Thursday, 16 May 2013

ANALISIS KARYA AGUNG


Menganalisis karya agung

Seni kepengarangan

Keagungan karya tradisional Melayu turut terlihat pada kebijaksanaan dan kehandalan pengarangnya menyampaikan cerita. Pada asasnya tugas pengarang ialah sebagai pewaris ‘yang empunya ceriata’ atau istilah yang sering digunakan ialah ‘menurut yang empunya cerita’, ‘alkisah maka tersebutlah’ dan lain-lain. Hal ini membayangkan kepada kita bahawa karya sastera Melayu tradisional adalah milik bersama masyarakat. Hikayat Melayu adalah cerita dan kisah agung tentang bangsa Melayu. Latar ceritanya merupakan pentas agung kisah Melayu dengan puluhan dan pelbagai tempat, kisah, peristiwa, dan beratus nama manusia dari pelbagai negeri dan benua. Namun, pengarang Melayu berjaya memelihara kesatuan ceritanya dan kita dapat merasakan wujudnya kesatuan latar dan pergerakan cerita yang berkesinambungan antara satu cerita dengan cerita yang lain. ciri yang menonjol dalam penulisan karya agung Melayu ialahteknik warisan bercerita yang digunakan oleh kebanyakan pengarang. Pengarang akan menggunakan pelbagai kaedah misalnya memasukkan unsur jenaka, unsur romantik, realisme, idealism, dan banyak lagi untuk menarik minat pembaca atau pendengar. Teknik yang lebih halus digunakan oleh pengarang untuk menyampaikan maksud atau pesanan. Pengarang akan menggunakan teknik kias ibarat, gabungan prosa atau puisi dan teknik didaktik. Pengarang juga ada menggunakan teknik orang ketiga atau dalang untuk menyampaikan apa yang berlaku tanpa melibatkan dirinya sebagai tukang cerita.

Sulalatus Salatin

Konsep penulisan
Sualaltus Salatin dianggap sebagai sebuah karya sejarah yang universal bagi masyarakat Melayu tradisi khususnya yang berpusat pada Empayar Melayu Melaka. Di dalamnya digambarkan mengenai alam masyarakat Melayu tradisi yang merangkumi bidang politik, ekonomi, masyarakat dan juga agama. Dalam lingkungan tersebut yang terpenting adalah orang Melayu atau orang Melaka dengan raja-rajanya, peristiwa yang berlaku dan tindakan yang dilakukan di sekitar ketokohan dan alam persekitaran mereka. Orang luar dan peristiwa luar tidak begitu dipentingkan dan dianggap sebagai unsur sampingan yang berfungsi untuk mengukuhkan kedudukan dan keagungan seorang tokoh mahupun budaya tempatan. Orang Melayu Melaka digambarkan sebagai orang yang bijak, serba boleh, dan terkenal. Sebagai contoh, Sultan Alauddin Riayat Syah dianggap sebagai terlalu perkasa tiada berbagai-bagai pada zaman itu. Penulis menggambarkan betapa orang Melayu Melaka tidak pernah kalah dalam apa juga bidang yang diceburi. Isi kandungan Sulalatus Salatin telah menampakkan sentrik Melaka dengan begitu jelas dan inti pati kandungannya menceritakan tentang sejarah kebangkitan dan perkembangan Empayar Melayu Melaka dari awal sehingga menjadi sebuah entiti tamadun yang masyhur dan terbilang. Kebangkitan dan perkembangan Melaka sebagai sebuah tamadun yang masyhur dan terbilang adalah peranan raja dan pembesar yang menerajui tampuk pemerintahan yang turut menjadi peristiwa penting yang digambarkan di dalam karya ini. Pada bahagian akhir diceritakan tentang kemasyhuran Melaka yang telah menarik minat kuasa asing iaitu Portugis yang berminat untuk menawan  pusat kegiatan politik, pentadbiran dan ekonomi perdagangan empayar Melaka. Dengan kata lain, apa yang digambarkan ialah tentang kemunculan, kegemilangan serta kebesaran Empayar Melayu Melakasebagai sebuah pusat tamadun dunia, di mana raja serta pembesar memainkan peranan masing-masing sama ada usaha membangunkan empayar mahupun dalam mengekalkan keunggulan serta kesejahteraannya.

