Saturday, 18 May 2013

IDEALISME DAN FALSAFAH MELAYU


1.0       Pengenalan
Falsafah membawa maksud "al-bahsu" yakni pengetahuan,kebijaksanaan,keutamaan. Perkataan falsafah sebenarnya berasal daripada istilah Yunani ,Philo yakni cinta dan Sophos yakni hikmat,kebijaksanaan. Pythagoras telah menggelarkan dirinya sebagai philosophos atau pencinta kebijaksanaan(Lover of Wisdom).

Tetapi ada juga yang mengatakan bahawa Socrates adalah orang yang mula-mula menggunakan istilah falsafah. Socrates menganggap dirinya sebagai philosophos untuk membezakan dirinya dengan golongan Sophist(Sophisme/Sufasta'iyyin) yang diasaskan oleh Protagoras. Pokok pemikiran Sophisme ialah bahawa segala sesuatu itu berubah-ubah dan tidak tetap. Hal ini bermakna bahawa kebenaran yang hakiki tidak tercapai dan tidak akan tercapai. Oleh kerana kebenaran hakiki tidak tercapai maka tiap-tiap pendirian boleh dibenarkan. Sebab itu tidak ada ukuran yang tetap tentang benar dan salah atau baik dan buruk. Nilai-nilai moral yang dianggap baik dan abadi tidak penting lagi kerana apa yang dianggap baik pada hari ini sudah dianggap tidak baik pada hari esok. Mengenai Socrates peranannya yang besar ialah menghadapi kaum Sophist melalui proses dialog untuk mencari kebenaran. Dengan ini Socrates memberi maksud falsafah itu satu ilmu untuk mencari sebab dan kebenaran kepada punca sesuatu perkara. Melalui istilah Socrates inilah yang menjadi begitu popular lantaran ianya diikuti oleh ramai ahli Falsafah berikutnya sehingga munculnya Falsafah Islam seperti Farabi dan Ibnu Sina yang memberi erti yang sama.

Bagaimanapun pengertian falsafah secara popular ialah berfikir. Perkara yang dikatakan berfikir secara falsafah haruslah mengandungi ciri-ciri seperti berfikir secara radikal,iaitu secara mendalam hingga keakar umbinya atau asal-usulnya dan hakikatnya, berfikir secara universal,iaitu menurut pengalaman manusia secara umum, bukan khusus dan terbatas dengan ilmu tertentu sahaja dan berfikir secara integral,iaitu berpadu secara lengkap pada mana-mana bahagian yang ada. Dalam setiap karya agung yang dikarang terdapat falsafah yang ingin diterapkan dan disampaikan oleh pengarang secara langsung atau tidak langsung. Karya agung merupakan falsafah pemikiran atau idealisme yang ingin diterapkan dalam karya itu sendiri.


2.0       Falsafah Melayu dalam Hikayat Hang Tuah.

Hikayat Hang Tuah (HHT) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh Kassim Ahmad. HHT sebuah karya epik yang berbentuk prosa yang mengandungi lebih daripada 500 halaman dengan lebih kurang 164,000 patah-perkataan. HHT ini telah dihasilkan pada akhir kurun ke-17. Karya ini juga disebut Valentijin Kitab Hantoewa menurut Francois Valentijin dalam karyanya Oud en Nieuw Oost-Indien (1728). Tambahnya lagi, karya ini biasanya dinamakan oleh Sarjana Melayu Sulatas-Salatin iaitu Sultan-Sultan Melaka.

HHT merupakan sebuah epik kebangsaan. Epik ini telah menegemukakan watak Hang Tuah sebagai tokoh agung bagi bangsa Melayu dan sebagai lambang kemegahan dan kekuatan bangsa Melayu. Menurut Kassim Ahmad (1992: xvi) kebangunan, kebesaran dan kejatuhan Melaka berhubung rapat dengan tokoh Hang Tuah. Hal ini bermaksud, apabila Hang Tuah kecil Melaka baharu didirikan. Apabila Melaka besar beliau merupakan orang kanan bersama Bendahara, di dalam urusan pentadbiran dan di dalam urusan keselamatan di dalam negeri suaranya muktamad. Apabila ia jatuh sakit Melaka diancam oleh Portugis dan terus kalah apabila ia berundur dari perkhidmatan negara. Tidak lain, Hang Tuah ialah lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka. Di dalam hidupnya tercatat riwayat Kerajaan Melayu Melaka dan bangsa Melayu dalam zaman feudal yang sudah lampau. Selain daripada itu, watak Hang Tuah sebagai pahlawan yang taat setia kepada raja yang sanggup menyelami mahkota dan keris raja yang jatuh ke dalam laut. Penceritaan kisah Hang Tuah dan saudaranya dalam karya agung Hikayat Hang Tuah mempunyai idealisme dan falsafah yang tersendiri yang terkandung di dalamnya. Antara idealisme dan falsafah yang ditonjolkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah ialah :

2.1        Kehebatan Dan Kepentingan Ilmu Persilatan.
Hang Tuah sebagai seorang laksamana dan hulubalang Melayu terulung zaman kegemilangan Kerajaan Empayar Laut Melayu Melaka zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah dan awal zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah sudah tidak asing lagi kepada masyarakat umum Nusantara malah masyarakat Asia Tenggara dan sebahagian kecil dunia amnya. Kehebatan ilmu persilatan beliau yang digambarkan oleh pengarang Hikayat Hang Tuah (Rujukan : Hang Tuah. DBP, Kuala Lumpur. Ogos 1963) bagaikan tiada tandingannya lagi semenjak zaman beliau hinggalah ke hari ini. Penulis hanyalah orang biasa sebagai guru kepada salah satu seni silat lama Nusantara Melayu iaitu Seni Silat Melayu Asli Sejati yang bernaung dalam Persatuan Seni Silat Gerak Sejati (Trg) Malaysia merasa amatlah kerdil untuk menganalisa, mengulas dan memberi pandangan serta pendapat yang jitu dan tepat dari segi seni, teknik dan falsafah persilatan Laksamana Hang Tuah seorang pendekar handalan, Laksamana, panglima dan pahlawan Melayu teragung. Maka tidaklah terjangkau dan terfikir sepenuhnya perkara-perkara tersebut dengan ilmu dan pengalaman serta kebolehan persilatan penulis yang amat cetek dibandingkan dengan beliau. Sementara itu di luar sana terdapat bagitu ramai guru-guru, mahaguru-mahaguru yang lebih arif dan hebat dalam ilmu persilatan Melayu Nusantara. Kehebatan ilmu persilatan Hang Tuah adalah berpaksikan dan berpunca daripada ilmu zahir dan batin Tiga Orang Guru beliau berserta sebilah keris penduanya yang sakti iaitu Keris Taming Sari dan keris berjasanya iaitu keris utamanya `Keris Panjang Tempa Melaka` serta sebilah pisau kecil hikmat yang selalu tidak berpisah dengan beliau yang rahsianya hanya terbongkar sewaktu perpisahan beliau dengan gurunya seorang Syeikh Sufi di hulu Melaka iaitu Syeikh Mansur yang ternyata melalui dialog ini:

