Ulasan
artikel berdasarkan artikel 1:
Kembalikan Hang Tuah ke Tempatnya
Pendahuluan
Hikayat
Hang Tuah merupakan sebuah karya besar jika ingin dibandingkan dengan
karya-karya Melayu tradisional yang lain kerana di dalamnya tercakup pelbagai
pesanan dan gagasan yang harus direnung oleh setiap pembacanya terutama bangsa
Melayu. Hikayat Hang Tuah harus diterima dan dinilai sebagai sebuah karya
sastera dan bukanlah sebuah sejarah. Ini jelas dilihat daripada namanya sendiri
‘hikayat’ yang bermaksud cerita. Kesusasteraan Melayu jenis inilah yang menjadi
titik permulaan kepada bentuk novel atau roman Melayu.
Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah
epik Melayu yang di dalamnya telah dimuatkan dengan cita-cita dan kebesaran
bangsa Melayu. Hikayat ini telah mencatatkan riwayat hidup bangsa ini sejak
mulanya melewati zaman pembangunan, lalu ke zaman kebesaran dan akhirnya ke
zaman kehancurannya. Tokoh utamanya iaitu Hang Tuah telah mewakili bangsa itu
sendiri mengenai cita-citanya, kebolehannya dan sikap hidupnya pada suatu
zaman. Pembatasan ini penting kerana sudah tentu Hang Tuah tidak dapat mewakili
peribadi Melayu sepanjang zaman kerana unsur-unsur keperibadian itu sendiri
ditentukan oleh keadaan sejarah. Walau bagaimanapun, hikayat ini dan wiranya
telah melahirkan suatu sikap hidup Melayu, iaitu sikap hidup yang berlaku
sebelum datangnya peradaban moden dan yang sedang bergeser dengan sikap hidup
baharu yang dibawa oleh barat.
Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah
hikayat Melayu lama yang asli dan tiada tolok bandingnya dengan kesusasteraan
Melayu lama yang lain. Cerita-cerita panji seperti Hikayat Cekel Waneng berasal
daripada Jawa, Hikayat Seri Rama dan Hikayat Sang Boma disadur daripada epik
Hindu, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiah pula diterjemahkan
daripada sumber-sumber Islam dan hanya Hikayat Hang Tuah ini sahaja
satu-satunya epik Melayu asli. Sebagai satu ciptaan sastera Melayu lama,
hikayat ini mempunyai nilainya tersendiri kerana tiada satu pun karangan lama
sebelumnya atau selepasnya yang memperlihatkan aliran realisme. Hikayat Hang
Tuah mengisahkan manusia-manusia Melayu yang hidup meskipun manusia itu
diberikan sifat yang luar biasa. Oleh itu, Hikayat Hnag Tuah merupakan sebuah
epik Melayu yang unggul yang memaparkan keintelektualan pengarang Melayu pada
waktu itu.
Pada
zaman tradisional Hang Jebat dianggap sebagai penderhaka dan dibenci oleh
masyarakat tetapi dalam tahun 1960-70-an imej Hang Jebat telah berubah dan
beliau telah menjadi wira dalam bangsa Melayu. Sehingga kini banyak tafsiran
baru terhadap Hikayat Hang Tuah telah dibuat bagi memurnikan watak Hang Jebat.
Tafsiran baru ini dapat dilihat dalam dua bentuk utama iaitu skrip drama dan
penulisan ilmiah. Di dalam skrip drama yang ditulis oleh Ali Aziz, beliau telah
meletakkan Hang Jebat sebagai wira bangsa yang memperjuangkan keadilan dan
membela sahabat yang dizalimi oleh raja. Watak Hang Jebat dikatakan telah
menderhaka kepada raja kerana ingin membela Hang Tuah dan ingin menegakkan keadilan.
Hang Jebat juga dikatakan telah menjaga keluarga Hang Tuah dengan mengambil
berat perihal anak dan isteri Hang Tuah. Selain Ali Aziz, Usman Awang juga
merupakan salah seorang pemutar watak Hang Jebat untuk disesuaikan dengan
perjuangan kemanusiaan sejagatnya. Beliau turut membina watak Hang Jebat
sebagai seorang pejuang kebenaran dan menentang kezaliman. Pada bahagian akhir
kata pengantar, Usman Awang cuba menarik perhatian khalayak dengan membakar
semangat mereka supaya menyokong dan membenarkan perjuangan Hang Jebat dengan
satu slogan perjuangan Hang Jebat iaitu ‘raja adil raja disembah, raja zalim
raja disanggah’. Dalam penulisan ilmiah,
sarjana terkenal yang melihat Hang Jebat dalam pendekatan moden ialah Kassim
Ahmad. Sesuai dengan fahaman sosialisnya, beliau melihat pentingnya
pertentangan kelas atau pertentangan masyarakatbawahan terhadap golongan atasan
yang bersifat feudal demi melahirkan sebuah masyarakat yang adil tanpa
penindasan. Mengikut fahaman ini, semua golongan yang bekerjasama atau
menyokong golongan aristokrat tidak boleh diberi tempat sebagaimana yang
dilakukan oleh Hang Tuah. Hnag Jebat yang telah mencabar raja dan menjadi
penderhaka ditafsirkan sebagai seorang yang mempunyai unsur kepahlawanan, namun
ia gagal dalam perjuangan menegakkan kebenaran kerana memilih untuk setia
kepada seorang sahabat dan dianggap sebagai pemberontak. Antara sarjana lain
yang sealiran dengan Kassim Ahmad ialah Solehah Ishak yang turut mengetengahkan
mengenai falsafah hidup watak itu. Abdul Rahman Napiah turut meletakkan Hang
Jebat sebagai pahlawan Melayu yang berani menentang Raja semata-mata demi
persahabatan. Beliau menyifatkan Hang Jebat sebagai pemecah tradisi feudalisme
dan percaya perkara yang dilakukannya adalah benar dan hak. Menurut Mohammad Haji
Salleh pula, beliau mengatakan memiliki peribadi yang utuh dengan kesungguhan
dalam segala reaksinya. Jebat dikatakan memberontak berasaskan akal pemikiran
bukanlah kerana kemarahan emosi.
