Thursday 16 May 2013

TOKOH-TOKOH PENGARANG KARYA AGUNG


Terdapat beberapa tokoh-tokoh yang terkenal dalam Kesusasteraan Melayu kerana jasa mereka menyumbangkan hasil-hasil karya. Antaranya:
  • Tun Sri Lanang
  • Hamzah Fansuri
  • Raja Ali Haji
  • Abdullah Munsyi
  • Syed Syeikh al-Hadi
  • Abdul Rahim Kajai
  • Bukhari al-Jauhari
  • Nuruddin al-Raniri
  • Sheikh Daud al-Fatani

1. Tun Sri Lanang

            Nama sebenarnya ialah Tun Muhammad bin Tun Ahmad. Beliau dilahirkan di Seluyut pada tahun 1565. Beliau ialah Bendahara Johor semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil (1570 – 1579). Beliau terlibat dalam perancangan menawan semula Melaka pada tahun 1586, 1587, dan tahun 1606. Beliau menyusun pertahanan Johor bagi menghadapi serangan portugis dan Acheh.  Pada tahun 1613, beliau dibawa ke Acheh apabila Johor dikalahkan oleh Acheh. Di sana beliau mengajar bahasa Melayu kepada Syeikh Nuruddin al-Raniri. menyambung penulisan bukunya, Sejarah Melayu.

            Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana. Pada waktu itu, beliau telah berjaya menjadikan negeri Samalanga sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam di timur Aceh dan sehingga kini pun kawasan tersebut masih lagi menjadi tumpuan bagi sesiapa sahaja yang ingin mendalami ilmu agama.

            Tun Muhammad atau nama timang-timangannya Tun Sri Lanang mula mengarang karya Sulalatus Salatin bermula pada tahun 1612 dan lebih terkenal sebagai pengarang dan penyusun Sejarah Melayu disamping jawatannya sebagai Bendahara Kerajaan Johor. Beliau disifatkan sebagai seorang yang kreatif, berpengetahuan luas dalam aspek penggunaan gaya bahasa dan penulisan, peraturan dan adat istiadat Melayu. Karya terunggul beliau ini berkait rapat dengan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan karya tersebut seringkali dijadikan rujukan sejarah bagi mengkaji peradaban Tamadun Islam Beraja. Karya Sulalatus Salatin yang merangkumi pelbagai aspek penceritaan menjadikan ianya sebagai sumber rujukan utama tentang kebudayaan dan ketamadunan masyarakat Melayu awal.

            Buku tersebut juga membolehkan kita mengetahui sejarah dan budaya bangsa kita pada hari ini. Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang itu merupakan satu-satunya buku rujukan kita bagi menulis semula sejarah Melayu moden. Itulah buku sejarah yang ditulis oleh anak bangsa kita yang seharusnya kita banggakan.

2. Hamzah Fansuri

            Syekh Hamzah Fansuri adalah seorang cendekiawan, ulama tasawuf, sastrawan dan budayawan terkemuka yang diperkirakan hidup antara abad ke-16 sampai awal ke-17. Tahun kelahiran dan wafat Syekh tidak diketahui dengan pasti. Riwayat hidup Syekh Hamzah Fansuri dipercayai hidup antara pertengahan abad ke-16 hingga awal abad ke-17. Terdapat juga kajian dari Bargansky bahawa Syekh hidup hingga akhir masa pemerintahan Sultan Iskandar Muda (1607-1636) dan mungkin wafat beberapa tahun sebelum kedatangan Nuruddin ar-Raniry yang kedua kalinya ke Aceh pada tahun 1637. Sebelumnya, Syed Muhammad Naguib al-Attas berpendapat bahwa Syekh hidup sampai masa awal pemerintahan Sultan Iskandar Muda yang masyhur itu.

            Hamzah Fansuri ialah seorang pujangga Melayu-Islam pada zaman kegemilangan Acheh. Beliau dilahirkan di Barus, Sumatera Utara. Beliau terkenal sebagai seorang penyair dan ahli tasauf. Ajarannya ditentang oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf dari Singkel. Sultan Acheh mengarahkan buku-buku karangan Hamzah dibakar. Hamzah mempelopori genre syair di dalam Kesusasteraan Melayu. Beliau menulis Syair Perahu, Syair Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Sidang Fakir dan Syair Burung Pingai. Selain itu, beliau menulis kitab Sarab al-Asyikin dan Asrar al-Ariffin fi-Bayan Ilmu al-Suluk wal-Tauhid.