“Ya tuanku, suatu pun tiada persembah (hadiah untuk guru sebagai membalas budi-p) hamba ka-bawah kadam (yang mulia-p) tuanku, hanya-lah pisau (badik?-p) sa-bilah ini (untuk-p) permainan tangan (pakaian-p) tuanku.` Maka di-sambut oleh Syeikh pisau itu, maka di-lihat-nya pisau itu sarong-nya daripada emas sa-puloh mutu di-tatah mas permata sembilan bagai, shahadan hulu-nya daripada chula (tanduk). Maka pada hulu-nya suatu intan dibuboh-nya, chahaya-nya amat gilang-gemilang dan mata pisau itu terlalu baik (dari segi tempaan besinya dan ukuran tuahnya-p). Maka sheikh pun terlalu sukacita seraya berkata, `Sunggoh-lah tuan anak kepada-ku (sanggup menghadiahkan barang yang amat bernilai sabagai tanda kasihnya-p). Bermula pisau itu sa-buah negeri dengan isi-nya tiada ku tukarkan. Ada pun kasih anak-ku itu Allah Ta`ala juga membalas dia, tetapi (walau pun pisau bertuah dan berhikmat ini tiada lagi pada Hang Tuah-p) insha Allah Ta`ala, barang di-mana tempat anak-ku itu dipeliharakan Allah subhanahu wa Taala juga, bala di-jauhkan Allah Ta`ala pada kadam. `Sa-telah sudah Sheikh Mansur memberi do`a akan Laksamana, Laksamana pun sujud pada kaki sheikh (maksud – merendah diri kepada guru dengan cara mencium tangan orang yang suci hati dan kerana menghormati ilmu agama serta ilmu ketuhanan yang ada di dalam dadanya - bukan perbuatan sujud fizikal pada kaki manusia - kerana perbuatan begitu syirik dan berdosa besar dalam Islam-p) itu lalu ia bermohon. Maka sheikh pun memelok mencium Laksamana. Maka Tun Pekerma dan Tun Kasturi pun bemohonlah (permisi) pada sheikh itu.”
(Hikayat Hang Tuah: hlm 308)
2.2       Keberanian dan kebijasanaan

Keberanian dan ketabahan  Hang Tuah dan ahli rombongan peminangan itu dikagumi oleh Seri Betara Majapahit sehingga baginda menganugerahkan gelaran Penggawa Agung kepada Hang Tuah yang bertaraf tinggi selepas kedudukan Patih Gajah Mada. Kebijaksanaan Hang Tuah terserlah sekali lagi apabila beliau berjaya mengenal pasti dan mengubati penyakit kuda tezi yang liar yang gagal ditunggangi oleh sesiapa pun. Hang Tuah mengatakan bahawa kuda tezi bingkisan Sultan Sang Jaya Nantaka itu berpenyakit kerana mewarisi tabiat kerbau iaitu apabila kelelahan akan mencari sungai tempat berkubang. Penjelasan ini mendatangkan kemarahan utusan Benua Keling, Orang Kaya Sang Perdana (O.K.S Perdana Setia) dan Sang Ratna Setia kerana berasa terhina. Akhirnya Hang Tuah dapat menyembuhkan penyakit kuda tezi tersebut dalam masa 7 hari. Kemudian rombongan utusan Melaka selamat kembali ke Melaka dengan membawa utusan Majapahit yang menerima peminangan Raja Melaka terhadap Raden Mas Ayu.

Sifat Berani Hang Tuah merupakan tokoh utama dalam Hikayat Hang Tuah. Keberanian Hang Tuah jelas terlihat ketika beliau berada di Majapahit. Hang Tuah sentiasa berwaspada dan beringat-ingat dengan tindakan beliau ketika menentang musuh-musuh yang cuba menentangnya. Keberanian Hang Tuah mendapat perhatian daripada Betara Majapahit dan mengakui dengan dialognya menyatakan bahawa:

 “….adapun kulihat Laksamana itu bukan barang-barangorang dan bukan barang-barang hulubalang dengan beraninya dan bijaksananya; syahadan tahunya padailmu firasat dan penjurit ; dan tahu bermain senjata jangan dikata lagi;…….”
(Hikayat Hang Tuah: hlm169)
Sifat keberanian dan rasional Hang Tuah amat bijak bertindak ketika berada dalam keadaan terdesak. Hang Tuah juga menggunakan kepintarannya untuk mendapatkan semula keris Taming Sari dari Hang Jebat semasa mereka berlawan. Hang Tuah cuba melekakan Hang Jebat dengan kata-kata yang menunjukkan simpati terhadap Hang Jebat;

“Hai Si Jebat, apatah dayaku kerana aku dititahkan raja membuangkan engkau ? Dalam pada itupun, jika engkau berdosa ini lain daripada dosa yang demikian, tahu juga kupohonkan. Yang engkau dan Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu ini bukanlah sahabat lagi padaku, penaka saudaraku;ah. Sukar aku berkata.”    
(Hikayat Hang Tuah: hlm 390)

Dengan ini dapat dilihat bahawa keberanian dan kebijaksaan dalam membuat keputusan itu perlu diambil dengan kadar yang rasional mengikut keperluan pada sesuatu masa. Dengan menggunakan keberanian dan kebijaksanaan yang ada dengan baik, Hang Tuah mampu untuk mengatasi segala masalah yang menimpanya.

2.3       Kesetiaan kepada raja.

Dalam Hikayat Hang Tuah, pengarangnya banyak menyelitkan falsafah tentang kesetiaan kepada raja. Raja dianggap sangat mulia kedudukannya dan mempunyai kuasa yang tinggi. Bagi masyarakat Melayu sangat penting untuk menghormati institusi diraja dan taat setia kepada perintah raja.  Dalam Hikayat Hang Tuah, sikap Hang Tuah yang sangat pentingkan ketaatan kepada raja menjadi isu utama dalam penceritaannya. Hang Tuah dikatakan sanggup membelakangkan persahabatannya dengan Hang Jebat bagi menurut perintah raja untuk membunuh Hang Jebat.

Selain itu, sifat taat setia Hang Tuah digambarkan sebagai seorang hamba yang taat setia kepada rajanya. Beliau sanggup dirinya dibunuh biarpun tidak bersalah. Hukuman bunuh yang dititahkan ke atas Hang Tuah terjadi sebanyak dua kali. Namun beliau tidak pernah menyimpan dendam pada raja malah menerimanya dengan penuh sifat kesetiaan selepas diperlakukan sedemikian oleh raja. Demikian diceritakan betapa besarnya kesetiaan Hang Tuah kepada rajanya dan tidak berpaling tadah walaupun dihukum banyak kali diatas  kesalahan yang tidak dilakukan oleh beliau.