Perubahan pandangan masyarakat
terhadap imej Hang Jebat sekali gus merubah juga pemikiran mereka terhadap Hang
Tuah. Hang Tuah bukan sahaja tidak lagi disanjung malah diletakkan sebagai
pengkhianat sahabat, tiada sikap bertimbang rasa, tidak menegakkan keadilan,
dan ada juga yang menganggap Hang Tuah sebagai pejuang yang kolot. Kalau
dilihat berdasrkan teks Hikayat Hang Tuah, hampir seluruhnya memperlihatkan
ketokohan seorang wira Melayu yang bertanggungjawab menjaga dan mengagungkan
raja serta negara kota Melaka. Abdul Rahman Napiah yang pernah meletakkan Hang
Jebat sebagai wira bangsa turut meletakkan nilai-nilai yang baik dalam menilai
watak Hang Tuah mengatasi sikap Hang Jebat. Menurutnya, Hang Tuah merupakan
seorang yang cukup pintar, tajam fikiran, jauh pandangan dan mempunyai banyak
muslihat. Sebagai seorang hulubalang, Hang Tuah dikatakan seorang wira yang
serba sempurna baik dari segi jasmani, rohani, pemikiran, tindakan dan cara
berbudaya. Pengarang Hikayat Hang Tuah dilihat ingin membina semula negara kota
berdasarkan jatuh bangunnya kerajaan Melayu Melaka. Raja Melaka yang ramai
termasuk Raja Iskandar Syah hingga Mahmud Syah disatukan diri Sang Maniaka.
Pembesar dan Hulubalang yang baik pula disatukan pada watak Hang Tuah dan yang
tidak baik digabungkan membentuk watak Hang Jebat. Mengikut sejarah, negara kota
Melaka mencapai kegemilangan sewaktu pemerintahan Sultan Mansur dan Alauddin
yang banyak dibantu oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Pengarang Hikayat
Hang Tuah telah mengambil gelaran yang dipakai oleh Tun Perak sebagai nama
Bendahara iaitu Paduka Raja. Sultan Mansor diambil sebagai model raja dalam
karyanya yang bernama Sang Maniaka. Semua sifat baik pembesar dan hulubalang
terutama Tun Perak diambil dan dimasukkan ke dalam satu watak iaitu Hang Tuah.
Hang Tuah telah diberikan sifat yang baik sebagai lambang wira bangsa Melayu.
Manakala sifat tamak, dengki, angkuh, seperti yang ada pada Bendahara Tun
Mutahir, Raja Mendaliar dan Kitol di masukkan ke dalam watak Hang Jebat. Bagi
pengarang Hikayat Hang Tuah, perbuatan atau tindakan yang tidak baik haruslah
ditangani dengan bijak dan saksama, sebagaimana Hang Tuah menangani
penderhakaan Hang Jebat.
Ulasan
artikel
Artikel
ini membincangkan mengenai kedudukan Hang Tuah dalam kalangan masyarakat Melayu
kini. Artikel ini ditulis oleh Haron Daud dan diberi tajuk ‘Kembalikan Hnag
Tuah ke tempatnya’. Penulisan dan perbincangan di dalam artikel ini adalah
berlandaskan dua khazanah kesusasteraan Melayu tradisional iaitu Sulalatus
Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan artikel ini, penulis cuba untuk
mengetengahkan persoalan mengenai siapakah wira bangsa yang sebenarnya sama ada
Hang Tuah atau Hang Jebat. Berdasarkan teks Hikayat Hang Tuah, penulisnya cuba
untuk mengetengahkan watak Hang Tuah sebagai watak yang wajar dicontohi bagi
masyarakat Melayu khususnya. Namun, penerimaan masyarakat terhadap Hang Tuah
sebagai wira bangsa kian luntur dan Hang Jebat yang dianggap sebagai wira
bangsa atas sebab dan alasan yang tertentu. Imej Hang Jebat dalam pemikiran dan
penerimaan orang Melayu telah berubah mengikut zaman dan kehendak masyarakat.
