Nilai ilmu dan maklumat
Daripada kajian sastera tradisional
Melayu, kita akan mendapat gambaran yang menyeluruh mengenai budaya ilmu orang
Melayu. Gambaran yang kita peroleh adalah dalam tradisi Melayu sumber ilmu yang
dipentingkan ialah pengalaman(praktik), adab dan budi. Ilmu berdasarkan
pengalaman dan pemerhatian lebih penting daripada ilmu abstrak. Nilai ini dapat
dilihat di dalam sastera Melayu melalui istilah ‘pandai’ iaitu pandai besi,
pandai keris, pandai emas dan sebagainya. Petua orang tua-tua sangat dipercayai
dan dijadikan rujukan ilmu (yang juga penting untuk memelihara adat dan warisan
bersama). Tradisi ilmu Melayu juga mengiktiraf dan cukup menghormati orang yang
menguasai ilmu batin (mistik), ilmu ramalan dan ilmu bahasa.
Budi bahasa turut ditekankan dalam
masyarakat Melayu tradisional. Budi harus dibentuk melalui proses
pemasyarakatan, pengalaman dan juga melalui akal fikiran. Penggunaan akal
fikiran penting dalam membentuk ‘akal budi’ iaitu akal yang berlandaskan budi,
dan dengan demikian akan lahirlah kebijaksanaan. Menurut Syed Muhammmad Naquib
Al-Attas (1969) di dalam Hassan Ahmad, tradisi sastera Melayu mengalami
perubahan yang besar setelah kedatangan Islam. Sastera Melayu yang pada awalnya
bersifat artistik dan romantik berubah kepada sastera yang bercorak
intelektual, rasional dan saintifik berdasarkan teologi dan falsafah Islam.
Kedatangan Islam membawa pandangan hidup yang baru ke alam pemikiran dan
kepercayaan Melayu. Jelaslah bahawa salah satu ciri penting keagungan karya Melayu
terdapat pada ketamadunan ilmu yang terpancar pada karya. Pengarang karya
sastera tradisional Melayu telah memperlihatkan keupayaan dan keterbukaan minda
untuk menyerap ilmu dan nilai baru yang dipelajari daripada Islam untuk
mengukuhkan tradisi bangsanya.
Sulalatus Salatin
Ilmu firasat
Melalui
ilmu firasat, seseorang dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan orang lain,
antaranya berdasarkan nama, hari atau ketika. Hal ini penting terutama dalam
kalangan pahlawan kerana ia dapat membantu mereka menewaskan musuh. Sejarah
Melayu memaparkan dengan jelas perkara tersebut dalam episod serangan Melaka ke
atas Pahang.Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan-pahlawannya mengejar
Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri. Dalam usaha itu, Seri Bija Diraja,
tidak tergesa-gesa seperti orang lain kerana beliau tahu musuhnya itu tidak
akan terlepas dari tangannya.Hal ini dapat dilihat daripada kata-kata beliau:
Di
mana kamu semua orang muda-muda tahu? Kerana
Maharaja
Dewa Sura ini sudah aku kira-kirakan, namanya
di
bawah namaku, dan harinya di bawah hariku dan ketiaknya
di
bawah ketiakku, di mana ia aku lepaskan daripada tanganku?
(Sejarah Melayu: 74)
Ramalan Seri Bija Diraja itu memang
tepat. Beliaulah yang berjaya menangkap Maharaja Dewa Sura. Telah disebutkan
juga bahawa Hang Tuah turut memiliki ilmu hikmat dan juga ilmu firasat. Satu
daripadanya dapat dilihat sewaktu Raja Melaka hendak berangkat ke Majapahit
untuk berkahwin dengan puteri negeri tersebut. Masa yang dipilih oleh Raja
Melaka dipersetujui oleh Hang Tuah kerana menurutnya hari tersebut adalah waktu
geroda dikalahkan oleh ular atau membawa maksud pihak yang kuat dapat
dikalahkan oleh pihak yang kecil.ramalan Hang tuah itu ternyata tepat apabila
beliau dan rombongan tersebut beroleh kejayaan di Majapahit.