“…..maka Laksamana pun menguinus kerisnya dari pinggangnya lalu dipersembahkannya pada Bendahara; demikian katanya, “Alhamdulillah! Si Tuah tiada bertuan dua tiga dan Si Tuah tiada mau derhaka kepada tuannya.”     
  (Hikayat Hang Tuah: hlm 207)
Sikap kesetiaan Hang Tuah mampu memberi inspirasi kepada pengarang dan pembaca dalam kehidupan seharian dan mampu untuk dijadikan falsafah hidup dan diadaptasikan dalam kehidupan pada zaman kini.

3.0       Falsafah Melayu dalam Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu).

            Teks yang dikenali sebagai Sejarah Melayu atau Sulalat al-Salatin ini telah melalui beberapa zaman bermula di Melaka pada zaman Kerajaan Melayu Melaka kemudian berkembang sehingga menjadi sebuah sejarah yang lengkap.  Karya Sulalat al-Salatin merupakan sebuah sastera sejarah kerana isinya terkandung peristiwa sejarah dan bercampur dengan sastera rakyat.  Naskhah asal karya ini telah disalin beberapa kali di Johor kerana merupakan sebuah karya yang penting yang diperlukan oleh istana untuk merujuk salasilah raja dan kerabatnya.  Pada zaman dahulu turut menjadi budaya bahawa teks yang baik akan diperbanyakkan untuk pembacaan dan disimpan.  Karya yang ditulis di Johor ini bartarikh 1612 amat penting dan dari awal lagi dikagumi kerana kandungan, bahasa, dan seni persembahannya. Teks Sejarah Melayu ini amat penting bagi bangsa yang menjadi pokok persoalan dan sejarahnya iaitu bangsa Melayu.  Melalui teks Sejarah Melayu ini, dapat diketahui susur galur pemerintah Tanah Melayu dahulu kala serta sejarah pemerintahan mereka. Melalui teks sejarah ini juga, kita dapat melihat falsafah dan pemikiran orang Melayu dalam menjalani kehidupan seharian.

3.1       Kepercayaan dan agama.

            Kepercayaan dan agama merupakan dua aspek sosial yang amat berkait rapat dengan kehidupan dan amalan seharian. Pada satu ketika dahulu, animisme dan Hindu-Buddha menjadi kepercayaan dan agama anutan orang Melayu tetapi pegangan itu berubah apabila datangnya Islam yang berteraskan kepercayaan kepada Allah. Namun, kepercayaan animisme dan Hindu-Buddha yang menjadi amalan sejak berkurun lama amat sukar dikikis dan kekal diamalkan. Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu, pokok, sungai, gunung, dan pelbagai fenomena alam yang lain. Sebagai contoh, demi untuk keselamatan anggota masyarakat kuasa ghaib atau penunggu perlu dipuja dan dijamu dengan hidangan yang enak. Sebagai contoh, bagi mereka yang bergantung hidup kepada laut mereka akan mengadakan puja pantai. Demikian juga dengan tempat-tempat lain seperti hutan dan sungai. Dalam Sejarah Melayu, ada dirakamkan beberapa kali kisah pembukaan hutan sama ada untuk dijadikan negeri atau kawasan pertanian. Bagi mengelakkan rancangan atau aktivit mereka terganggu, penunggu hutan akan dipuja atau sekurang-kurangnya diberi penghormatan dengan meminta izin daripadanya. Walau bagaimanapun, masyarakat Melayu tradisional tidak menganggap semua hantu membawa kecelakaan. Mereka turut percaya bahawa hantu juga dapat memberikan kelebihan dan kekauatan luar biasa kepada manusia, sebagaimana yang diperoleh Badang dalam Sejarah Melayu. Badang dikatakan menjadi kuat dan tidak dapat dikalahkan oleh pahlawan yang handal setelah memakan muntah hantu. Banyak lagi kepercayaan-kepercayaan lain yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisonal seperti kepercayaan terhadap bomoh, ahli nujum, ramalan berdasarkan mimpi, keramat, semangat dan banyak lagi. Masih banyak lagi kepercayaan yang berunsur animisme yang masih dipraktikkan oleh masyarakat Melayu tradisional. Pengekalan kepercayaan ini satu daripadanya adalah disebabkan terdapat persamaan konsep ghaib dan perlakuan luar biasa dalam agama-agama selepasnya.

3.2       Konsep raja dan kedaulatannya.

            Politik Melayu tradisional memperlihatkan raja sebagai orang yang sangat penting dan amat dihormati. Sebagai seorang pemerintah, raja disifatkan sebagai orang yang mulia dan mempunyai pelbagai kelebihan. Dalam Sejarah Melayu, raja diletakkan setaraf dengan nabi dan sebagai pengganti Allah di muka bumi dan perkara ini dapat dilihat dalam wasiat Bendahara Paduka Raja Tun Perak kepada segala anak cucunya. Konsep raja yang sedemikian bukanlah bermula dengan kedatangan Islam, tetapi telah wujud sejak zaman animisme dan Hindu-Buddha lagi. Dalam kepercayaan animisme raja dianggap sebagai orang yang paling berkuasa dan menjadi penghubung antara rakyat dengan roh nenek moyang. Manakala pada zaman Hindu-Buddha, raja dikatakan titisan para dewa. Konsep raja dikaitkan dengan keagamaan bagi memperkuatkan kepercayaan rakyat terhadap kebesaran dan kemuliaan raja serta disesuaikan dengan kedudukan agama yang mereka anuti.

            Sesuai dengan konsep raja, seseorang raja itu dikatakan mempunyai beberapa sifat yang mulia dan kuasa luar biasa. Kebolehan luar biasa seorang raja ini pula dikaitkan pula dengan konsep daulat. Masyarakat Melayu amat mempercayai bahawa seorang raja adalah berdaulat. Konsep daulat ini memberikan banyak hak dan keistimewaan kepada raja. Raja juga tidak boleh dicela atau dikritik dan daulat turut menuntut taat setia yang tidak boleh dipersoalkan lagi oleh rakyat. Berdasarkan keterangan di atas, raja Melayu pernah memperlihatkan kedaulatan mereka. raja yang berdaulat jika direndahkan akan menyebabkan orang tersebut terkena tulah. Contohnya, dalam Sejarah Melayu ada diceritakan mengenai Maharaja China yang menjadi kedal setelah Sultan Mansur Syah mengaku kebesaran Raja China melebihi Raja Melayu dengan mengirim sembah kepadanya. Bagi mengubati penyakit tersebut, Raja China perlu meminum dan membasuh muka dengan air basuh kaki Sultan Mansur Syah. Cara pengubatan itu sendiri memperlihatkan kedaulatan Raja Melayu. Orang yang tidak sedarjat dengan raja juga akan terkena tulah jika dikahwini oleh baginda. Sejarah Melayu menggambarkan hal ini dalam peristiwa perkahwinan Seri Teri Buana, di mana tiga puluh Sembilan orang isterinya menjadi kedal setelah ditiduri pada malam hari kerana mereka dari kalangan rakyat biasa. Selain itu tulah juga boleh terkena kepada orang yang menceroboh hak-hak raja, melanggar larangan baginda, mengetepikan segala kebesaran dan menderhaka kepada raja. Hal ini turut digambarkan di dalam Sejarah Melayu iaitu Sang Rajuna Tapa yang menderhaka kepada Raja Iskandar Syah di Singapura kerana beliau telah membantu Majapahit menewaskan Singapura. Akibat perbuatan derhaka tersebut:

Dengan takdir Allah Taala, maka rumah Sang Rajuna Tapa
pun roboh, dan kerengkiangnya pun tumbang, dan beras pun habis menjadi tanah, dan Sang Rajuna Tapa suami isteri pun menjadi batu.
(Sejarah Melayu: hlm 53)

            Kedudukan dan kedaulatan raja menjadi semakin teguh dengan adanya perjanjjian taat setia diantara raja dan rakyat. Hal ini jelas dapat dilihat dalam persetiaan Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana yang terdapat dalam teks Sejarah Melayu. Antaranya ialah raja tidak boleh mencela, menista, mengeji dan mengaibkan rakyat, manakala rakyat pula tidak boleh sekali-kali menderhaka dan menitikkan darah (membunuh) raja meskipun raja itu bersalah, jahat atau zalim. Dengan adanya perjanjian dan pengakuan rakyat terhadap kedaulatan raja, maka lahirlah ungkapan ‘pantang Melayu menderhaka’. Justeru, sewaktu pemerintahan Kesulatanan Melayu Melaka, dapat dilihat beberapa pembesar dan rakyat yang amat setia terhadap raja seperti Bendahara Paduka Raja Tun Perak yang tidak menderhaka walaupun anaknya dibunuh oleh raja, Hang Tuah yang sanggup membunuh sahabat karibnya sendiri atas arahan sultan, dan Tun Ali Hati pembesar Sultan Ahmad Syah yang tidak mahu menyembah sultan lain setelah Sultan Ahmad Syah mangkat dan sanggup dibunuh daripada mengubah kesetiaannya itu. Jelaslah di sini  bahawa raja merupakan satu konsep penting dalam masyarakat Melayu dan mereka mempercayai bahawa raja mempunyai daulat dan kebolehan yang luar biasa dan baginda tidak boleh diderhakai oleh rakyat.

3.3       Pelaksanaan undang -undang.

            Undang-undang Melayu tradisional dibentuk berteraskan adat yang diamalkan oleh mereka. Berdasarkan Sejarah Melayu, boleh dikatakan bahawa asas bagi pembentukan undang-undang adalah sewaktu berlakunya persetiaan antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana di Palembang. Persetiaan ini telah meletakkan raja sebagai sesuatu yang agung dan wajib dihormati oleh rakyat, manakala rakyat pula tidak boleh dizalimi. Bagi menjamin kedudukan dan status raja, lahirlah konsep daulat dan derhaka yang memberi kuasa mutlak kepada raja untuk membuat undang-undang. Undang-undang yang dibuat tidak secara nyata dan perlaksanannya adalah berdasarkan sesuatu hukuman yang dipraktikkan dalam satu-satu masa. Dalam Sejarah Melayu ada diceritakan mengenai hukuman yang dikenakan ke atas penderhaka. Penderhakaan boleh dimaksudkan sebagai orang yang tidak mengikut perintah raja atau melakukan sebarang tindakan yang menyinggung dan mencabar hak dan kedudukan raja. Undang-undang yang membawa hukuman mati ke atas penderhaka pertama kali dijatuhkan kepada Tun Jana Khatib yang dikatakan cuba menawan hati isteri baginda dengan menunjukkan kebijaksanaannya membelah pohon pinang melalui tilikan mata.
            Terdapat juga hukuman yang bersifat umum dan mungkin untuk kepentingan seluruh masyarakat. Undang-undang ini tidak melibatkan raja, namun hukuman bagi kesalahan tersebut masih ditentukan oleh raja. Di antara undang-undang umum itu ialah kesalahan memfitnah orang lain. Sejarah Melayu memperlihatkan pelaksanaan undang-undang ini melalui hukuman bunuh yang dikenakan ke atas Bendahara Seri Maharaja kerana fitnah yang dibuat oleh Kitul dan Raja Mendeliar. Terdapat juga undang-undang yang mengenai bersekedudukan dengan isteri orang. Sesiapa yang melanggarnya boleh dihukum bunuh oleh suami perempuan tersebut tanpa mengira ia seorang pembesar mahupun sultan. Undang-undang ini dapat dilihat dengan jelas dalam Sejarah Melayu dalam episod Sultan Mahmud Syah berlaku curang dengan isteri Tun Biajid. Jika Tun Biajid tidak berpegang pada konsep pantang Melayu menderhaka kepada sultan, pastinya Sultan Mahmud Syah sudah dibunuh. Sejarah Melayu juga tidak ketinggalan dalam memaparkan undang-undang yang melibatkan kecurian dan mengambil harta atau barang orang lain. Undang-undang ini dipraktikkan sewaktu zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah. Waktu itu, terlalu kerap berlaku kecurian dan baginda sendiri keluar mengawal pada waktu malam dan membunuh setiap pencuri yang ditemuinya. Berdasarkan tindakan sultan itu menunjukkan sabit kesalahan mencuri, seseorang itu boleh dihukum bunuh. Memang diakui bahawa undang-undang yang dilaksanakan kadang-kala lebih menguntungkan raja, namun masyarakat Melayu dapat menerima keadaan tersebut dan mereka sedar undang-undang yang dikenakan adalah untuk menjamin keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.   

            Sulalat al-Salatin merupakan eksperimen agung pengarangnya yang berusaha melakarkan jiwa serta perlakuan bangsanya.  Melalui cerita yang dikendalikan sebagai sumber yang sarat dengan sifat lisan pengkisah membawa kita ke dalam hasrat, mimpi, dan cita-cita bangsa itu sendiri.  Manakala kesedihan, kegembiraan, adat istiadat, dan nilainya digambarkan dengan terperinci melalui karya bertulis.  Sastera lama merupakan gedung ilmu tentang bangsa Melayu yang digarap melalui bahasa, sejarah, kesusasteraan, kehidupan politik, adat istiadat, dan agamanya.  Oleh itu, jelaslah bahawa sastera bukanlah sekadar untuk hiburan semata-mata malah didalamnya terkandung nilai sejarah yang mempunyai falsafah sesuatu bangsa yang penting untuk dikaji dan diteliti.   