Kekuatan kepengarangan

Sebagai sebuah hasil karya persejarahan tradisi, Sulalatus Salatin mengandungi ciri dan bentuk yang sama dengan beberapa buah karya persejarahan tradisi dalam peradaban lain. Persamaan tersebut dilihat bukan hanya dengan adanya unsur kesusasteraan, tetapi juga dari tujuan penulisan dan juga kandungan peristiwa yang kerap berlegar di sekitar peperangan, pengembaraan dan kepahlawanan. Karya ini turut memuatkan mengenai semangat kewibawaan, keagungan serta kegemilangan tokoh den peradaban yang berkenaan. Hasil persejarahan tradisi Melayu seperti Sulalatus Salatin ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Malah, karya ini merupakan satu karya yang unik, yang boleh dikatakan tidak terdapat dalam mana-mana karya yang lain.  Perkara itu berhubung dengan unsur kesusasteraan yang berkaitan dengan fungsi dongeng dan mitos. Dalam persejarahan Melayu, unsur ini mempunyai fungsi kemasyarakatan dan sejarahnya tersendiri. Unsur tersebut dimuatkan dengan tujuan memberitahu masyarakat tentang sesuatu peristiwa dan fenomena yang tidak boleh disampaikan secara terus terang dan terbuka. Hal ini adalah kerana, nilai dan norma masyarakat Melayu pada ketika itu tidak membenarkan sesuatu yang biadab dan memalukan dipaparkan secara terang-terangan. Jika dilakukan juga, perbuatan itu akan menyebabkan seseorang itu dianggap biadab, tidak tahu adat, dan lebih teruk lagi dianggap sebagai derhaka. Dengan menyatakan sesuatu itu secara halus, pihak pengarang merasakan para pembaca atau pendengar dapat memahami mesej yang ingin disampaikan dengan lebih jelas lagi. Pihak yang disindir pula akan menerimanya dengan tenang kerana selaran itu dilakukan dengan cara yang bersopan-santun.  

Motif pengarang

Motif penulisan Tun Seri Lanang adalah untuk ‘menyukakan duli hadrat baginda Sultan’ dan  adalah supaya perihal yang berkenaan diketahui dan diingati oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita. Jelaslah disini bahawa, Tun Seri Lanang menulis Sulalatus Salatin adalah atas perintah Sultan dan agar karya sejarah ini dapat menjadi iktibar dan ingatan buat generasi akan datang. Motif seperti ini menggambarkan sifat subjektif karya dan pengarangnya sendiri, iaitu subjektif terhadap peradaban, raja-raja dan bangsanya.  


Misa Melayu

Konsep penulisan

Kaedah penulisan yang terdapat di dalam Misa Melayu tidak banyak bezanya dengan Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Tun Seri Lanang. Seperti Tun Seri Lanang, Raja Chulan juga menerima titah sultan untuk menghasilkan sebuah karya dengan penuh kebimbangan rendah hati dan menganggap dirinya ‘orang yang tidak faham tamsil dan ibarat’. Gambaran beliau mengenai dirinya itu hanyalah suatu pernyataan yang biasa untuk menunjukkan rasa rendah diri penulisnya. Bagi menghasilkan sesuatu karya pastinya perlu membuat penyelididkan dan rujukan yang sewajarnya dan Raja Chulan turut membuat penyelidikan dan rujukan yang sesuai seperti beliau merujuk khususnya kepada sumber lisan seperti yang tergambar melalui penggunaan klausa seperti ‘tersebutlah perkataan’, ‘diceritakan oleh orang yang empunya cerita’ dan ‘tersebutlah alkisah’. Berbeza dengan Tun Seri Lanang, Raja Chulan tidak dititahkan supaya memperbaiki semula sebuah hikayat yang sudah ada tetapi beliau dititahkan mengarang semula sebuah karya mengenai sejarah Perak dengan tumpuan khas terhadap Raja yang memerintah pada kurun ke-18 masihi terutamanya Sultan Iskandar Syah dan Sultan Muzaffar Syah. Dengan kata lain beliau mencatat sejarah negeri Perak yang berlaku sekitar zamannya. Oleh yang demikian, salah satu sumber yang digunakan untuk menghasilkan karya ialah pengalaman dan pengamatan terhadap peristiwa yang berlaku pada zamannya.  