Kepercayaan
terhadap ilmu firasat mungkin boleh dikaitkan dengan konsep ‘memilih ketika’
dalam kalangan masyarakat Melayu. Sehubungan dengan itu, mereka akan memilih
ketika yang baik untuk memulakan rancangan seperti mendirikan rumah tangga,
mengerjakan sawah, dan memulakan perjalanan untuk merantau. Bagi mereka hal itu
penting untuk mengelakkan daripada bencana atau sebarang malapetaka. Ramalan
juga boleh dibuat berdasarkan petunjuk daripada tanda-tanda luar biasa atau
mimpi. Bendahara Paduka Raja pernah meramalkan Tun Mutahir akan menjadi orang
besar dan terkenal melebihi dirinya tetapi tidak kekal. Ramalan itu dibuat
tatkala suatu pagi dia terlihat kepala Tun Mutahir bercahaya. Setelah Tun
Mutahir dewasa ternyata ramalan itu benar.
Pendukunan
Kepercayaan
masyarakat Melayu pada peringkat awal adalah berbentu animisme yang mempercayai
kuasa ghaib. Menyentuh mengenai kuasa ghaib, disebabkan ia hanya dapat
dihubungi oleh orang-orang tertentu, maka lahirlah kepercayaan masyarakat
terhadap dukun atau bomoh. Bomoh atau dukun ini memainkan peranan penting dalam
semua upacara yang dipercayai melibatkan kuasa ghaib terutamanya hantu. Beliau
akan memulakan setiap upacara penyembahan dan menyampaikan persembahan kepada
kuasa itu. Selain daripada itu bomoh dipercayai dapat menghalau hantu yang
merosak atau mengganggu anggota masyarakat.
Bomoh juga dapat menghubungi semua
kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Beliau dapat
melemahkan binatang-binatang tersebut dengan jampi serapah yang digunakan.
Sejarah Melayu menyebutkan bahawa Sultan Pahang memiliki ramai pawang gajah.
Mereka berperanan dalam menangkap dan menjaga gajah tersebut. Sejarah Melayu
turut merakamkan mengenai Seri Wak Raja yang digelar penghulu gajah.
Memandangkan gajah menjadi kenaikan utama raja atau alat pengangkutan yang
penting bagi masyarakat Melayu tradisional, adalah wajar terdapat ramai bomoh
gajah dalam kalangan masyarakat.
Strata sosial masyarakat
Struktur
sosial merupakan komponen atau set sosial di mana setiap komponen berfungsi
sehingga membolehkan masyarakat tersebut terus wujud. Masyarakat Melayu
tradisional sebagai sebuah organisasi yang mempunyai struktur sosialnya
sendiri. Lapisan masyarakatnya terdiri daripada golongan raja, bangsawan atau
pembesar, rakyat biasa dan hamba. Sejarah Melayu jelas menggambarkan kewujudan
bentuk tersebut. Raja dan keluarganya menduduki lapisan paling atas dengan
autoriti dan kuasa yang mutlak. Di bawahnya adalah golongan bangsawan. Mereka
umumnya terdiri daripada pembesar negeri yang menjalankan tugas yang diserahkan
oleh raja atau atas perintah baginda. Ia diikuti dengan golongan rakyat biasa.
Dan golongan yang menduduki tangga paling bawah ialah hamba. Susun lapis
masyarakat dapat dilihat dengan jelas apabila Demang Lebar Daun menyerahkan
takhta kerajaan kepada Seri Teri Buana. Beliau turun menjadi Magkubumi
(Bendahara). Bentuk sedemikian diwarisi oleh masyarakat Melayu Melaka dan
terdapat juga di negeri-negeri Melayu yang lain. Di Melaka, dengan mengambil
contoh pemerintahan Sultan Muhammad Syah, golongan raja terdiri daripada Sultan
dan keluarganya. Golongan bangsawan termasuklah Bendahara, Temenggung, Penghulu
Bendahari, Laksamana, Syahbandar dan pembesar-pembesar yang lain. Golongan
rakyat biasa merupakan rakyat yangbebas menjalankan segala aktiviti harian
mereka.