4.0       Falsafah Melayu dalam Bustan al-Katibin

            Linguistik Melayu yang diupayakan oleh tokoh setempat dan serantau di Alam Melayu dapat dikesan titik awalnya pada pertengahan abad ke-19 iaitu dengan mengambil tarikh terhasilnya karya tatabahasa Melayu oleh Raja Ali Haji. Karya itu berjudul Kitab Bustan al-Katibin yang dihasilkan pada tahun 1850.Bustan al-Katibin ialah sebuah karya paling awal mengenai bahasa Melayu berkaitan pelajaran ejaan dan tatabahasa Melayu yang disusun oleh ilmuwan dan budayawan Melayu yang ulung, iaitu Raja Ali Haji.

Bustan al-Katibin  merupakan karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, budaya dan pemikiran luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa.  Karya ini dianggap warisan bangsa dalam erti kata bahawa ia mewakili ‘minda’ dan pengalaman bersama bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana yang dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradisi ilmu, adat, bahasa, seni, dan pekerti budaya dan sosial yang membentuk citra identiti ketamadunan bangsa itu.

Menurut Hashim (2009), dalam Islam, memang ada perkaitan yang dalam antara pemahaman bahasa atau ilmu dengan pentauhidan kepada Allah. “Dalam Islam, pengajian bahasa khususnya bahasa Arab dan bahasa penganut Islam yang lain, merupakan alat untuk mencapai makrifat iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan, memperteguh keimanan dan ketakwaan, dan menyemai adab kesopanan yang mulia yang mengandungi ilmu-ilmu lain seperti nahu (sintaksis), sharaf (morfologi) dan sebagainya,”. Hal ini demikian merupakan falsafah-falsafah Melayu yang diterapkan oleh pengarang dalam karya.

Sekitar tahun 1827, Raja Ali Haji bersama ayahnya menunaikan ibadah Haji ke Mekah. Kemudian, beliau tinggal di sana selama setahun untuk memperluas pengetahuan agama. Di Mekah, beliau sempat belajar beberapa bidang keislaman dan ilmu bahasa Arab daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani. Berbekalkan pengembaraan intelektual dan pengalaman yang telah dilaluinya, Raja Ali Haji tumbuh menjadi pemuda berwawasan luas. Meskipun usianya muda, beliau sudah dikenali sebagai seorang ulama yang sering kali diminta fatwanya oleh pihak kerajaan. Dalam Bustan al Katibin, Raja Ali Haji tampil sebagai seorang askar kerajaan untuk menjaga keberlangsungan tradisi dan budaya Melayu. Falsafah Melayu Raja Ali Haji yang merupakan pemikiran beliau dinyatakan melalui nilai dan norma-norma Islam.

4.1 Kepentingan Ilmu dalam Masyarakat Melayu

Bustan al-Katibin merupakan karya Raja Ali Haji berkaitan tatabahasa Melayu yang menjadi warisan berharga kepada penyambungan tradisi pengajian bahasa dalam Islam yang bermula sejak zaman awal Islam lagi. Dalam Islam, pengajian bahasa khususnya bahasa Arab dan bahasa penganut Islam yang lain, merupakan alat untuk mencapai makrifat iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan bahasa mampu untuk memperteguh keimanan dan ketaqwaan dan menyemai adab kesopanan selain  mengandungi ilmu-ilmu lain seperti nahu dan sebagainya. Raja Ali Haji telah menggariskan tatabahasa  Melayu berdasarkan maksud dan matlamat pengajian bahasa yang digariskan oleh tradisi pengajian Islam tersebut. Di sinilah letaknya falsafah Melayu Raja Ali Haji dalam tradisi persuratan Melayu, yang meletakkan asas pengajian bahasa Melayu pada tempat yang sebenar iaitu bahasa sebagai alat untuk memperoleh ilmu yang benar yang akan membawa kepada keyakinan dan ketaqwaan.

            Selain itu, Raja Ali Haji menyatakan bahawa terdapat kaitan yang erat antara kebolehan berbahasa dan adab sopan yang mulia dengan ilmu yang tinggi. Tegas beliau dalam Bustan al-Katibin:
…adab dan sopan itu daripada tutur kata juga asalnya, kemudian baharulah pada kelakuan. Bermula apabila berkehendak kepada menuturkan ilmu dan berkata-kata yang beradab dan sopan, tak dapat tiada mengetahuilah dahulu ilmu yang dua itu iaitu ilmu wa al-kalam (pengetahuan dan pertuturan). Adapun kelebihan ilmu wa al-kalam amat besar sehingganya mengata setengah hukama’ segala pekerjaan pedang boleh diperbuat dengan qalam, adapun pekerjaan-pekerjaan qalam tiada boleh diperbuat dengan pedang…
                                                                                      (Bustan al-Katibin: hlm 3)
Bagi Raja Ali Haji, keturunan dan pangkat yang tinggi akan menjadi perkara yang sia-sia tanpa ilmu yang sahih, akal budi yang luhur dan adab sopan yang mulia. Hal ini demikian disokong berdasarkan penyataan berikut:
“…jikalau beberapa pun bangsa (keturunan) jika tiada ilmu dan akal dan adab, ke bawah juga jatuhnya”.
                                                                                    (Bustan al-Katibin: hlm 2)
Beliau juga telah menerangkan kelebihan ilmu dan akal untuk meletakkan tujuan yang sebenarnya dalam pembelajaran bahasa. Ilmu yang paling penting yang harus dipelajari oleh orang Islam ialah agama Islam. Oleh itu, sebelum beliau memulakan penghuraian tentang bahasa Melayu, terlebih dahulu dihuraikan secara terperinci adab dan syarat menuntut ilmu yang sebenarnya merupakan asas teknik dan psikologi pendidikan yang mampu melahirkan orang Melayu yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi juga boleh bercakap  dengan budi bahasa dan adab sopan yang mulia dengan ilmu yang sahih dan benar. Raja Ali Haji juga menegaskan bahawa proses pendidikan yang dapat membawa kepada disiplin jasad, akal dan unsur rohaniah perlu disemai dalam diri setiap individu. Dengan cara ini, masyarakat Melayu akan mencari, memperoleh dan mengamalkan ilmu yang benar bagi mencapai matlamat daripada proses pendidikan.

Di samping itu, dalam karya ini, Raja Ali Haji mengatakan bahawa Jikalau beberapa pun bangsa jika tiada ilmu dan akal dan adab, ke bawah juga jatuhnya, yakni kehinaan juga diperolehnya.” Berdasarkan penyataan ini, Raja Ali Haji mengaitkan hubungan yang erat antara ilmu, akal dan adab.  Maksudnya, masyarakat atau bangsa akan menjadi masyarakat yang unggul sekiranya mereka diberi ilmu yang benar seterusnya ilmu ini dapat  membentuk akal dan adab masyarakat.

4.2       Adab Menuntut Ilmu
Raja Ali Haji menekankan ketertiban dalam setiap perkara. Oleh itu, adab mampu membawa kepada ketertiban ilmu seperti yang diutarakan oleh beliau dalam Bustan al-Katibin:

“…tiap-tiap perkara itu ada yang terlebih besar dan ada yang kecil, ada yang tinggi, ada yang rendah, ada yang mulia, ada yang hina, ada yang pendek, ada yang panjang, ada yang halus, ada yang kasar…Maka didahulukan yang terlebih besar daripada yang kecil, didahulukanlah yang tinggi daripada yang rendah…perkara ugama terlebih tinggi daripada perkara dunia dan perkara kerajaan terlebih tinggi daripada perkara perniagaan..perkataan “buang air besar” dan “buang air kecil” terlebih mulia daripada perkataan “berak” dan “kencing”…”
                                                                  Bustan al-Katibin: hlm71-73)
Kaedah menulis surat kiriman yang diutarakan oleh Raja Ali Haji dalam kitab uni adalah mengukuhkan dan mengesahkan ketertiban atau martabat ilmu yang membawa kepada kesahihan dan kebenaran ilmu dalam Islam. Kemudian, Ali Haji menunjukkan hubungan ilmu dengan kalam iaitu bahasa. ”Adapun kelebihan ilmu wal kalam amat besar sehingganya mengatasi setengah hukama’, segala pekerjaan pedang bisa diperbuat dengan kalam. Adapun pekerjaan-pekerjaan kalam tidak bisa diperbuat dengan pedang, maka ini ibarat yang terlebih sangat nyatanya.  Dan beberapa ribu dan laksa pedang yang sudah terhunus, dengan seguris kalam jadi tersarung, terkadang jadi tertangkap dan terikat dengan pedang sekali.”

Seterusnya, Raja Ali Haji menerangkan apabila seseorang sudah mengetahui kelebihan ilmu, maka individu tersebut harus memelihara adab dan syaratnya. "Adapun syaratnya itu, iaitu antara nafsumu dengan dirimu sendiri. adapun adabnya itu antaramu dan gurumu".

Raja Ali Haji juga menjelaskan dalam kitab ini, terdapat lima syarat untuk menuntut ilmu. Pertama, seseorang perlu mempunyai keinginan untuk menuntut ilmu. Kedua, seseorang perlu sentiasa mengulang perkara yang telah dipelajari. Ketiga, muzakarah, bermaksud melakukan perbincangan bersama agar masing-masing mengingati perkara yang dipelajari. Keempat, mutala’ah, bermaksud sentiasa memikirkan perkara yang tidak difahami dan individu tersebut perlu bertanya kepada sahabat mereka apabila melakukan perjumpaan. Kelima, sekiranya, sahabat tersebut tidak dapat membantu untuk menjelaskan sesuatu perkara yang tidak difahami, individu tersebut perlu bertanyakan yang kita kemusykilan tersebut kepada guru.

4.3       Kebahasaan berdasarkan Al-Quran dan Hadis

Berdasarkan pandangan Raja Ali Haji tentang pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu berkait rapat dengan kewujudan dan kejadian alam semesta. Oleh itu, pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu seharusnya menjadi alat dan wahana yang membawa ke arah pengenalan, pengertian, pemahaman, pengucapan, pengungkapan, penyampaian, pemujaan, pemujian dan pengakuan terhadap Allah.

Raja Ali haji menekankan bahawa perkara paling utama yang harus dipelajari oleh orang Melayu tentang bahasanya ialah ilmu yang terkandung di dalamnya kerana bahasa padanya ialah alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar tentang alam ciptaan Allah. Dengan mengikuti adab dan syarat menuntut ilmu, pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi bercakap dengan budi dan adab sopan yang mutlak dengan ilmu yang sahih dan benar. Inilah falsafah Melayu yang dinyatakan dalam Bustan al-Katibin iaitu kebahasaan berdasarkan al-Quran dan hadis.

Malah, Raja Ali Haji sangat menekankan hubungan yang erat antara bahasa, akal dengan pengakuan adanya Allah SWT kerana pelajaran bahasa cenderung bersifat sekuler. Menurut, sarjana Barat, bahasa berfungsi sebagai alat untuk mengekspresikan diri, alat untuk berkomunikasi, alat untuk integrasi atau adaptasi sosial dan alat untuk melakukan kontrol sosial. Hal ini demikian menunjukkan bahawa pelajaran bahasa yang membebaskan manusia dari penciptanya menjadikan bahasa itu digunakan sewenang-wenangnya seterusnya mengakibatkan hilang adab berbahasa dan muncul bahasa-bahasa atau kata-kata yang tidak bermutu.

5.0   Falsafah Melayu dalam Tuhfat al-Nafis  

            Tuhfat al- Nafis adalah buku sejarah karangan Raja Ali Haji, sasterawan dari Kepri dan pangeran Kesultanan Riau-Lingga keturunan Bugis. Buku ini ditulis pada tahun 1885 dalam huruf Jawi. Dalam buku ini dicatat kejadian-kejadian yang berlangsung pada abad ke 18 dan 19 di berbagai negeri Melayu. Tuhfat al-Nafis menceritakan sejarah kerajaan Riau-Lingga, sebuah kerjaan Melayu yang paling kompleks dan canggih. Dari segi geografi, Tuhfat Al-Nafis meliputi peristiwa di kalangan semua kerajaan Melayu di Semenjung Melayu dan Kepulauan Riau-Lingga (termasuk Singapura), di Siak (Sumatera Timur), di Kalimantan Barat, di Sulawesi Selatan, dan di Betawi.

            Bangsa Melayu boleh berbangga kerana memiliki seorang pujangga besar yang telah melahirkan karya agung, Tuhfat al- Nafis. Karya sastera ini membuat orang kagum kerana dibuat secara profesional. Menurut Taufik Ismail, sumbangan Raja Ali Haji tidak kalah dari apa yang telah diberikan oleh tiga orang Pahlawan Nasional dari Riau lainnya (Tuanku Tambusai, Sultan Syarif Kasim II, dan Raja Haji Fisabilillah). Jika ketiganya banyak bergerak dalam dimensi perjuangan fisik, maka Raja Ali Haji banyak bergerak dalam bidang pencerahan dan pencerdasan bangsa. Dia tidak berperang menghunus pedang atau memberikan sumbangan kewangan bagi masyarakatnya, tetapi dengan keintektualannya melalui karya tulis. Dalam Tuhfat al-Nafis banyak terkandung falsafah yang dipegang oleh masyarakat pada zaman dahulu.