Pandangan
terhadap artikel
Pengarang Hikayat Hang Tuah cuba menampilkan
suatu jalinan cerita mengenai seorang tokoh Melayu daripada cantuman
bermacam-macam tradisi Melayu dengan strukturnya yang tersendiri. Hikayat Hang
Tuah ini ditulis bukanlah untuk mempamerkan sejarah pemerintahan raja-raja
Melayu, tetapi ingin menonjolkan jati diri Melayu yang unggul daripada manusia
lain. Hikayat Hang Tuah dapat diangkat sebagai sebuah epik Melayu kerana
memiliki ciri-cirinya sebuah epik seperti kedudukan wira yang begitu tinggi
dalam sejarah bangsanya, penceritaan yang berlatarkan masa yang panjang dan
latar yang meluas, keunggulan sifat yang ada pada wira, dan kesaktian wira yang
sukar untuk dikalahkan. Tidak dapat dinafikan bahawa Hikayat Hang Tuah adalah
cerita yang menyorot Hang Tuah sebagai wira Melayu, terutama dari segi
pengabdiannya kepada raja dan negara kota Melaka. Pelbagai pendapat dan
pandangan hasil kajian para sarjana yang cuba untuk melihat siapakah wira
Melayu yang sebenar, sama ada Hang Tuah mahupun Hang Jebat. Segala pendapat
yang dikemukakan mempunyai alasannya yang tersendiri dan dapat diterima namun
kita perlu berbalik kepada teks asli Hikayat Hang Tuah dalam mencari wira
sebenar yang cuba ditonjolkan. Mungkin terdapat beberapa kekurangan dalam watak
Hang Tuah yang dianggap sebagai wira Melayu, namun kita perlu juga melihat
zaman hikayat tersebut ditulis, dan membandingkan hasil tulisan tersebut selari
dengan zamannya dan tidak membandingkannya dengan zaman sekarang yang sudah
tidak lagi mengamalkan sistem feudal dan raja berkuasa mutlak. Berdasarkan teks
asal Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah merupakan watak utama yang ingin ditonjolkan
dan bukanlah watak Hang Jebat. Watak Hang Tuah digarap sebagai seorang yang
amat taat kepada raja sesuai dengan zaman tersebut yang mempercayai raja itu
berdaulat dan perlu dihormati dan ditaati walaupun terpaksa mengorbankan diri
sendiri. Hal ini merupakan situasi yang berlaku pada zaman tersebut dan bagi
orang yang tidak menghormati raja akan dianggap sebagai penderhaka seperti
watak Hang Jebat yang pastinya tidak boleh dijadikan sebagai contoh yang baik
pada zaman tersebut. Selain taat kepada raja, Hang Tuah juga digambarkan
sebagai seorang yang memiliki keperibadian yang mulia,seorang yang berilmu dan
mempunyai ciri-ciri seorang pahlawan yang tiada tandingannya. Semua sifat yang
cuba ditonjolkan dalam watak Hang Tuah menjadikan watak tersebut sempurna tanpa
sebarang cacat celanya sebagai seorang wira bangsa.
Pemberontakan Hang Jebat berlaku
kerana dorongan kemanusiaan dalam dirinya untuk membela keadilan yang telah
dicabul oleh raja. Raja bertindak zalim sedemikian kerana raja berkuasa mutlak,
Fikiran salah beliau ini disahkan oleh masyarakat feudal pada waktu itu.
Apabila pemberontakan ini gagal, kerana digagalkan oleh rakan karib, rakan
seperjuangan dan orang yang dibelanya, perasaan kecewa yang amat dahsyat
menyebabkan Jebat bertindak liar dan melepaskan geram terhadap orang Melaka
yang mendukung prinsip feudal yang zalim itu. Perbuatan Hang Jebat ini tetap
dianggap salah kerana sikap dan kepercayaan masyarakat pada zaman tersebut yang
amat menghormati dan menyanjungi raja.
Kebahagiaan negeri Melaka sering
dikaitkan dengan ketokohan Hang Tuah. Sewaktu Hang Tuah masih gagah, negeri
Melaka berada di puncak kegemilangan tetapi pabila Hang Tuah telah kehilangan
kerisnya,kegemilangan Melaka mulai suram. Secara tidak langsung pengarang
Hikayat Hang Tuah cuba menunjukkan kewajaran dalam kejatuhan Melaka. Gambaran
kejatuhan Melaka telah mula dibayangkan sejak mahkota Raja Melaka jatuh ke
dalam laut di Selat Singapura. Begitu juga apabila mahkota Melaka disambar
buaya putih , itu tanda bahawa Melaka akan jatuh ke tangan Portugis, golongan
manusia berkulit putih. Hikayat Hang Tuah dicipta kembali oleh pengarangnya
sebagai pralambang untuk menyorot kembali keagungan Melaka dan Hang Tuah sebagai
wira yang membawa kebanggaan kepada negeri Melaka.
4.0
Kesimpulan
Hikayat
Hang Tuah merupakan sebuah hikayat yang mantap yang cuba dipaparkan oleh
penulisnya sebagai satu wadah untuk menonjolkan jati diri Melayu. Jati diri
Melayu cuba dipaparkan melalui tokoh Hang Tuah lima bersaudara dan Hang Tuah
sebagai wiranya yang unggul. Kemantapan aspek fizikal, mental, dan rohani yang
terdapat dalam watak Hang Tuah menjadikannya seorang tokoh yang berwibawa.
