. Dalam buku ini
dicatat kejadian-kejadian yang berlangsung pada abad ke 18 dan 19 di berbagai
negeri Melayu. Tuhfat al-Nafis menceritakan sejarah kerajaan Riau-Lingga,
sebuah kerjaan Melayu yang paling kompleks dan canggih. Dari segi geografi,
Tuhfat Al-Nafis meliputi peristiwa di kalangan semua kerajaan Melayu di
Semenjung Melayu dan Kepulauan Riau-Lingga (termasuk Singapura), di Siak
(Sumatera Timur), di Kalimantan Barat, di Sulawesi Selatan, dan di Betawi.
Bangsa
Melayu boleh berbangga kerana memiliki seorang pujangga besar yang telah
melahirkan karya agung, Tuhfat al- Nafis. Karya sastera ini membuat orang kagum
kerana dibuat secara profesional. Menurut Taufik Ismail, sumbangan Raja Ali
Haji tidak kalah dari apa yang telah diberikan oleh tiga orang Pahlawan
Nasional dari Riau lainnya (Tuanku Tambusai, Sultan Syarif Kasim II, dan Raja
Haji Fisabilillah). Jika ketiganya banyak bergerak dalam dimensi perjuangan
fisik, maka Raja Ali Haji banyak bergerak dalam bidang pencerahan dan
pencerdasan bangsa. Dia tidak berperang menghunus pedang atau memberikan
sumbangan kewangan bagi masyarakatnya, tetapi dengan keintektualannya melalui
karya tulis. Dalam Tuhfat al-Nafis banyak terkandung falsafah yang dipegang
oleh masyarakat pada zaman dahulu.
Tuhfat
al-Nafis merupakan suatu karya
sastera yang mampu mencipta kesan ke atas daya fikir pembacanya, iaitu karya
yang mengandungi falsafah dan dapat difahami mesej falsafah si pengarang. Kesan
falsafahnya juga terang dan jelas supaya pembaca sedar akan falsafah yang
terkandung dalam karya itu. Dalam karya Tuhfat al Nafis juga mengandungi banyak
falsafah yang tersirat yang hendak disampaikan oleh Raja Ali Haji kepada
pembacanya.
Raja Ali
Haji banyak mengetengahkan pemikiran Islam dalam setiap karyanya, termasuklah
dalam karya Tuhfat al Nafis. Elemen utama yang mewarnai dunia kepengarangannya
tidak dapat dipisahkan dari konsep dan landasan Islam yang begitu kukuh.
Pemikiran ini banyak ditemukan dalam karya agungnya, Tuhfat al-Nafis yang
dipengaruhi oleh latar belakang keluarga dan sistem pendidikan yang diterima
oleh pengarangnya. Hal ini dapat dilihat pada awal penulisan Tuhfat al-Nafis
yang dimulai dengan bismillah dan puji-pujian kepada kebesaran Allah dan pujian
kepada Nabi Muhammad S.A.W.
I-hamdu
Li’Llah al-ladhi khalaka al-dunya wa al-akhira bi kudrati-Hi wa khalaka
al-insan badi ‘san ‘ati-Hi wa hikmati-Hi: yakni segala puji-pujian bagi Allah
yang telah menjadikan dunia dan akhirat dengan kuasa-Nya dan kehendak-Nya dan
telah menjadikan manusia yang indah-indah perbuatan-Nya dan hikmat-Nya. Fa
al-salat wa al-salam ‘ala Sayyidina Muhammad sayyid al-anam wa akmal al-khalk
al-tamm udian maka diiringi pula dengan rahmat Allah dan salam Allah atas
Penghulu kita Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam.
(Tuhfat
al-Nafis: hlm 1)
5.1 Adat istiadat dan pantang larang Diraja
Tuhfat
al-Nafis turut membincangkan tentang adat istiadat dan pantang larang Diraja.