Tuhfat al-Nafis merupakan suatu karya sastera yang mampu mencipta kesan ke atas daya fikir pembacanya, iaitu karya yang mengandungi falsafah dan dapat difahami mesej falsafah si pengarang. Kesan falsafahnya juga terang dan jelas supaya pembaca sedar akan falsafah yang terkandung dalam karya itu. Dalam karya Tuhfat al Nafis juga mengandungi banyak falsafah yang tersirat yang hendak disampaikan oleh Raja Ali Haji kepada pembacanya.

            Raja Ali Haji banyak mengetengahkan pemikiran Islam dalam setiap karyanya, termasuklah dalam karya Tuhfat al Nafis. Elemen utama yang mewarnai dunia kepengarangannya tidak dapat dipisahkan dari konsep dan landasan Islam yang begitu kukuh. Pemikiran ini banyak ditemukan dalam karya agungnya, Tuhfat al-Nafis yang dipengaruhi oleh latar belakang keluarga dan sistem pendidikan yang diterima oleh pengarangnya. Hal ini dapat dilihat pada awal penulisan Tuhfat al-Nafis yang dimulai dengan bismillah dan puji-pujian kepada kebesaran Allah dan pujian kepada Nabi Muhammad S.A.W.

I-hamdu Li’Llah al-ladhi khalaka al-dunya wa al-akhira bi kudrati-Hi wa khalaka al-insan badi ‘san ‘ati-Hi wa hikmati-Hi: yakni segala puji-pujian bagi Allah yang telah menjadikan dunia dan akhirat dengan kuasa-Nya dan kehendak-Nya dan telah menjadikan manusia yang indah-indah perbuatan-Nya dan hikmat-Nya. Fa al-salat wa al-salam ‘ala Sayyidina Muhammad sayyid al-anam wa akmal al-khalk al-tamm udian maka diiringi pula dengan rahmat Allah dan salam Allah atas Penghulu kita Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam.
                                                            (Tuhfat al-Nafis: hlm 1)
5.1       Adat istiadat dan pantang larang Diraja

            Tuhfat al-Nafis turut membincangkan tentang adat istiadat dan pantang larang Diraja. Sultan Muhammad Syah merupakan pemerintah pertama yang memperkenalkan pelbagai adat resam dan larangan terhadap darjat Diraja di Melaka. Di antara adat resam itu seperti yang dinyatakan dalam Tuhfat al-Nafis ialah penggunaan payung, persidangan di istana, pemberian hormat, tatacara kedatangan dan pemergian perwakilan, penganugerahan darjah, keberangkatan diraja, upacara menghadap diraja dan sebagainya. Di antara larangan yang dikeluarkan kepada orang kebanyakan oleh Sultan Muhammad Syah juga termasuklah penggunaan warna dan bahan kuning, pembinaan rumah atau sampan, pemakaian keris, emas dan perhiasan serta jenis pakaian yang boleh dipakai oleh orang kebanyakan. Barangsiapa yang tidak mematuhi larangan yang dikeluarkan akan dikenakan denda yang dipanggil denda pati.

            Adat dan larangan yang diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah masih digunapakai oleh pemerintah Melayu sehingga kini akan tetapi pada tahap yang lebih ringan. Wujudnya adat resam dan larangan ini jelas menunjukkan bahawa wujudnya perbezaan darjat yang tinggi antara kerabat diraja dengan golongan kebanyakan pada ketika itu. Pemikiran masyarakat pada zaman dahulu jelas menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada golongan pemerintah, iaitu raja. Segala adat resam dan pantang larang yang dinyatakan dipatuhi tanpa bantahan bagi menzahirkan ketaatan mereka kepada raja. 

Syahadan baginda Sultan Muhammad Syah ialah raja Melayu mula-mula meletakkan adat Melayu seperti kekuningan yang tertentu kepada raja jua, melainkan kekuningan itu jika diambilkan baju dan kain dan destar, maka (yang) ((tiga)) perkara itu boleh. ((Dan)) demikian lagi larangan juga berbuat rumah beperanginan dan tiang beralas tiada terletak ke tanah dan rumah berpebalaian dan berpelantaran. Dan (jika) perahu larangan juga seperti perahu bertingkap dan berpengadapan. Dan berlarang juga bergelang kaki emas keroncong kepala perak sekalipun tiada dapat orang keluaran memakainya, jika kaya sekalipun ((melainkan dengan anugerah raja jua maka boleh. Dan lainnya daripada adat yang tentu kepada raja-raja dan kepadanya)) anak raja-raja jua.
                                                                                    (Tuhfat al-Nafis: hlm 8)
5.2       Penelitian terhadap falsafah moral.

            Daripada penelitian terhadap falsafah moral Raja Ali Haji seperti tercermin dalam karya ini kita dapat melihat bahawa sarjana Muslim seperti Raja Ali Haji tidak memiliki pemikiran dualistik terhadap persoalan benda dan roh (spirit). Kedua-duanya dilihat secara sepadu dan saling mempengaruhi. Tidak seperti setengah sarjana Barat yang cenderung meremehkan roh (spirit), Raja Ali Haji meletakkan roh dalam Khalif Muammar A. Harris ditempat yang lebih tinggi berbanding benda, dan pengabaian aspek ini akan memberi kesan yang besar pada kebahagiaan dan kehidupan manusia di dunia. Justeru, dalam usaha untuk melahirkan pemimpin dan penjawat awam yang berintegriti, tidak mengamalkan rasuah, amanah, jujur dan disiplin, kesejahteraan hati daripada penyakit atau sifat-sifat tercela itu perlu ditangani terlebih dahulu. Dengan kata lain Raja Ali Haji berpandangan bahawa persoalan paling sulit dalam politik mendapat jawapannya  melalui alam Tasawuf. Kita juga dapat melihat bahawa falsafah moral Raja Ali Haji ini merupakan intipati ajaran yang terdapat dalam Tasawuf yang telah disarikan oleh para ulama’ sufi daripada al-Qur’an dan al-Sunnah.

Tema Tuhfat al-Nafis lebih cenderung tentang cerita-cerita raja dan masyarakat Bugis kerana pengarang, iaitu Raja Ali Haji mempunyai hubungkait keturunan dengan kaum Bugis. Dalam hal ini pengarang adalah keturunan daripada Yang Di Pertuan Muda yang kedua iaitu Opu Daeng Cellak. Pengarang juga cuba menaikkan imej lima bersaudara Opu Bugis. ini dapat dilihat apabila pengarang cuba mempengaruhi pemikiran pembaca mengenai kehandalan pahlawan Bugis. Kecondongan Raja Ali Haji terhadap semangat Bugis menyebabkan beliau lebih menggambarkan tentang kehandalan pahlawan-pahlawan Bugis yang sememangnya handal dalam peperangan sehingga mereka dapat memegang beberapa jawatan tinggi dalam tampuk pemerintahan kerajaan Melayu Johor pada ketika itu.

Di samping itu juga, pengarang juga memasukkan unsur-unsur mitos dalam penulisannya. pengarang cuba menyatakan susur galur keturunan mereka berasal daripada Puteri Balkis.