Beliau telah memantapkan dirinya dengan pelbagai ilmu, dan dengan ilmu inilah
menyebabkan seorang manusia itu dihormati. Aspek rasional dalam berfikir pula
ditonjolkan melalui watak Hang Jebat yang menentang raja. Pengarang sebenarnya
ingin memaparkan mengenai akan sampai waktunya rakyat akan menuntut hak sebagai
rakyat dan akan tiba waktunya kedudukan sultan akan goyah. Bagi menjadikan
kedudukan rakyat dan raja ini stabil, kedua-dua kelompok harus menyedari hak
dan tanggungjawab masing-masing. Oleh itu, berdasarkan Hikayat Hang Tuah,
dapatlah disimpulkan bahawa kita haruslah mempunyai jati diri yang unggul dan
benar-benar murni seperti yang dilakukan oleh Hang Tuah. Rakyat pula hendaklah
setia kepada pemerintah dan cintakan negara, manakala pemerintah pula perlulah
adil dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang pemimpin.
Rujukan:
Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ulasan artikel berdasarkan artikel 2:
Etnosentrisme
Melayu dalam Sulatus Salatin
Pendahuluan
Sulalatus
Salatin dianggap sebagai sebuah karya sejarah yang universal bagi masyarakat
Melayu tradisi, khususnya yang berpusat pada Empayar Melayu Melaka. Semua yang
digambarkan di dalam karya tersebut merupakan alam masyarakat Melayu pada ketika
itu yang meragkumi bidang politik, ekonomi, masyarakat, dan juga agama. Dalam
lingkungan itu, yang terpenting ialah orang Melayu atau orang Melaka dengan
raja-rajanya, peristiwa yang berlaku dan tindakan yang dilakukan di sekitar
ketokohan serta alam persekitaran mereka. Orang luar dan peristiwa yang
berpunca daripada luar tidak begitu dipentingkan dan hanya dianggap sebagai
unsur sampingan yang berfungsi mengukuhkan kedudukan atau keagungan seorang
tokoh mahupun budaya tempatan.
Dengan hal yang demikian dapat
dilihat orang Melayu Melaka yang digambarkan sebagai orang yang serba boleh,
pintar dan terkenal. Dalam Sulalatus Salatin terdapat beberapa contoh yang
menggambarkan unsur seperti ini seperti Sultan Muhammad Syah, atau Raja Kecil
Besar yang merupakan raja yang paling awal memeluk Islam dan beliau dikatakan
sebagai ‘terlalu sekali adil baginda pada memelihara segala manusia’. Sultan
Alauddin Riayat Syah pula dianggap sebagai ‘terlalu perkasa, tiada
berbagai-bagai pada zaman itu’. Bendahara Paduka Raja Tun Perak pula dikatakan
sebagai ‘orang bijaksana’ dan banyak lagi contoh ketokohan pemerintah yang
dimuatkan di dalam karya agung ini.
Di dalam karya ini turut digambarkan
mengenai kemunculan, kegemilangan serta kebesaran Empayar Melayu Melaka yang
bertindak sebagai sebuah pusat tamadun serantau, di mana raja serta pembesar
memainkan peranan masing-masing sama ada usaha membangunkan mahupun mengekalkan
keunggulan serta kesejahteraannya. Ini merupakan peranan dan tugas yang sangat
mencabar dan orang Melaka berjaya mengatasi setiap cabaran tersebutkecuali pada
bahagian akhir apabila mereka menemui kegagalan demi kegagalan untuk
mendapatkan kembali tapak kekuasaan mereka dan akhirnya membuka sebuah empayar
baru yang kemudiannya dikenali sebagai Empayar Johor-Riau.
Dalam
Sulalatus Salatin, pengarangnya dengan cara yang paling kreatif telah
menggunakan teknik penceritaan dengan sebaik mungkin untuk memperlihatkan
mengapa orang barat tidak seharusnya diletakkan di tempat yang mulia menurut
kaca mata anak watan. Pengarang dilihat berusaha untuk mengembalikan imej orang
Melayu yang gagah, berani, dan tidak gentar untuk berhadapan dengan pihak
musuh. Orang Melayu sebagai bangsa yang dijajah berjaya menewaskan Portugis dan
menghantar mereka pulang ke tempat mereka berpengkalan iaitu di Goa. Hal ini
dapat dilihat dengan jelas sewaktu pengarang menukilkan peristiwa ini sewaktu
peristiwa pertemuan kali kedua di antara orang Melaka dan Portugis. Tentera
laut Portugis yang bertapak di Goa, telah di arahkan untuk menyerang Melaka dan
malangnya Portugis kalah dalam serangan tersebut. Keberanian orang Melayu
menentang Portugis digarap dengan begitu menarik dengan memperlihatkan orang
Melaka tidak gentar menentang orang Portugis yang menggunakan peralatan yang
canggih sedangkan mereka hanya menggunakan senjata tradisional, namun ia sama
sekali tidak menghalang orang Melaka untuk menghambat tentera Peringgi
(Portugis) sehingga “pecahlah tentera Peringgi berhamburan terjun ke air”.
Kejayaan orang Melaka mematahkan serangan Portugis ini merupakan salah satu cara pengarang mengangkat
etnosentrisme yang dimiliki oleh masyarakat Melayu dalam mempertahankan tanah
air daripada ditawan pihak musuh.