Sultan Muhammad Syah merupakan pemerintah pertama yang memperkenalkan pelbagai
adat resam dan larangan terhadap darjat Diraja di Melaka. Di antara adat resam
itu seperti yang dinyatakan dalam Tuhfat al-Nafis ialah penggunaan payung,
persidangan di istana, pemberian hormat, tatacara kedatangan dan pemergian
perwakilan, penganugerahan darjah, keberangkatan diraja, upacara menghadap
diraja dan sebagainya. Di antara larangan yang dikeluarkan kepada orang
kebanyakan oleh Sultan Muhammad Syah juga termasuklah penggunaan warna dan
bahan kuning, pembinaan rumah atau sampan, pemakaian keris, emas dan perhiasan
serta jenis pakaian yang boleh dipakai oleh orang kebanyakan. Barangsiapa yang
tidak mematuhi larangan yang dikeluarkan akan dikenakan denda yang dipanggil
denda pati.
Adat dan
larangan yang diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah masih digunapakai oleh
pemerintah Melayu sehingga kini akan tetapi pada tahap yang lebih ringan.
Wujudnya adat resam dan larangan ini jelas menunjukkan bahawa wujudnya
perbezaan darjat yang tinggi antara kerabat diraja dengan golongan kebanyakan
pada ketika itu. Pemikiran masyarakat pada zaman dahulu jelas menunjukkan taat
setia yang tidak berbelah bagi kepada golongan pemerintah, iaitu raja. Segala
adat resam dan pantang larang yang dinyatakan dipatuhi tanpa bantahan bagi
menzahirkan ketaatan mereka kepada raja.
Syahadan
baginda Sultan Muhammad Syah ialah raja Melayu mula-mula meletakkan adat Melayu
seperti kekuningan yang tertentu kepada raja jua, melainkan kekuningan itu jika
diambilkan baju dan kain dan destar, maka (yang) ((tiga)) perkara itu boleh.
((Dan)) demikian lagi larangan juga berbuat rumah beperanginan dan tiang
beralas tiada terletak ke tanah dan rumah berpebalaian dan berpelantaran. Dan
(jika) perahu larangan juga seperti perahu bertingkap dan berpengadapan. Dan
berlarang juga bergelang kaki emas keroncong kepala perak sekalipun tiada dapat
orang keluaran memakainya, jika kaya sekalipun ((melainkan dengan anugerah raja
jua maka boleh. Dan lainnya daripada adat yang tentu kepada raja-raja dan
kepadanya)) anak raja-raja jua.
(Tuhfat
al-Nafis: hlm 8)
5.2 Penelitian terhadap falsafah moral.
Daripada
penelitian terhadap falsafah moral Raja Ali Haji seperti tercermin dalam karya
ini kita dapat melihat bahawa sarjana Muslim seperti Raja Ali Haji tidak
memiliki pemikiran dualistik terhadap persoalan benda dan roh (spirit).
Kedua-duanya dilihat secara sepadu dan saling mempengaruhi. Tidak seperti
setengah sarjana Barat yang cenderung meremehkan roh (spirit), Raja Ali Haji
meletakkan roh dalam Khalif Muammar A. Harris ditempat yang lebih tinggi
berbanding benda, dan pengabaian aspek ini akan memberi kesan yang besar pada
kebahagiaan dan kehidupan manusia di dunia. Justeru, dalam usaha untuk
melahirkan pemimpin dan penjawat awam yang berintegriti, tidak mengamalkan
rasuah, amanah, jujur dan disiplin, kesejahteraan hati daripada penyakit atau
sifat-sifat tercela itu perlu ditangani terlebih dahulu. Dengan kata lain Raja
Ali Haji berpandangan bahawa persoalan paling sulit dalam politik mendapat
jawapannya melalui alam Tasawuf. Kita
juga dapat melihat bahawa falsafah moral Raja Ali Haji ini merupakan intipati
ajaran yang terdapat dalam Tasawuf yang telah disarikan oleh para ulama’ sufi
daripada al-Qur’an dan al-Sunnah.