Adalah Sitti Mallangkik itu pada setengah kaul Bugis, keturunan daripada Puteri Balkis konon.
                                                             (Tuhfat al-Nafis: hlm 25)


Perkataan ‘konon’ yang digunakan oleh pengarang telah menimbulkan keraguan. Pengarang seolah-olah menggambarkan cerita yang disampaikan adalah tidak benar dan tidak boleh dipercayai oleh pengarang sendiri. Pada hakikatnya Puteri Balkis merupakan isteri kepada Nabi Sulaiman. Hal ini adalah mitos semata-mata kerana pengarang ingin memberikan keabsahan tentang kedatangan Bugis di Johor-Riau. Karya Melayu yang menggambarkan asal usul Bugis dapat dilihat dalam Tuhfat Al Nafis. Karya ini mengisahkan kedatangan orang Bugis yang dihubungkan dengan mitos bahawa orang Bugis di Tanah Melayu adalah keturunan Nabi Sulaiman yang menikah dengan Puteri Balkis. Perkahwinan itu melahirkan seorang penguasa wanita yang bernama Sitti Mallangik, yang berkuasa di Palangi (ada yang mengatakan Selangi). Wanita itu kemudian menikah dengan Raja Bugis yang Berkuasa di Luwuq .

Selain itu, pengarang menjadikan penulisannya sebagai tempat meluahkan perasan. Ini dapat dilihat apabila pengarang menjadikan Tuhfat Al Nafis sebagai tempat untuk menceritakan kegiatan keluarga Siak-Minangkabau yang sudah sekian lama menjadi musuh nenek moyang mereka. Disamping itu, juga, keturunan pengarang bermusuhan dengan Raja Kecil atas perebutan Siak dengan Bugis. Selain itu juga, pengarang juga menggunakan Hikayat Siak sebagai sumber rujukan untuk penulisan Tuhfat Al Nafis.

5.3 Orang Melayu dan Keris

            Dalam Tuhfat al-Nafis juga menonjolkan falsafah orang Melayu terhadap keris. Bagi masyarakat Bugis, keris yang terdapat pada masa itu mempunyai pengaruh yang kuat dalam budaya masyarakat Melayu. Pengaruhnya melebar dari Selatan Sulawesi hingga ke Semenanjung Malaysia, Selatan Sumatera dan kepulauan Riau-Lingga terutamanya daripada segi rekabentuk sampir dan hulu keris. Keris Bugis ditempa pada umumnya berfalsafahkan untuk mempertahankan diri dan pertikaman. Oleh itu, bilah keris yang ditempa lebih tebal dan berat bagi mendapatkan kekuatan dan kekukuhan. Keris Bugis pada kebiasaannya mempunyai corak pamor yang cantik berserta dengan hiasan yang dinamakan tuli-tuli dan batir yang melambangkan status sosial pemiliknya.

6.0       Penutup
            Karya Agung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, budaya dan pemikiran luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa.  Karya-karya yang dihasilkan pada suatu masa dahulu telah menjadi lambang kepada keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya. Hal ini membolehkan kesan seni, budaya dan falsafah dikekalkan sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Karya ini dianggap warisan bangsa yang perlu dipertahankan dan wajar menjadi sumber rujukan kepada generasi akan datang.

            Ilmu falsafah yang membicarakan soal dasar manusia dan cuba mencari jawapan sebenar terhadap sesuatu persoalan. Dalam konteks karya agung, falsafah membicarakan soal dasarnya, iaitu kesusasteraan. Falsafah juga merupakan suatu seni berfikir secara kreatif. Penghargaan juga perlu diberikan kepada Yayasan Karyawan kerana telah berusaha untuk mengumpulkan kembali semua karya agung agar tidak dilupakan oleh generasi muda. Sejak penubuhannya, Yayasan Karyawan telah berjaya menerbitkan 14 judul Karya Agung dan 1 judul Buku Pengenalan Karya Agung.  Penerbitan Karya Agung memberi penekanan terhadap aspek kualiti dalam menghasilkan Karya Agung yang dapat meninggalkan impak yang mendalam dalam karya tersebut. Penerbitannya juga dilaksanakan secara teliti dan melalui penyelidikan oleh para sarjana yang berwibawa dan pakar dalam bidang pengkhususan masing-masing.


Bioliografi
Ding Choo Ming (2009). Pentingnya falsafah dan kepercayaan dalam sastera Melayu lama.          Jurnal ASWARA, 99-118.

Haron Daud (1993). Sejarah Melayu satu kajian daripada aspek pensejarahan budaya.      Kuala   Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Awang (1984).  Seuntai mutiara klasik.  Petaling Jaya, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Hashim Musa (2005). Bustan al-Katibin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.

Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan Dewan       Bahasa dan Pustaka.

Majlis Peperiksaan Malaysia (1996).  Warna sari sastera Melayu.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Haji Salleh (1997).  Karya agung, Sulalat al-Salatin.  Kuala Lumpur : Dewan             Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Yusuf Ibrahim (2010). Sejarawan dan persejarahan Melayu. Kuala Lumpur: Tinta     publisher.

Gebang Bahasa (2010). Diperoleh pada 4 Mei 2013, daripada             http://chaimestm.blogspot.com/2010/06/sumbangan-zaba-dalam-bidang-bahasa-  
dan.html

Gerakan Bingkas Bahasa (2011). Diperoleh pada 4 Mei 2013, daripada             http://asas50.com/pitchay/2011/03/24/penulis-agung/

Hashim Musa (2008). Dua Buah Karya Ali Haji Tentang Bahasa Melayu: Meletakkan Bahasa       Melayu sebagai Tradisi Pengajian Bahasa Islam. Diperoleh pada April 16, 2014 daripada             http://melayuonline.com/ind/article/read/555/dua-buah-karya-raja-ali-haji-tentang-  bahasa-melayu-meletakkan-bahasa-melayu-sebagai-tradisi-pengajian-bahasa-islam

Insistnet (2012). Diperoleh pada 4 Mei 2013, daripada         http://insistnet.com/index.php?option=com_content&view=article&id=447%3Abahasa- dan- tauhid-warisan-raja-ali-haji&catid=33%3Anuim-hidayat&Itemid=15

Keobjektifan Tuhfat al-Nafis (2009). Diperoleh pada April 17, 2013 daripada  http://koleksi          nota-sejarah.blogspot.com

Mohamad Basri Amir Hamzah (2010). Diperoleh pada 4 Mei 2013, daripada             http://www.rasdian.edu.my/portal/index.php?option=com_content&task=view&id=365

RM Khalid (2010). Diperoleh pada 4 Mei 2013, daripada
            http://www.rmkhalid.com/2010_09_12_archive.html

Yayasan Karyawan (2013). Diperoleh pada 4 Mei 2013, daripada    http://www.yayasankaryawan.com

No comments:

Post a Comment