3. Raja Ali Haji

            Nama lengkap beliau ialah Tengku Haji Ali al-Haj bin Tengku Haji Ahmad bin Raja Haji Asy-Syahidu fi Sabillah bin Upu Daeng Celak atau lebih masyhur dengan nama Raja Ali Haji saja. Raja Ali Haji dilahirkan pada tahun 1808 M di pusat Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat (kini masuk dalam wilayah Kepulauan Riau, Indonesia). Beliau berketurunan pembesar Bugis.

            Pada tahun 1822 sewaktu Raja Ali Haji masih kecil, beliau pernah dibawa oleh orang tuanya ke Betawi (Jakarta). Ketika itu bapanya, Raja Haji Ahmad, menjadi utusan Riau untuk bertemu Gabenor Jeneral Baron van der Capellen. Waktu yang berguna itu telah dimanfaatkan oleh puteranya Raja Ali untuk menemui ramai ulama dan memperdalam ilmu pengetahuan Islamnya, terutama ilmu fiqh. Antara ulama Betawi yang sering dikunjunginya oleh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman al-Mashri. Raja Ali Haji sempat belajar ilmu falak dengan beliau. Selain dapat mendalami ilmu keislaman, Raja Ali Haji juga banyak mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil pergaulan dengan sarjana-sarjana kebudayaan Belanda seperti T. Roode dan Van Der Waal yang kemudian menjadi sahabatnya.

            Kira-kira tahun 1827/1243H Raja Ali Haji mengikut bapanya Raja Ahmad pergi ke Makkah. Raja Ahmad dan Raja Ali Haji adalah di antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji ketika itu. Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah dalam jangka masa yang agak lama. Semasa di Mekah Raja Ali Haji sempat bergaul dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beliau sempat belajar beberapa bidang keislaman dan ilmu bahasa Arab dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang ketika itu menjadi Ketua Syeikh Haji dan sangat berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu di Mekah. Beliau bersahabat dengan salah seorang anak Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari iaitu Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Barangkali ketika itulah, Raja Ali Haji sempat mempelawa ulama yang berasal dari Banjar itu supaya datang ke Riau, dan jika   ulama tersebut bersetuju untuk datang, ulama itu akan dijadikan Mufti di kerajaan Riau. Dalam perjalanannya ke Mekah itu, Raja Haji Ahmad dan puteranya Raja Ali Haji pula mengambil kesempatan berkunjung ke Kaherah (Mesir), setelah itu kembali ke negerinya Pulau Penyengat, Riau.

            Beliau terkenal sebagai ahli bahasa. Beliau menulis buku tatabahasa Melayu yang berjudul Bustan al-Katibin (Taman Pujangga) pada tahun 1857. Di samping itu, beliau menulis sebuah kamus yang diberi judul Kitab Pengetahuan Bahasa. Karya beliau yang terkenal ialah Tuhfat al-Nafis. Karya historiografi ini telah memasukkan tarikh mengikut kalendar Hijrah. Selainnya ialahSyair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai, Syair Siti Sianah, Syair Gemala Mastika, dan Gurindam Dua Belas. Sebagai penulis yang prolifik, beliau bukan sahaja menyumbang kepada bidang kesusasteraan malahan juga sejarah dan bahasa.

4. Abdullah Munsyi

            Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Syeikh Abdul Kadir. Munsyi Abdullah atau nama sebenarnya Abdullah bin Abdul Kadir. Dilahirkan pada 1797, di Kampong Pali (sekarang Kampung Masjid), Melaka. Beliau meninggal dunia pada Oktober 1854 di Jeddah, Arab Saudi. Beliau merupakan anak kelima dan keempat-empat orang abangnya telah meninggal dunia ketika masih kecil. Beliau telah digelar sebagai Munsyi atau munshi yang bermaksud guru. Hal ini demikian kerana semasa hayatnya, Abdullah menjadi guru bahasa dan penterjemah yang mahir Bahasa Arab, Tamil, Hindustani, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

            Abdullah amat meminati bidang penulisan. Sehubungan dengan itu, beliau telah menghasilkan karya asli, terjemahan, dan puisi. Karya asli beliau ialah Kisah Pelayaran Abdullah (1838), Dawa’il Kulub(1838) dan Hikayat Abdullah (1840). Beliau telah menterjemahHikayat Panca Tenderan (1838). Karya puisi beliau ialah Syair Singapura Terbakar (1830) dan Syair Kampung Gelam Terbakar(1847). Sementara penerbitan naskhah lama yang diusahakannya ialah Sejarah Melayu (1830) dan Kitab Adat Segala Raja-raja dalam Segala Negeri (1837). Karyanya ‘Hikayat Abdullah’ mengenai kehidupan seharian di Malaya telah diterbitkan pada 1849. Beliau diberi gelaran ‘Bapa Kesusasteraaan Melayu Moden' dan  merupakan orang Melayu pertama yang menerbitkan buku.