Tema Tuhfat al-Nafis lebih cenderung tentang cerita-cerita raja dan masyarakat Bugis kerana pengarang, iaitu Raja Ali Haji mempunyai hubungkait keturunan dengan kaum Bugis. Dalam hal ini pengarang adalah keturunan daripada Yang Di Pertuan Muda yang kedua iaitu Opu Daeng Cellak. Pengarang juga cuba menaikkan imej lima bersaudara Opu Bugis. ini dapat dilihat apabila pengarang cuba mempengaruhi pemikiran pembaca mengenai kehandalan pahlawan Bugis. Kecondongan Raja Ali Haji terhadap semangat Bugis menyebabkan beliau lebih menggambarkan tentang kehandalan pahlawan-pahlawan Bugis yang sememangnya handal dalam peperangan sehingga mereka dapat memegang beberapa jawatan tinggi dalam tampuk pemerintahan kerajaan Melayu Johor pada ketika itu.
Di samping itu juga, pengarang juga memasukkan unsur-unsur mitos dalam penulisannya. pengarang cuba menyatakan susur galur keturunan mereka berasal daripada Puteri Balkis.
Adalah Sitti Mallangkik itu pada setengah kaul Bugis, keturunan daripada Puteri Balkis konon.
(Tuhfat al-Nafis: hlm 25)
Perkataan ‘konon’ yang digunakan oleh pengarang telah
menimbulkan keraguan. Pengarang seolah-olah menggambarkan cerita yang
disampaikan adalah tidak benar dan tidak boleh dipercayai oleh pengarang
sendiri. Pada hakikatnya Puteri Balkis merupakan isteri kepada Nabi Sulaiman.
Hal ini adalah mitos semata-mata kerana pengarang ingin memberikan keabsahan
tentang kedatangan Bugis di Johor-Riau. Karya Melayu yang menggambarkan asal
usul Bugis dapat dilihat dalam Tuhfat Al Nafis. Karya ini mengisahkan
kedatangan orang Bugis yang dihubungkan dengan mitos bahawa orang Bugis di
Tanah Melayu adalah keturunan Nabi Sulaiman yang menikah dengan Puteri Balkis.
Perkahwinan itu melahirkan seorang penguasa wanita yang bernama Sitti
Mallangik, yang berkuasa di Palangi (ada yang mengatakan Selangi). Wanita itu
kemudian menikah dengan Raja Bugis yang Berkuasa di Luwuq .
Selain itu, pengarang menjadikan penulisannya sebagai
tempat meluahkan perasan. Ini dapat dilihat apabila pengarang menjadikan Tuhfat
Al Nafis sebagai tempat untuk menceritakan kegiatan keluarga Siak-Minangkabau
yang sudah sekian lama menjadi musuh nenek moyang mereka. Disamping itu, juga,
keturunan pengarang bermusuhan dengan Raja Kecil atas perebutan Siak dengan
Bugis. Selain itu juga, pengarang juga menggunakan Hikayat Siak sebagai sumber
rujukan untuk penulisan Tuhfat Al Nafis.
5.3 Orang Melayu dan Keris
Dalam
Tuhfat al-Nafis juga menonjolkan falsafah orang Melayu terhadap keris. Bagi
masyarakat Bugis, keris yang terdapat pada masa itu mempunyai pengaruh yang
kuat dalam budaya masyarakat Melayu. Pengaruhnya melebar dari Selatan Sulawesi
hingga ke Semenanjung Malaysia, Selatan Sumatera dan kepulauan Riau-Lingga
terutamanya daripada segi rekabentuk sampir dan hulu keris. Keris Bugis ditempa
pada umumnya berfalsafahkan untuk mempertahankan diri dan pertikaman. Oleh itu,
bilah keris yang ditempa lebih tebal dan berat bagi mendapatkan kekuatan dan
kekukuhan. Keris Bugis pada kebiasaannya mempunyai corak pamor yang cantik
berserta dengan hiasan yang dinamakan tuli-tuli dan batir yang melambangkan
status sosial pemiliknya.