Peristiwa kekalahan Portugis di
tangan orang Melaka menimbulkan kemarahan wizurai Portugis, Alfonso
d’Albuquerque. Beliau ingin membuat satu serang balas terhadap Melaka namun
cadangannya itu tidak dipersetujui oleh Kapitan Mor yang merupakan ketua
angkatan perang sebelum ini. Kapitan mor mengatakan, “pada bicara kita, jikalau
lagi ada Bendahara Seri Maharaja, berapa pun besarnya anggota Goa mau
menyerang, Melaka tiada akan alah”.
Berdasarkan petikan tersebut, penulis berusaha untuk mengangkat
kewibawaan pemimpin Melaka ketika itu sehingga kehandalannya diakui oleh pihak
lawan. Pengolahan seperti ini merupakan cara pengarang untuk memperlihatkan
betapa tingginya semangat etnosentrisme yang dimilikinya, dan turut
menggambarkan semangat etnosentrisme masyarakat yang diwakilinya.
Sebelum berlakunya peristiwa
peperangan, pengarang turut memperihalkan sambutan orang Melaka sewaktu
kedatangan Portugis. Pengarang memperlihatkan bahawa orang Melaka memandang
orang Portugis dengan pandangan yang aneh, dan rasa jengkel mereka sampai ke
kemuncaknya apabila melihat perbuatan orang Peringgi yang memakaikan sendiri
rantai emas berpermata di leher Bendahara Seri Maharaja. Orang Melaka marah
dengan tindakan tersebut namun ditenangkan oleh Bendahara Seri Maharaja dengan
mengatakan “…jangan kamu turuti, kerana ia (Peringgi) orang yang tiada tahu bahasa”.
Secara tersiratnya menunjukkan bahawa orang Peringgi merupakan bangsa yang
tidak tahu adab dan tidak pandai menghormati peraturan dan adab resam kaum
lain. Dapat dilihat dengan jelas pengarang cuba untuk memperlihatkan bahawa
adat dan kebudayaan yang dimiliki oleh bangsanya merupakan sesuatu yang unggul
dan mewujudkan jurang perbezaan yang ketara antara dengan pihak lain. Oleh itu
dapatlah disimpulkan bahawa, pengarang teks Sulalatus Salatin telah menggunakan
teks ini dengan sebaiknya untuk mengangkat etnik Melayu Melaka setaraf dengan
etnik lain yang hebat dan unggul pada masa tersebut.
Menurut
R. Suntharalingam (1980: 10), etnosentrisme merupakan satu dorongan perjuangan
yang berupaya memupuk semangat cintakan tanah air, menggalakkan perpaduan rakyat
berdasarkan ikatan keturunan dan kebudayaan, dan menyemai semangat menentang
pencerobohan kuasa asing. Jelaslah bahawa, etnosentrisme merupakan
kecenderungan untuk meletakkan etnik masing-masing sentiasa melebihi dan
menguasai etnik yang lain. Rasa cinta dan bangga terhadap kaum sendiri akan
membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai entiti kebudayaan yang sama dan akan
memiliki kekuatan dalaman dalam mempertahankan tanah air atau warisan leluhur
mereka daripada ancaman luar.
Ulasan
artikel
Artikel ini membincangkan mengenai
etnosentrisme dalam teks historiografi Melayu tradisional Sulalatus Salatin
yang ditulis oleh Zubir Idris. Artikel yang bertajuk Etnosentrisme Melayu dalam
Sulalatus Salatin ini ingin melihat bibit-bibit penentangan awal masyarakat
Melayu terhadap penjajah sebelum zaman kolonial yang ingin di analisis secara intrinsik
di dalam teks Sulalatus Salatin. Kajian meneliti aspek tema, persoalan dan
kekuatan kebahasaan untuk diaplikasikan oleh pengarang silam bagi menggambarkan
etnosentrisme etnik Melayu khususnya di Melaka. Kajian yang dijalankan
memanfaatkan idea William Graham Sumner dalam bukunya Folkways (1911) sebagai
premis kajian dalam memperkatakan mengenai konsep etnosentrisme. Hal ini
penting kerana beliau merupakan antara tokoh pemula yang membicarakan
etnosentrisme daripada sudut pandangan disiplin sosiologi.
Menurut Sumner, etnosentrisme
merupakan pendirian sesuatu kelompok bahawa pandangan atau penilaiannya adalah
tunjang segala-galanya dan menjadi titik rujukan kepada persepsi dan idea orang
lain. Etnosentrisme menggariskan kebudayaan sendiri adalah lebih tinggi
daripada kebudayaan orang lain. kebudayaan asing pula dilihat melalui kaca mata
kebudayaan sendiri dan setiap perkara yang berbeza daripada budaya sendiri akan
dinilai sebagai satu kelemahan dalam sesuatu budaya.