Walaupun mereka bebas, dalam masa tertentu mereka boleh dikerah oleh
raja atau pembesar sama ada untuk berperang atau menjalankan titah raja. Sebagai
contoh, Tun Perak sewaktu ingin menentang serangan Siam, beliau telah membawa
anggota daerahnya yang lelaki dan perempuan ke Melaka. Orang lelaki
dikehendakai melawan tentera Siam bersama tentera Melaka. Sultan Mansur Syah
pula pernah menggunakan golongan ini untuk menyiapkan istana dalam masa sebulan
setelah istana yang didudukinya terbakar. Golongan yang paling rendah dalam
struktur sosial ialah golongan hamba. Penempatan mereka di tahap yang paling
bawah sesuai dengan taraf dan fungsi sosial mereka. boleh dikatakan dalam semua
aspek kehidupan, mereka tidak dapat bertindak mengikut kemahuan sendiri.
Seseorang tuan pula dikatakan memiliki status yang tinggi jika memiliki ramai
hamba. Terdapat beberapa panggilan untuk hamba iaitu sahaya, abdi, dan biduanda.
Pembahagian itu dibuat berdasarkan keturunan dan cara mereka menjadi hamba.
Hamba yang berstatus tinggi ialah hamba raja, kedua hamba berhutang atau orang
berhutang, dan yang ketiga ialah hamba abdi atau sahaya.
Adat istiadat
Berdasarkan Sejarah Melayu, Yusof
Iskandar mengatakan bahawa adat serta istiadat dalam masyarakat Melayu
dimulakan oleh Sultan Muhammad Syah. Beliau berpendapat sedemikian berdasarkan
ayat dalam Sejarah Melayu yang berbunyi, “maka Sultan Muhammad Syah pun
mengatur takhta kerajaan baginda”. Dalam proses mengatur mengatur takhta
kerajaan atau melaksanakan sistem pemerintahan, Sultan Muhammad Syah pastinya
melibatkan undang-undang dan larangan diraja yang ringkasnya disebut sebagai
adat dan pelaksanaan aturan negeri dan upacara tertentu yang dikenali sebagai
istiadat. Berdasarkan Sejarah Melayu, boleh dikatakan asas undang-undang
terbentuk sewaktu berlangsungnya persetiaan diantara Demang Lebar Daun dan Seri
Teri Buana yang meletakkan raja sebagai sesuatu yang agung dan wajib dihormati
oleh rakyat. Manakala golongan rakyat pula tidak boleh dizalimi oleh raja.
Untuk menjamin status dan kedudukan raja, maka lahirlah konsep daulat dan
derhaka yang memberi kuasa kepada raja untuk membuat undang-undang.
Memandangkan sesuatu undang-undang tidak dibuat secara nyata dalam Sejarah
Melayu, jadi perlaksanaan undang-undang harus didasarkan kepada sesuatu hukuman
yang dipraktikkan. Hukuman yang dikira palin berat ialah bunuh. Hukuman ini
boleh dijatuhkan kepada orang yang menderhaka, membuat fitnah, mencerca atau
biadab dan mengambil isteri orang. Dalam
Sejarah Melayu ada diceritakan mengenai hukuman yang dikenakan ke atas
penderhaka. Penderhakaan boleh dimaksudkan sebagai orang yang tidak mengikut
perintah raja atau melakukan sebarang tindakan yang menyinggung dan mencabar
hak dan kedudukan raja. Undang-undang yang membawa hukuman mati ke atas
penderhaka pertama kali dijatuhkan kepada Tun Jana Khatib yang dikatakan cuba
menawan hati isteri baginda dengan menunjukkan kebijaksanaannya membelah pohon
pinang melalui tilikan mata.