6.0 Penutup
Karya
Agung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, budaya dan pemikiran
luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa. Karya-karya yang dihasilkan pada suatu masa
dahulu telah menjadi lambang kepada keunggulan daya cipta seniman, penulis dan
pemikir bangsa Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup,
adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk
sastera dan seni yang tinggi nilainya. Hal ini membolehkan kesan seni, budaya
dan falsafah dikekalkan sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu.
Karya ini dianggap warisan bangsa yang perlu dipertahankan dan wajar menjadi
sumber rujukan kepada generasi akan datang.
Ilmu
falsafah yang membicarakan soal dasar manusia dan cuba mencari jawapan sebenar
terhadap sesuatu persoalan. Dalam konteks karya agung, falsafah membicarakan
soal dasarnya, iaitu kesusasteraan. Falsafah juga merupakan suatu seni berfikir
secara kreatif. Penghargaan juga perlu diberikan kepada Yayasan Karyawan kerana
telah berusaha untuk mengumpulkan kembali semua karya agung agar tidak
dilupakan oleh generasi muda. Sejak penubuhannya, Yayasan Karyawan telah
berjaya menerbitkan 14 judul Karya Agung dan 1 judul Buku Pengenalan Karya
Agung. Penerbitan Karya Agung memberi
penekanan terhadap aspek kualiti dalam menghasilkan Karya Agung yang dapat meninggalkan
impak yang mendalam dalam karya tersebut. Penerbitannya juga dilaksanakan
secara teliti dan melalui penyelidikan oleh para sarjana yang berwibawa dan
pakar dalam bidang pengkhususan masing-masing.
Bioliografi
Ding
Choo Ming (2009). Pentingnya falsafah dan
kepercayaan dalam sastera Melayu lama. Jurnal
ASWARA, 99-118.
Haron
Daud (1993). Sejarah Melayu satu kajian
daripada aspek pensejarahan budaya. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim
Awang (1984). Seuntai mutiara klasik.
Petaling Jaya, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Hashim
Musa (2005). Bustan al-Katibin. Kuala
Lumpur: Yayasan Karyawan.
Kassim
Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah.
Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Majlis
Peperiksaan Malaysia (1996). Warna sari sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad
Haji Salleh (1997). Karya agung, Sulalat al-Salatin.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Muhammad
Yusuf Ibrahim (2010). Sejarawan dan
persejarahan Melayu. Kuala Lumpur: Tinta publisher.
Gebang
Bahasa (2010). Diperoleh pada 4 Mei 2013, daripada http://chaimestm.blogspot.com/2010/06/sumbangan-zaba-dalam-bidang-bahasa-
dan.html
Gerakan
Bingkas Bahasa (2011). Diperoleh pada 4 Mei 2013, daripada http://asas50.com/pitchay/2011/03/24/penulis-agung/
Hashim Musa (2008).
Dua Buah Karya Ali Haji Tentang Bahasa Melayu: Meletakkan Bahasa Melayu sebagai Tradisi Pengajian Bahasa
Islam. Diperoleh pada April 16, 2014 daripada http://melayuonline.com/ind/article/read/555/dua-buah-karya-raja-ali-haji-tentang- bahasa-melayu-meletakkan-bahasa-melayu-sebagai-tradisi-pengajian-bahasa-islam
Insistnet
(2012). Diperoleh pada 4 Mei 2013, daripada http://insistnet.com/index.php?option=com_content&view=article&id=447%3Abahasa- dan-
tauhid-warisan-raja-ali-haji&catid=33%3Anuim-hidayat&Itemid=15
Keobjektifan Tuhfat
al-Nafis (2009). Diperoleh pada April 17, 2013 daripada http://koleksi nota-sejarah.blogspot.com
Mohamad
Basri Amir Hamzah (2010). Diperoleh pada 4 Mei 2013, daripada http://www.rasdian.edu.my/portal/index.php?option=com_content&task=view&id=365
RM
Khalid (2010). Diperoleh pada 4 Mei 2013, daripada
http://www.rmkhalid.com/2010_09_12_archive.html
Yayasan Karyawan (2013). Diperoleh pada 4 Mei 2013,
daripada http://www.yayasankaryawan.com