Pandangan terhadap artikel
Etnik dapat didefinisikan sebagai
sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam termasuk adat
resam, pakaian, bahasa, dan kegiatan ekonomi. Etnik dapat dikelaskan melalui
perbezaan budaya. Etnik pada dasarnya bersifat etsentrik iaitu menganggap
ciri-ciri budayanya sebagai wajar, betul dan lebih utama daripada budaya etnik
lain yang dipandang rendah serta dianggap ganjil. Konsep etnik ini membentuk
konsep etnisiti atau etnosentrisme. Etnisiti merupakan rasa kekitaan sesuatu
kumpulan etnik yang mewujudkan satu budaya yang jelas yang menyatukan
anggotanya dengan satu sejarah, nilai, sikap, dan tingkah laku yang sama.
Etnosentrisme pula merujuk kepada kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam
kalangan anggota sesebuah kelompok etnik yang mengakui bahawa budaya mereka
jauh lebih hebat dan baik daripada kelompok lain. etnosentrisme turut membawa
makna melihat kelompok etnik lain menerusi perspektif etnik sendiri.
Etnosentrisme terjadi jika masing-masing menolak untuk bercampur dengan
kebudayaan lain. Etnosentrisme sering menjadi punca permasalahan dalam proses
hidup berkelompok kerana masing-masing ingin menegakkan kebudayaan
masing-masing. Namun terdapat juga bangsa atau suku bangsa yang menjadi besar
dan terkenal kerana rasa kebanggaannya terhadap kelompoknya dan sebuah bangsa
akan menjadi besar sekiranya setiap unsur dalam kelompok tersebut mencintai
simbol-simbol dan makna yang menjadi ciri khas kepada sesuatu kelompok.
Dalam penghasilan sebuah karya
sastera, etnosentrisme ini penting bagi memperlihatkan identiti dalam karya
yang dihasilkan. Sebuah karya sastera tanpa identiti akan menyebabkan karya
tersebut mengalir tanpa menimbulkan rasa suka pada karya yang dibaca. Salah
satu cara penulis untuk membuatkan pembaca menikmati hasil tulisannya adalah
dengan menyelitkan unsur-unsur etnosentrisme supaya pembaca merasa dekat dengan
karya yang dihasilkan dan karya tersebut lebih mudah diterima oleh masyarakat
setempat. Hal ini dapat menarik minat pembaca untuk membaca dan pembaca akan
lebih selesa dan mudah memahami setiap perkara yang ingin disampaikan kerana
hasil penulisan tersebut berada dalam ruang lingkup kehidupan mereka. Inilah yang telah digunakan oleh pengarang
Sulalatus Salatin dalam menghasilkan sebuah karya yang hebat dan dekat dengan
pembacanya. Tujuan pengarang Sulalatus
Salatin memasukkan unsur etnosentrisme dalam karyanya juga dapat dilihat
melalui motif penulisan karya tersebut adalah untuk menyukakan duli hadrat
baginda Sultan. Dengan memasukkan unsur-unsur etnosentrisme akan dapat
menaikkan rasa bangga terhadap bangsa dan
juga dapat menggembirakan hati orang yang membaca karya tersebut kerana
kedudukan bangsanya disanjung tinggi di dalam sesebuah karya. Penggunaan
etnosentrisme dalam karya Sulalatus Salatin juga adalah bertujuan untuk
menaikkan semangat patriotisme dan merendahkan golongan penjajah yang sering
kali dilihat sebagai golongan yang kuat dan sangat berpengaruh. Unsur
etnosentrisme digunakan untuk menaikkan semangat orang Melayu untuk bangkit
menentang penjajah dan tidak gentar dengan segala bentuk ancaman dari pihak
luar dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara tercinta. Dengan cara
merendahkan golongan penjajah dan memaparkan kebolehan dan keunggulan orang
Melayu dapat menaikkan semangat dan keberanian untuk menentang golongan
penjajah. Oleh itu, jelaslah bahawa unsur etnosentrisme adalah wajar di gunakan
di dalam penulisan sesebuah karya agar pembaca merasa dekat dengan karya yang
dihasilkan dan dapat menarik minat pembaca untuk terus membaca dan meningkatkan
lagi semangat patriotisme dalam diri orang Melayu.
Namun pegamalan sikap etnosentrisme
dalam kalangan mayarakat yang berbilang bangsa seperti Malaysia adalah tidak
wajar. Hal ini kerana, pengamalan sikap ini boleh memecahbelahkan masyarakat
berbilang bangsa dan perpaduan tidak akan mampu dibentuk. Kecenderungan melihat
bangsa sendiri lebih baik daripada bangsa lain akan menghalang komunikasi
positif kerana telah wujud pelbagai andaian negatif terhadap kelompok bangsa
yang lain. Selain itu, individu yang etnosentik juga akan cenderung bersifat
angkuh dan tidak ragu-ragu untuk memperkecilkan satu kelompok masyarakat yang
lain dan hal ini pastinya tidak dapat menghasilkan satu komunikasi silang
budaya yang berkesan. Dalam penghasilan karya, mugkin boleh diselitkan unsur
etnosentrisme namun penulis harus lebih rasional dan tidak membandingkan antara
dua bangsa dan menjaga setiap sensitiviti bangsa yang terdapat di Malaysia.
Unsur etnosentrisme ini juga boleh digunakan dalam memupuk sikap patriotisme
dalam diri masyarakat dengan memperlihatkan kekuatan apabila semua kaum mampu
untuk bersatu dan bersama-sama membela nasib negara tercinta.
Kesimpulan
Berdasarkan
perbincangan yang telah dilakukan, dapat dilihat dengan jelas bahawa unsur
etnosentrisme memang digunakan di dalam karya pensejarahan Melayu sebagai wadah
untuk menaikkan semangat patriotisme dan yakin terhadap kebolehan bangsa
sendiri. Karya Sulalatus Salatin digunakan dengan sebaik mungkin dalam
mengangkat meletakkan etnik Melayu setaraf dengan etnik yang lain yang hebat
dan unggul pada masa tersebut. Penggunaan unsur etnosentrisme sememangnya dapat
memberikan manfaat sekiranya digunakan dengan betul, dan unsur itu juga dapat
memusnahkan sesuatu bangsa sekiranya digunakan dengan cara yang salah. Sulalatus
Salatin merupakan eksperimen agung pengarangnya yang berusaha melakarkan jiwa
serta perlakuan bangsanya. Melalui
cerita yang dikendalikan sebagai sumber yang sarat dengan sifat lisan pengkisah
membawa kita ke dalam hasrat, mimpi, dan cita-cita bangsa itu sendiri. Manakala kesedihan, kegembiraan, adat
istiadat, dan nilainya digambarkan dengan terperinci melalui karya bertulis. Sastera lama merupakan gedung ilmu tentang bangsa
Melayu yang digarap melalui bahasa, sejarah, kesusasteraan, kehidupan politik,
adat istiadat, dan agamanya. Oleh itu,
jelaslah bahawa sastera bukanlah sekadar untuk hiburan semata-mata malah
didalamnya terkandung nilai sejarah yang mempunyai kegunaan dan faedah yang
boleh dipraktikkan oleh masyarakat dalam kehidupan seharian.
Rujukan:
Rujukan:
Haron Daud (1993). Sejarah Melayu satu kajian daripada aspek pensejarahan budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad
Haji Salleh (1997). Karya agung, Sulalat al-Salatin.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Muhammad
Yusuf Ibrahim (2010). Sejarawan dan
persejarahan Melayu. Kuala Lumpur: Tinta publisher.
Komunikasi
silang budaya. Dicapai pada 6 April 201, daripada http://transformasi- ummah.blogspot.com/2011/12/komunikasi-silang-budaya.html.
Etnosentrisme
dalam sastera Riau . Dicapai 6 April 2013, daripada http://bambangkariyawan.blogspot.com/2012/06/etnosentrisme-dalam-sastra-riau- sumber.html
Ulasan
artikel berdasarkan artikel 3:
Ilmu Ketatanegaraan
Melayu Abad ke-19: Kajian Terhadap Karya Raja Ali Haji
1.0
Ulasan
artikel
Artikel ini mengetengahkan Raja Ali Haji (1808-1873) sebagai ilmuwan
dalam bidang ilmu ketatanegaraan Melayu. Karya beliau Gurindam Dua Belas, Bustan
al-Katibin dan Tuhfat al-Nafis telah
mengangkat kesarjanaan beliau dalam bidang sastera dan sejarah. Dalam kajian
ini penulis mendapati karya beliau Thamarat
al-Muhimmah juga memiliki kehebatan yang tersendiri dan dapat dianggap
sebagai karya besar dalam ilmu ketatanegaraan Melayu. Antara perkara penting yang
beliau kemukakan dalam karyanya ialah kepentingan akidah, kepentingan ilmu,
pelantikan raja dan pemakzulannya, hukum menerima hadiah dan rasuah, kedudukan
ulama atau ilmuwan dalam pemerintahan, prinsip keadilan, hubungan agama dan
negara, pertalian antara hukum syarak, hukum akal dan hukum adat, tugas
penjawat awam, tugas raja atau penguasa, kepentingan pemeliharaan jiwa, raga,
dan kehormatan dan sifat-sifat tercela yang mesti dijauhi oleh raja dan
orang-orang besar demi kemakmuran bangsa dan negara.
Semua permasalahan tersebut dijelaskan dengan padat
dan ringkas, sehingga mudah difahami dan diamalkan oleh pembacanya. Karya Raja
Ali Haji ini juga menggambarkan kuatnya pengaruh kerangka pemikiran Islam dalam
pandangan dunia ilmuwan Melayu ketika itu sebelum merebaknya kerangka pemikiran
yang sekular dan liberal. Oleh kerana karya ini bersandarkan kepada karya-karya
besar yang ditulis oleh ulama -ulama
besar dalam sejarah Islam yang panjang,
Thamarat al-Muhimmah dapat
dianggap sebagai karya kemuncak ilmu ketatanegaraan Melayu yang bersumberkan
tradisi keilmuan Islam.
2.0
Pandangan terhadap artikel
Ilmu ketatanegaraan
bermaksud ilmu yang berkaitan tentang pentadibiran dan pemerintahan dalam
sesebuah negara. Raja Ali Haji telah menekankan beberapa perkara yang penting
merujuk kepada ilmu ketatanegaraan. Beliau telah menekankan bahawa pemerintahan
yang baik adalah pemerintahan berdasarkan ilmu. Oleh itu, pemimpin yang bijak
perlu mementingkan prinsip keadilan, kedaulatan syariah dan melaksanakan
pemerintahan dengan musyawarah. Penekanan yang dilakukan oleh Raja Ali Haji
terhadap keutamaan ilmu menggambarkan kebijaksanaan beliau yang mendahului
zaman.