            Karya Abdullah Munsyi menampakkan ciri moden dan pengekalan ciri sastera klasik. Isi karyanya realistik. Abdullah juga memperkenalkan genre karya yang baru iaitu autobiografi dan memoir. Oleh sebab itu, para sarjana seperti Ismail Hussein, Kassim Ahmad, dan Yahya Ismail melabelkan Abdullah Munsyi sebagai ‘Bapa Kesusasteraan Melayu Moden’. Namun demikian, masih terdapat ciri sastera klasik di dalam karya Abdullah Munsyi. Beliau masih meneruskan penggunaan syair di dalam karyanya. Di samping itu, beliau menyisipkan puisi di dalam karya berbentuk prosa.

5. Syed Syeikh al-Hadi

            Nama beliau yang sebenarnya ialah Syed Syeikh bin Ahmad al-Hadi. Beliau dilahirkan di Kampung Hulu, Melaka pada tahun 1867. Beliau mendapat pendidikan di Mekah, Beirut dan Kaherah. Pernah belajar dengan Muhammad Abduh, seorang reformis Islam. Beliau mengelolakan penerbitan al-Imam (1906-08) dengan rakannya Syeikh Muhammad Jalaluddin al-Azhari, Syeikh Muhammad Salleh Al-Kalali dan Haji Abbas Mohammad Taha setelah kembali ke tanah air.

            Beliau menghasilkan novel saduran pertama berjudul Hikayat Faridah Hanum. Keuntungan jualan novel itu digunakan untuk mendirikan The Jelutong Press, Pulau Pinang. Syarikat percetakan itu menerbitkan majalah al-Ikhwan (1927) dan akhbar Saudara(1928). Syed Syeikh al-Hadi merupakan seorang tokoh sastera, agama, pendidikan, dan wartawan yang berwibawa. Beliau merupakan tokoh reformis Islam yang secara sedar menyuarakan keburukan budaya Barat, kepentingan pendidikan, emansipasi wanita dan Islam yang progresif. Peranan yang dimainkan oleh Syed Sheikh Al-Hadi dalam dunia kesusteraan Melayu bukan hanya setakat melahirkan Hikayat Faridah Hanum bahkan dia turut mencernakan pemikiran dan menyedarkan bangsa Melayu kepada isu ekonomi dan pejuangan anak watan. Sebagai reformis dia menengahkan kefahaman Islam yang diwar-warkan oleh Muahammad Abduh. Dia menggunakan majalah dan akhbar yang dipimpinnnya untuk menyebarkan fikrahnya. Dalam novelnya Syed Sheikh menyeru agar orang Melayu bersedia untuk menghadai perubahan.
                                                                                                            
6. Abdul Rahim Kajai

            Nama beliau yang sebenarnya ialah Haji Abdul Rahim bin Haji Salim. Beliau dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1894. Abdul Rahim mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris. Beliau berkhidmat dengan akhbar Idaran Zaman, Saudara, Majlis, Warta Malaya, Utusan Melayu, Perubahan Baru dan Berita Malai sebagai wakil, penolong pengarang dan pengarang di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura. Beliau diberi gelaran ’Bapa Wartawan Melayu’ kerana usaha yang bersungguh-sungguh memupuk semangat kebangsaan di dalam kalangan orang Melayu.

            Di samping itu, beliau merupakan seorang pelopor di dalam bidang cerpen kerana menghasilkan banyak cerpen antara tahun 1936 hingga 1941. Beliau menghasilkan 36 buah cerpen yang disiarkan dalam Warta Jenaka dan 12 buah cerpen yang disiarkan dalamUtusan Zaman dan Mastika. Kumpulan cerpen beliau telah dibukukan. Antaranya ialah Pusaka Kajai (1949), Banyak Udang Banyak Garam (1961), dan Lain Padang Lain Belalang (1961). Di dalam bidang kewartawanan, Abdul Rahim Kajai menghasilkan buku Panduan Wartawan (1941). Beliau pernah menghasilkan novel saduran berjudul Cerita Dzul-Ruhain (1930-31).