Terdapat
juga hukuman yang bersifat umum dan mungkin untuk kepentingan seluruh
masyarakat. Undang-undang ini tidak melibatkan raja, namun hukuman bagi
kesalahan tersebut masih ditentukan oleh raja. Di antara undang-undang umum itu
ialah kesalahan memfitnah orang lain. Sejarah Melayu memperlihatkan pelaksanaan
undang-undang ini melalui hukuman bunuh yang dikenakan ke atas Bendahara Seri
Maharaja kerana fitnah yang dibuat oleh Kitul dan Raja Mendeliar. Terdapat juga
undang-undang yang mengenai bersekedudukan dengan isteri orang. Sesiapa yang
melanggarnya boleh dihukum bunuh oleh suami perempuan tersebut tanpa mengira ia
seorang pembesar mahupun sultan. Undang-undang ini dapat dilihat dengan jelas
dalam Sejarah Melayu dalam episod Sultan Mahmud Syah berlaku curang dengan
isteri Tun Biajid. Jika Tun Biajid tidak berpegang pada konsep pantang Melayu
menderhaka kepada sultan, pastinya Sultan Mahmud Syah sudah dibunuh. Sejarah
Melayu juga tidak ketinggalan dalam memaparkan undang-undang yang melibatkan
kecurian dan mengambil harta atau barang orang lain. Undang-undang ini
dipraktikkan sewaktu zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah. Waktu itu,
terlalu kerap berlaku kecurian dan baginda sendiri keluar mengawal pada waktu
malam dan membunuh setiap pencuri yang ditemuinya. Berdasarkan tindakan sultan
itu menunjukkan sabit kesalahan mencuri, seseorang itu boleh dihukum bunuh.
Memang diakui bahawa undang-undang yang dilaksanakan kadang-kala lebih
menguntungkan raja, namun masyarakat Melayu dapat menerima keadaan tersebut dan
mereka sedar undang-undang yang dikenakan adalah untuk menjamin keharmonian dan
kesejahteraan masyarakat.
Istiadat
meliputi pelbagai bentuk upacara yang dijalankan oleh sesuatu kelompok manusia.
Dalam Sejarah Melayu, terdapat beberapa istiadat yang dilaksanakan oleh
golongan raja dalam masyarakat Melayu tradisional seperti istiadat perkahwinan,
melenggang perut, melahirkan anak, kematian, dan pertabalan raja. Istiadat
perkahwinan dalam Sejarah Melayu memperlihatkan istiadat perkahwinan diraja
sewaktu perkahwinan Seri Teri Buana dengan Wan Sedari anak kepada Demang Lebar
Daun. Namun terdapat beberapa upacara penting yang tidak diceritakan seperti
peminangan dan pernikahan. Ia sekadar menyebut Seri Teri Buana menyuruh orang-orangnya
pergi meminang dan mereka dikahwinkan. Upacara ini dilangsungkan tidak secara
Islam kerana mereka masih beragama Hindu-Buddha dan mas kahwinnya juga
berbentuk persetiaan . Walaupun upacara meminang dan akad nikah tidak
diceritakan, namun upacara permandian dan berjaga-jaga dinyatakan dengan jelas.
Upacara permandian ini merupakan salah satu upacara dalam agama Hindu. Bagi ibu
yang sedang mengandung pula, mengikut adat Melayu ibu yang ingin melahirkan
anak sulung perlu melenggang perut terlebih dahulu apabila genap tujuh bulan
usia kandungan. Istiadat ini dilakukan kononnya bertujuan untuk membetulkan
kedudukan anak di dalam kandungan dan menyenangkan kelahirannya kelak. Istiadat
ini kemudiannya diikuti dengan istiadat menyambut kelahiran bayi. Istiadat ini
dapat dilihat dalam Sejarah Melayu sewaktu Tun Fatimah melahirkan anak
lelakinya. Sulatan Mahmud Syah menyuruh orang memalu gong dan gendang serta
memasang bedil sebagai tanda kegembiraan. Bayi itu dimandikan, diazankan dan
selepas tujuh hari dilaksanakan istiadat bercukur dan terus diberikan nama.
Istiadat penabalan raja merupakan istiadat yang amat penting bagi negeri yang
mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Pelaksanaan istiadat ini tidak ada
ketentuan masa kerana pertabalan raja baru kadang-kala dibuat sebaik sahaja
raja yang memerintah negeri itu mangkatdan kadangkala dijalankan serentak
sewaktu upacara perkahwinan. Dalam Sejarah Melayu, pertama kali istiadat ini
dipraktikkan apabila Seri Teri Buana dijadikan Raja Palembang. Dalam istiadat ini,
gendang nobat dipalu dan sesudah ditabalkan hulubalang menjunjung duli baginda.
Sejarah Melayu turut mencatatkan menabalan Raja Ali (anak Sultan Mahmud Syah
dan Tun Fatimah) sebagai raja Melayu yang bergelar Sultan Alauddin Riayat Syah
sewaktu baginda berusia 40 hari. Manakala bagi raja-raja yang lain
kebanyakannya hanya sekadar disebutkan menggantikan raja yang mangkat.
Hikayat Abdullah
Hikayat
Abdullah merupakan sebuah karya agung dalam kesusasteraan Melayu. Karya ini
merupakan sebuah dokumen sosial yang tiada bandingnya pada zaman itu . karya in
bukan sahaja menceritakan mengenai sebuah dunia peralihan dari zaman Kerajaan
Melayu Melaka ke zaman colonial Eropah. Abdullah membahagikan bukunya kepada
dua puluh sembilan bab. Antara cerita dan catatan yang menarik dalam karya
beliau ialah tentang pemecahan Kota Melaka oleh Inggeris, pembukaan Singapura
oleh Raffles, kedatangan Gabenor Besar Lord Minti dari India ke Melaka sewaktu
Inggeris hendak menyerang Jawa, pengunpulan manuskrip Melayu oleh Raffles,
penyerahan kota Melaka oleh Inggeris kepada Belanda, sistem pendidikan
peribumi, penubuhan sebuah sekolah sekular oleh Raffles di Singapura,
kemunduran sistem pemerintahan feudal Melayu, kongsi gelap Cina, kepercayaan
kolot dalam masyarakat Melayu dan Cina di Melaka, dan perang candu antara
Inggeris dan Cina.
Pendidikan masyarakat Melayu
Abdullah
dalam tulisannya turut mengkritik sistem pendidikan Melayu pada masa itu.
Beliau tidak gemar dengan sistem pendidikan Melayu ketika itu yang tidak
menyediakan tempat untuk belajar bahasa Melayu sendiri dan pelajaran agama pula
setakat pandai membaca Al-Quran tanpa memahami kandungannya. Abdullah amat
menitikberatkan pendidikan dalam kalangan orang Melayu agar orang Melayu tidak
mudah ditipu oleh bangsa lain. Kritikan beliau terhadap pendidikan masyarakat
Melayu dapat dilihat dalam teks Hikayat Abdullah :
…adalah
sebesar-besar hairan dalam hatiku sebab hal adat orang kita Melayu itu,
yang
tiada diperbuat-buat oleh bangsa yang lain dalam dunia ini diperbuatnya! Adakah
segala
bangsa manusia dalam dunia ini membuangkan bahasanya sendiri, tiada bertempat
belajar
bahasanya itu, melainkan yang kulihat orang Melayulah yang tiada
mengendahkannya.
Adapun
sebab diperbuatnya demikian itu, kerana nenek moyang dahulu tiada berbuat adat
belajar
bahasanya itu, sampai sekarang pun ia tiada berani berbuat itu. Hairan aku!
Tetapi
sehari-hari
ia bertutur dengan bahasa Melayu dan barang suatu yang hendak diperbuatnya
itu
dengan bahasa Melayu dan berkirim surat daripada sebuah negeri dengan bahasa
Melayu.
Akan tetapi tiada mau belajar akan bahasanya itu! Barangkali dalam
seratus
tiada seorang yang mengerti. Maka kalau ada sekalipun, bukannya dengan
dituntutnya,melainkan
dengan tiru-meniru, dilihatnya orang lain berbuat demikian,
ia
pun berbuat. Maka jikalau diperiksa orang akan dia, apa ertinya perkataan ini,
apa
asalnya dan apa sebab dipakai di tempat ini, maka tercengang-cengang ia
tiada
terjawab sebab ia tiada berguru,melainkan meniru sahaja. Maka patutkah
beribu
laksa orang-orang itu hidup dengan tiada tau membaca surat dan menyurat
dan
tiada tau berkira-kira, menjadi diolok-olokkan oleh orang bangsa lain dan
ditipu
orang akan diadalam sukatan dan timbangan dan runding-merunding,
istimewa
pula dalam hal tulis menulis dan karang mengarang dan sebagainya.
(Hikayat Abdullah: hlm 350-351)
Abdullah
mengkritik pendidikan masyarakat Melayu pada waktu itu kerana beliau telah
mendahului masyarakat pada zaman tersebut kerana beliau merupakan pengagum
sains dan teknologimoden yang datang dari Eropah. Dalam hikayat ini beliau
turut menceritakan mengenai hikmah-hikmah sains dan teknologi khasnya apabila
beliau melihat sendiri sebuah kapal yang ke Singapura dan menyaksikan
demonstrasi sebuah alat pengambil gambar atau kamera. Seperkara yang menarik
tentang pemikiran Abdullah ialah mengenai pendapat beliau tentang perlunya
disusun sebuah nahu bahasa Melayu. Malah beliau sendiri bercita-cita untuk membuat
demikian. Dalam pengalamannya mengajar bahasa Melayu kepada Mubaligh Eropah,
beliau mengahadapi masalah kesalahan menterjemah secara harfiah. Hal ini
berlaku kerana pada waktu itu bahasa Melayu belum mempunyai sebuah buku nahu dan guru bahasa Melayu seperti Abdullah
menemui kesulitan untuk menghuraikan struktur bahasa Melayu. Menurut Abdullah:
…hendaklah pula engkau mengetahui bahawasanya bahasa
Eropah
itu pada tiap-tiap hari dari dulu sampai sekarang
ini pun diperbaiki
dan diterangkannya jalannya dan ditebasnya
semak-samunnya dan
disapunya sampah-sarapnya, maka lorong-lorongnya itu
pun telah
diaturkannya serta diletakkannya pula masing-masing
perkataan
itu dengan hukum-hukumnya. Dan lagi pula, ia pun
seperti hal Melayu
juga, meminjam perkataan bahasa lain dijadikan
bahasanya sendiri.
Maka sebab itulah pada perasanku terlalu senang
diketahui bahasa
itu. Maka pada tengah malam kelam boleh melarikan
kereta diatasnya,
sebab sekaliannya sedia dengan peraturannya. Bermula
bahasa Melayu
ini bukankah seperti hutan rimba besar keadaannya,
penuh dengan semak-
samun dan duri pen berceracangan dan akar pun
bersengkarut dan kayu pun
lintang-pukang pun bersimpang-siur dan tanahnya pun
tinggi rendah?
Maka daripada zaman adanya bahasa itu sampai
sekarang ini adakah seorang
pun yang bernafsu hendak membetulkan atau
mengaturkan jalannya atau
hukumannya?
(Hikayat Abdullah: hlm 249)
Kepercayaan dan adat istiadat.
Di
dalam hikayat ini juga, Abdullah turut menceritakan mengenai bermacam-macam
jenis hantu, jin dan jembalang yang dipercayai oleh masyarakat Melaka : Melayu
dan Cina. Dalam menyampaikan pemikiran beliau yang rasionalis dan humanis,
Abdullah ingin menghapuskan adat atau kepercayaan yang tidak sesuai dengan
zaman sains dan teknologi. Tentang perkara khurafat dalam masyarakat Melaka
pada waktu itu, Abdullah berkata:
Maka
sungguhpun ia itu menjadi, tetapi bukannya daripada kuasa
syaitan-syaitan
itu, melainkan sebab yakin dan percaya hati orang
yang
meminta itu, maka dilorongkan oleh Allah kehendaknya. Maka
adalah
sesungguhnya yang kudapati pekerjaan itu sama adanya
seperti
orang yang menyembah berhala. Maka dengan sebenar-benarnya
kita
ketahui berhala itu tanah dan batu, atau kayu, emas atau perak,
yang
tiada berkuasa mengadakan baik atau jahat ke atas manusia.
Maka
oleh sebab yakin dan percaya orang yang menyembah akan dia
itu,
iaitu dilorongkan Allah kehendaknya. Maka sangka orang bebal
itu,berhala
itulah menjadikan itu. Demikianlah adanya. Segala hantu
syaitan
yang disebutnya itu pun halnya kudapati bohong dan tipu
dan
perdaya dan silap mata. Maka sebab itulah berani akau bersumpah
menyebut
nama Allah mengatakan bukannya benar, semata-mata kejahatan
dalamnya
dunia dan akhirat. Maka adapun orang yang percaya dan orang
yang
berbuat dan orang yang membenarkan pekerjaan itu sama hukumnya
menduakan
Allah, sekali-kali tiada yang lain daripada Allah yang boleh
memberi
baik atau jahat, dan yang mematikan dan menghidupkan, dan yang
mendatangkan
sesuatu bahayaatau kesukaran diatas hambanya. Maka
jikalau
kiranya ada yang lain berkuasa daripada-Nya, nescaya dengan
seketika
juga binasalah dunia ini dengan isi-isinya.
(Hikayat Abdullah: hlm 115)
Berdasarkan tulisan beliau dapatlah dilihat
bahawa Abdullah tidak mempercayai perkara-perkara khurafat yang menjadi
kepercayaan kebanyakan orang Melayu ketika itu. Abdullah yang memiliki ilmu
mengenai agama Islam hanya mempercayai kekausaan Allah S.W.T. Penyakit mempercayai
perkara-perkara khurafat dan tidak meletakkan Allah sebagai kuasa tertinggi ini
masih lagi terdapat dalam masyarakat Melayu masa kini. Abdullah turut
mengkritik mengenai sikap zalim raja Melayu di negeri-negeri Melayu. Beliau
tidak bersetuju dengan sikap orang Melayu yang terlalu menghormati raja
sehingga mereka ditindas oleh raja. Keprihatinan Abdullah terhadap nasib
bangsanya dapat dilihat berdasarkan petikan ini:
Adapun
segala hal ehwal mereka itu sekalian senantiasa bersama-sama
dengan
aku. Maka kulihat hal ehwal mereka itu dan tabiat itu dan kelakuan
mereka
itu dan adat mereka itu daripada kecilku sampailah sekian umurku,
maka
kuperhatikan juga, maka adalah kudapati bangsa Melayu itu semakin
lama
usahkan semakin pandai, makin pula bodoh adanya. Maka kuselidik-selidik
dalam
perasaanku, maka kudapatilah akan sebabnyaitu atas beberapa perkara
tetapi
dalam antara perkara yang banyak itu terlebih yang mendatangkan
celaka
atas mereka itu, iaitu sebab zalim dan aniaya perintah raja-rajanya,
berlebih-lebihan
diatas segala rakyatnya, sehingga hati rakyat itu seumpama
tanah
yang tiada berbaja lagi. Maka sebab itulah tiada boleh bertumbuh barang
suatu
pekerjaan atau pengajaran atau ilmu atau kepandaian yang baik dalamnya.
Hanya
ia hidup seperti pohon katu dalam hutan. Maka barang di manaditiup angin
disanalah
ia rebah. Dan lagi kuperhatikan ia itu selalu diperintah oleh bangsa yang
lain
,dan lagi kulihat adalah ia itu seperti ikan yang kecil-kecil maka gunanya itu
menjadi
makanan segala ikan yang besar-besar…
(Hikayat Abdullah: hlm 344)
Bustan Al-Salatin
Bustan
Al-Salatin telah dikarang pada tahun 1963 di Acheh oleh seorang ulama terkenal
, Syeikh Nuruddin Al-Raniri. Buku ini dianggap sebagai buku ketatanegaraan.
Walau bagaimanapun, dua bab tertentu di dalamnya membuat para sarjana
mengagapnya juga sebuah karya historiografi. Bustan Al-Salatin juga mempunyai
nilai keagamaan yang tinggi serta pengajaran moral yang baik. Bustan Al-Salatin
merupakan karya yang meliputi pengetahuan agama, sejarah atau nasihat.
Usur mimpi
Dalam
karya historiografi Melayu tradisional lain, unsur mimpi memainkan peranan
penting. Di dalam fasal 13 Bustan Al-Salatin ini juga ada mengemukakan unsur
mimpi walaupun dalam dua episod sahaja. Nuruddin menceritakan bahawa Sultan
Iskandar Muda telah bermimpi tentang air persiraman puterinya dan Iskandar
Thani. Sultan Iskandar Muda telah bermimpi pada malam Isnin, 12 Jamadilakhir
iaitu turun sebuah mahligai daripada cahaya dengan perhiasannya berisi air
mandi dibawa oleh malaikat dari langit. Malaikatlah yang memandikan kedua-dua
pasangan muda itu. Keesokannya Sultan Iskandar Muda menitahkan bahawa mereka
tidak perlu lagi dimandikan oleh Syeikh Syamsuddin dan Kadi Malik al-Adil.
Mimpi kedua pula ialah mimpi yang
muncul dalam tidur seorang pembuat batu nisan. Setelah Sultan Iskandar Thani
mangkat, baginda digelar Marhum Dar al-Salam. Permaisurinya yang menjadi sultan
memerintahkan jurubatu nisan mencipta satu batu nisan yang terbaik untuk makam
suaminya. Waktu tersebutlah Marhum Mahkota Alam muncul dalam mimpi jurubatu
supaya melebihkan perbuatan batu pada makam Marhum Dar al-Salam.
Kedua-dua mimpi ini telah
mempengaruhi tindakan secara sedar orang yang terlibat dalam mimpi berkenaan.
Unsur mimpi tidak dianggap membawa makna sesuatu, tetapi merupakan komunikasi
langsung daripada satu pihak di dunia tidak nyata dengan pihak di dunia nyata.
Adat istiadat
Gambaran yang
terperinci mengenai adat istiadat pertabalan Sultan Iskandar Thani yang bermula
sejak Sultan Iskandar Muda membawa baginda ke Acheh dari Pahang setelah yakin
bahawa anak raja Pahang akan menjadi seorang raja besar. Malah Sultan Iskandar
Muda sendiri yang mengarahkan dilaksanakan adat istiadat tersebut. Istiadat
lain yang diceritakan ialah acara berarak mengelilingi Masjid Bait al-Rahman,
perkahwinan, dan acara-acara lain yang berkaitan dengan acara keagamaan. Dalam
acara-acara ini, Nuruddin juga menyebutkan dengan terperinci mengenai pakaian,
dan perhiasan yang dipakai serta paying kebesaran dan binatang kenderaan
seperti gajah, kuda dan lain-lain. Istiadat lain yang disebut ialah istiadat
menghormati utusan dari luar dengan mengarak utusan itu dengan sewajarnya
mengikut pangkat masing-masing.
Pengaruh
Islam
Karya ini mengetepikan
unsur-unsur penulisan yang berbau mitos dan dongeng. Nama-nama dan gelaran yang
digunakan untuk raja dan pembesar semuanya berunsur Islam. Nama negeri Acheh
sendiri ialag Acheh Dar al-Salam sedangkan negeri-negeri Melayu lain belum lagi
menggunakan nama Islam. Pengaruh Islam bukan hanya pada hal penting dalam
sesuatu upacara seperti berarak mengelilingi masjid Bait Ar-Rahman dan
sebagainya, upacara menyambut bulan puasa dan hari raya, upacara berkaitan
kemangkatan, perkahwinan dan lain-lain. Ada juga disebutlan bahawa Sultan
Alauddin telah mengarahkan supaya tenteranya memakai jubah dan menyimpan
janggut. Sultan Iskandar Thani pula lebih tegas menjalankan hukuman Islam
dengan menguatkan larangan berjudi, minum arak dan menjilat besi.
Disamping membina masjid,
pembinaan batu nisan untuk raja juga merupakan satu acara yang dilakukan dengan
penuh istiadat. Unsur pentarikahan juga terdapat kesan pengaruh Islam.
Penendaan waktu mengikut waktu sembahyang seperti Zohor dan Asar jelas adalah
unsur Islam. Unsur yang digunakan ini jelas menggambarkan masyarakat yang
digambarkan oleh Nuruddin adalah masyarakat Islam yang telah sebati dengan cara
hidup Islam. Pengaruh Islam juga kuat kerana sewaktu karya ini ditulis, Islam
telah bertapak lama di Acheh dan menjadi agama pegangan masyarakatnya. Jelaslah bahawa apabila kita
membaca Bustan Al-Salatin, kita membaca sebuah karya sastera Melayu -Islam.
Bibliografi
Hassan Ahmad (2000). Pengenalan konsep dan gagasan karya agung.
Kuala Lumpur. Yayasan karyawan.
Haron Daud (1993). Sejarah Melayu satu kajian daripada aspek
persejarahan budaya. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jelani Harun (2004). Bustan Al-Salatin. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim Ahmad (2004). Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur:
Yayasan Karyawan
Muhammad
Yusuf Ibrahim (2010). Sejarawan dan
persejarahan Melayu. Kuala Lumpur: Tinta publisher.
Siti Hawa Haji Salleh (1992). Bustan Al-Salatin.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian
Pendidikan Malaysia.
No comments:
Post a Comment