Kekuatan kepengarangan

Dari segi bentuk persejarahan, Misa Melayu mewarisi beberapa ciri persejarahan tradisi yang terdapat di dalam Sulalatus Salatin. Antara cirinya ialah kurangnya penggunaan tarikh namun tarikh yang digunakan adalah jelas dan tepat. Bentuk penulisan Misa Melayu juga mengandungi ciri persejarahan Islam seperti memulakan penulisan dengan lafaz bismillah dan turut memasukkan kata-kata seperti ‘dengan izin Allah’. Besar kemungkinan wujudnya ciri ini adalah kerana banyak membaca karya persejarahan Melayu-Islam atau hasil pendidikan Islam yang diterimanya. Misa Melayu turut memberikan satu kelainan kerana tidak mengandungi unsur yang berupa mitos dan dongeng walaupun ciri kesusasteraan yang lain seperti pantun dan syair masih dikekalkan. Misa Melayu merupakan karya yang amat penting dalam persejarahan negeri Perak. Karya ini mengandungi peristiwa yang benar-benar berlaku yang menjelaskan mengenai struktur politik kerajaan, kegiatan ekonomi, undang-undang dan banyak lagi. Turut dimuatkan salasilah dan jurai keturunan kerajaan negeri Perak, susunan pembesar negeri, struktur masyarakat, adat istiadat, dan bentuk kesenian yang wujud terutama pada kurun ke-18. Syair yang dimuatkan di dalam karya ini juga bukan berbentuk hiburan semata-mata malah mengandungi pelbagai keterangan peristiwa sejarah yang berguna. Beberapa peristiwa yang dimuatkan di dalam Misa Melayu juga boleh didapati di dalam sumber sejarah yang lain terutama sumber dari Belanda. Persamaan ini bukan sahaja mengukuhkan lagi ketepatan maklumat yang terdapat di dalam Misa Melayu, malah menampakkan kesedaran dan pengetahuan sejarah pengarangnya.  

Motif pangarang

Tujuan penghasilan Misa Melayu merupakan sesuatu yang lazim bagi karya persejarahan tradisi Melayu khasnya dan tradisi lain amnya. Karya ini ditulis adalah dengan tujuan memenuhi kehendak atau perintah raja. Dalam hal Misa Melayu Raja Chulan memaklumkan perintah tersebut melalui serangkap syair. Tujuan pengarang menerima titah untuk penulisan itu pula adalah untuk memberitahu kepada generasi seterusnya mengenai kegemilangan sesebuah zaman pemerintahan seseorang raja iaitu melalui frasa ‘supaya bolehlah akan zaman kita disebut orang kelak’.

Hikayat Abdullah

Konsep penulisan

Di dalam Hikayat Abdullah, penulisnya tidak menyatakan sumber bagi sesuatu peristiwa atau tokoh yang dicatatkan kerana pengalamannya sendiri merupakan sumber yang terpenting. Beliau sering memulakan sesuatu ayat dengan beberapa ungkapan terutama apabila ingin memulakan sesuatu ayat ‘kata yang empunya cerita’, ‘bermula apa yang ku dengar’. Beliau turut menggunakan perkataan ‘konon’ bagi menunjukkan rasa tidak pasti atau rasa sangsi terhadap sesuatu peristiwa yang dicatatkan. Dalam mencatatkan peristiwa mahupun perkara yang berkaitan dengan tokoh, Abdullah turut menyatakan sekali dengan tarikh yang berkaitan. Hikayat Abdullah masih menggunakan unsur-unsur kesusasteraan seperti dialog, syair, dan pantun tetapi hikayat ini tidak mengandungi unsur luar biasa dan khayalan seperti mitos dan lagenda. Unsur kesusasteraan yang digunakan mampu memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai sesuatu peristiwa serta lebih meyakinkan pembaca.

Kekuatan kepengarangan

Hikayat Abdullah memang mempunyai beberapa ciri persejarahan moden terutama jika ditinjau dari segi isi kandungan, sikap yang agak kritis, dan kesedaran dalam penggunaan tarikh yang konsisten. Hikayat Abdullah ini boleh dikatakan sebagai suatu bentuk karya persejarahan yang kritis, terutama terhadap catatan peristiwa. Suatu unsur penting yang terdapat di dalam hikayat ini adalah nasihat yang dikemukakan terutama pada akhir setiap bab. Kadag kala unsur nasihat dimuatkan selepas penerangan tentang sesuatu peristiwa yang berlaku. Melalui bahagian nasihat ini, Abdullah seolah-olah ingin menyedarkan pembacanya tentang kesilapan dan kekeliruan mereka selama ini. Hikayat ini juga masih lagi sebahagian daripada tradisi persejarahan Melayu-Islam. Abdullah sering menyelitkan sebutan tentang Allah dan Rasulnya dalam penceritaan beliau. Oleh itu, Hikayat Abdullah dapat digolongkan ke dalam kategori persejarahan tradisi Melayu-Islam yang memuatkan beberapa unsur persejarahan moden. 

Motif pengarang

Tujuan tersurat yang utama mengapa beliau menulis karya ini adalah untuk memenuhi permintaan ‘seorang sahabatku, iaitu orang putih yang kukasihi akan dia, maka ialah meminta sangat-sangat padaku iaitu kehendak mengetahui asal-usulku, dan peri hikayat kehidupan diriku. Maka ia meminta karangkan satu kitab dalam bahasa Melayu.

Tuhfat Al-Nafis

Konsep penulisan

Raja Ali Haji tidak sekadar menyalin sahaja peristiwa daripada sumbernya tetapi beliau membuat perbandingan dan pentafsiran semula sumber. Matlamatnya adalah supaya kandungan yang ditulisnya berkualiti dan boleh dimanfaatkan oleh pembaca. Maka, fakta-fakta diberikan interpretasinya sendiri. Dalam penulisan bahagian kedua Tuhfat Al-Nafis, sumber yang dirujuk digabungkan dengan peristiwa dan perkembangan yang didengar atau disaksikan dan kemudian memberikan tafsiran dan pendapat dari sudut pandangannya sendiri. Beliau menceritakan sebuah peristiwa dengan terperinci dan teliti disebabkan oleh ketajaman pemerhatiannya. Ketepatan peristiwa yang diceritakan pula adalah tinggi kerana beliau menyaksikan sendiri peristiwa sejarah yang berlaku. Oleh sebab Raja Ali Haji menulis atas kehendak sendiri maka beliau boleh bersikap objektif dan kritikal dalam menilai setiap peristiwa yang dikaji.

Kekuatan kepengarangan

Raja Ali Haji sedar akan kepentingan sumber dalam penulisan sesebuah karya. Oleh itu beliau menggunakan sumber rujukan dalam penghasilan karyanya. Sumber yang digunakan oleh Raja Ali Haji adalah terdiri daripada sumber bertulis dan sumber lisan tetapi senarai sumber bertulis yang dirujuk tidak dimasukkan. Rujukan terhadap sumber bertulis dapat dilihat melalui frasa ‘tersebut di dalam siarah’, ‘ aku dapat dalam setengah kaul’ dan ‘ aku terjumpa dengan sejarah’.sumber lisan pula berupa pengumpulan ingatan atau hafalan yang berkemungkinan diperoleh daripada tokoh kerabat Di Raja Johor-Riau atau dari negeri Melayu yang lain. Sumber lisan biasanya ditandai dengan ungkapan ‘kata setengah kaul’, ‘kata kaul orang-orang tua’, dan ‘ kata sahibul hikayat’. Jika sumber yang dirujuk diragukan kebenarannya, maka Raja Ali Haji akan menyatakan dengan perkataan ‘konon’ dan  ‘wallahualam’. Dengan cara memaparkan sumber dalam penulisannya, Raja Ali Haji berharap beliau dapat memaparkan kebenaran sejarah dan tidak menimbulkan keraguan atau kekeliruan terhadap pembaca karya beliau.

Motif pengarang

Tujuan umum penulisan Raja Ali Haji adalah untuk memberikan penerangan kepada khalayak umum mengenai hubungan sosiopolitik antara puak Melayu dan Bugis serta peristiwa yang berkaitan dengannya. Raja Ali Haji menulis adalah dengan dorongan untuk menghasilkan sebuah ‘kitab yang sempurna’ dan bukanlah untuk memenuhi titah perintah orang yang berkuasa.

Bibliografi

Hassan Ahmad (2000). Pengenalan konsep dan gagasan karya agung. Kuala Lumpur. Yayasan    karyawan.

Haron Daud (1993). Sejarah Melayu satu kajian daripada aspek persejarahan budaya. Kuala         
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Yusuf Ibrahim (2010). Sejarawan dan persejarahan Melayu. Kuala Lumpur: Tinta     publisher.


1 comment:

  1. The Best Casino & Sports in Atlantic City, NJ | Mapyro
    The 성남 출장안마 Best Casino & Sports 춘천 출장샵 in Atlantic City, NJ is an easy 의정부 출장안마 one, easy drive from 하남 출장안마 The Water Club, Ocean Gaming Center and The Water Club. All 군포 출장안마 you need to do is

    ReplyDelete