Pada
hari ini, negara-negara maju memilih
pemimpin dalam kalangan orang yang berilmu. Malah, rakyat dari negara
maju akan berasa malu jika pemimpin yang
muncul walaupun dipilih secara demokratik tidak dapat dibanggakan dari segi ilmunya.
Oleh hal yang demikian, Raja Ali Haji telah meletakkan ilmu sebagai syarat
perlantikan seorang raja atau pemimpin tertinggi sesebuah negara. Perlantikan
pegawai-pegawai kerajaan, hakim dan qadi hendaklah dalam kalangan orang-orang
yang berilmu. Setiap pertimbangan atau keputusan yang diambil perlu memenuhi kemaslahatan agama dan kemaslahatan
duniawi.
Melalui
karya-karyanya juga, Raja Ali Haji menerangkan peranan tasawuf dalam membimbing
dan menyelamatkan seseorang daripada menjadi pemimpin yang jahat atau zalim.
Beliau mengatakan bahawa seseorang itu tidak akan dapat menjadi pemimpin yang
baik jika tidak mengetahui penyakit-penyakit hati atau sifat-sifat tercela
seperti takbur, dengki dan sebagainya yang mesti dijauhi dan diubati kerana
kesejahteraan luaran bergantung kepada kesejahteraan dalaman iaitu hati. Setiap
sifat tercela ini dibahas dan diterangkan bahayanya kepada diri dan negara.
Oleh
itu, untuk melahirkan pemimpin dan
penjawat awam yang berintegriti, tidak mengamalkan rasuah, amanah, jujur dan
disiplin, kesejahteraan hati daripada penyakit atau sifat-sifat tercela itu
perlu ditangani terlebih dahulu.
Raja
Ali Haji juga menekankan konsep kerajaan atau pemerintahan yang adil. Seorang
raja atau pemimpin sebenarnya memerintah sebagai khalifah yang menggantikan
Rasulullah dan bukan kerana keturunan. Keturunan atau darah bagi Raja Ali Haji
tidak menjamin hak seseorang memerintah orang lain. Bagi Raja Ali Haji, jika
keadilan dan tanggungjawab moral yang digariskan oleh Islam diabaikan maka
negara tersebut akan terancam. Raja Ali Haji menentang pemerintahan kuku besi
yang mengabaikan kebajikan rakyat. Raja Ali Haji sangat menekankan pentingnya
raja sebagai rujukan utama. Bagi Raja
Ali Haji, para ilmuwan, wazir iaitu menteri dan pemimpin berhak untuk
memikirkan dan menciptakan ilmu, kaedah dan cara baru yang beliau nyatakan
sebagai ijtihad dalam persoalan keduniaan dan perlu bersesuaian dengan suruhan dan
kemaslahatan agama.
Di
samping itu, pemerintahan dengan musyawarah juga ditekankan oleh Raja Ali Haji
dalam karya-karyanya. Musyawarah adalah konsep dan prinsip yang amat penting
yang mencirikan sistem pemerintahan Islam kerana musyawarah merupakan lambang
pemerintahan yang adil dan bijaksana. Tambahan lagi, musyawarah dapat
memastikan sesebuah negara itu diperintah berdasarkan ilmu dan kebijaksanaan
dan bukan berdasarkan hawa nafsu.
Musyawarah adalah prinsip dalam pemerintahan dan kepimpinan Islam dan bukan
hanya satu birokrasi atau kebiasaan yang dibuat dalam setiap organisasi. Beliau juga menjelaskan bahawa musyawarah
perlu dilakukan dengan orang yang berilmu bukan dengan orang yang jahil, sombong,
dengki, penakut, bakhil dan bersekedudukan agar musyawarah yang
dilaksanakan menghasilkan satu pertimbangan yang terbaik.
3.0
Kesimpulan
Thamarat al-Muhimmah merupakan karya
terulung dan kemuncak dalam ilmu ketatanegaraan Islam yang lahir di
zaman keemasan tamadun Melayu. Banyak
idea-idea yang dikemukakan oleh Raja Ali Haji masih relevan dan penting untuk dijadikan
panduan kepada generasi umat Islam masa kini dalam menghadapi pelbagai cabaran
yang datang silih berganti. Berdasarkan perbahasannya tentang aspek-aspek di atas dapat
disimpulkan bahawa beliau juga memiliki
ilmu tentang perubatan, astronomi dan pemakanan selain ilmu-ilmu yang telah
dibahas iaitu ilmu tasawuf, ilmu politik dan ketatanegaraan, ilmu bahasa, ilmu
falsafah, ilmu syariah dan lain-lain lagi.
Rujukan:
Sahlan Mohd Saman
(1994). Pengarang dan Kepengarangan
Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Siti Hawa Haji Salleh
(2009). Kelopak Pemikiran Sastera Melayu.
Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia.
UKM Journal Article
Repository (2011). Dicapai 1 Mei 2013, daripada http://journalarticle.ukm.my/3310/
BOLEH NAK MINTAK KEBENARAN GUNA ARTIKEL NI?
ReplyDelete