7.   Bukhari Al- Jauhari

            Beliau seorang pujangga Melayu. Hidup dalam kurun ke-17. Beliau berasal dari Johor, tetapi menetap di Acheh pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Pada tahun 1603, beliau mengarang ‘Taj al-Salatin’ yang dikatakan berdasarkan kepada beberapa buah kitab daripada bahasa Arab dan Parsi. Kitab ini mengandungi falsafah kemanusiaan, khusus sebagai panduan kepada raja. Namun begitu, ‘Taj al-Salatin’ sangat terkenal di Alam Melayu, dipelajari oleh bangsawan di Solo dan Jogja serta diterjemahkan ke dalam bahasa Jawa dan Makasar. Kitab ini sangat tinggi nilainya kerana pengaruhnya yang sangat begitu luas.

            Sebagai seorang pengarang, tidak syak lagi bahawa beliau ialah penyumbang kepada genre ketatanegaraan yang membolehkan kita mengetahui peraturan-peraturan yang dipakai pada zaman dahulu untuk memerintah dan tugas serta tanggungjawab semua pihak yang mendiami sesebuah negeri.

8. Nuruddin Al-Raniri

            Nama sebenarnya ialah Syeikh Nuruddin bin Ali al-Raniri. Beliau berasal daripada Render, berhampiran bandar Sirat dalam daerah Gujerat, India. Beliau pernah mempelajari bahasa Melayu daripada seorang Jawa ketika berada di Mekah dan mendalaminya daripada ajaran Tun Sri Lanang. Beliau seorang pengarang yang banyak menghasilkan karya-karya dan memetik serta menterjemah karangan-karangan daripada bahasa Arab dan Parsi. Beliau sangat disayangi Sultan Acheh. Atas perintah Sultan Iskandar Thani, beliau mengarang ‘Bustan al-Salatin’ (Taman Raja-raja) pada tahun 1638. Sebelum itu, beliau telah mengarang kitab al-Mustaqin (1628). Beliau juga telah menterjemahkan ‘Kitab Syarah al-Akaid al-Nasafiya’ ke dalam bahasa Melayu daripada bahasa Arab dengan namanya ‘Durrat al-Faraid Bisyarah al-Akaid’.

            Beliau menentang hebat ilmu suluk yang dikembangkan oleh Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumatera-i. Untuk itu, beliau mengarang kitab ‘Tabyan fi Makrifat al-Adyan’ (1664) yang mengandungi tentangan terhadap ajaran suluk itu. Ada beberapa buah lagi kitab yang dikarangnya iaitu ‘Asrar al-Insan fi Makrifat al-Roh wal-Rahman’ (1640), ‘Kitab Akhbar al-Akhirat’(1642) dan ‘Jawahir al-Ulum fi Kasyf al-Maklum’ (1642).

            Sebagai seorang ulamak yang disayangi sultan dan keluarganya, beliau mempunyai pengaruh yang sangat besar di kalangan pemerintah sehingga penentangannya terhadap Hamzah Fansuri dan Syamsuddin disokong sultan dan para pembesar lainnya. Beliau merupakan penyumbang utama dalam bidang keagamaan dan juga kitab ketatanegaraan. Sumbangan beliau memberikan pengetahuan, petunjuk dan panduan kepada rakyat serta pemerintah.

9.  Syeikh Daud Al-Fatani

Nama sebenar beliau Syeikh Daud ibn Abdullah. Lahir di Krisik, Patani, Selatan Thai pada awal abad ke-18. Beliau pernah belajar selama 30 tahun di Mekah dan 5 tahun di Madinah. Beliau terkenal sebagai ulamak yang banyak mengarang buku-buku agama di samping berdakwah menerusi buku-buku karangannya di seluruh Alam Melayu.

            Di samping itu,beliau mempunyai pengikut dan anak muridnya di seluruh Alam Melayu termasuk raja-raja dan pembesar seperti Sultan Safuddin, Raja Sambas. Antara karangan-karangan beliau yang terkenal ialah ‘Kifyatul Muhtaj’ (Hikayat Mikraj al-Nabi), ‘Al-Dhur al-Thamin’ (membicarakan tentang pengikut Islam), ‘Ghayatul takrib’ (membicarakan hukum faraid), ‘Minhaj al-Abidin’ dan ‘Furu al-Masa’il waUsul al-Masa’il. Berpandukan hasil-hasil karya beliau, kita dapat menggolongkan Syeikh Daud sebagai ulamak dan pengarang sastera kitab yang gigih dan berpengaruh di Alam Melayu.

Sumber:
Tokoh-tokoh Kesusasteraan Melayu (2010). Diperolehi pada April 17, 2013 daripada http://bahasamelayudnisenu.blogspot.com/2010/12/tokoh-tokoh-kesusasteraanmelayu.html


1 comment: