KONSEP
KARYA AGUNG.
KONSEP
& TAKRIF
Ø KONSEP
UMUM
Tamadun
sesuatu bangsa merupakan warisan daya cipta bangsa itu yang dapat dikenali dan
dipelajari berdasarkan karya-karya ulung para karyawan, seniman, pemikir, ahli
falsafah dan ilmuwan bangsa itu sepanjang sejarahnya. Yang dimaksudkan dengan
karya ulung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah
dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran ataupsyche dan ingatan
bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan
nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya seperti itu. Takrif yang asas
ini menjadi dasar untuk menghuraikan konsep dan ciri-ciri Karya Agung Melayu
atau Dunia Melayu.
Ø TAKRIF
"DUNIA MELAYU"
Dari
segi geografi, Dunia Melayu dikatakan meliputi kawasan teras yang kadang-kadang
disebut Nusantara atau Gugusan Pulau-pulau Melayu. Takrif yang agak jelas
(walaupun masih boleh dibahaskan) ialah berdasarkan bahasa. Bahasa Melayu
menjadi lingua franca di kawasan yang disebut “Dunia Melayu” itu sejak lama
dahulu. Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang mampu merentas sempadan
geografi dan sempadan etnik yang mentakrif atau mencirikan kawasan yang disebut
Dunia Melayu itu. Bahasa Melayu menjadi alat utama yang digunakan sebagai
wahana penghasilan karya persuratan yang penting dalam sejarah kawasan ini,
kawasan yang terdiri daripada pelbagai bangsa atau kumpulan etnik, pelbagai
agama, dan pelbagai bahasa. Istilah “Melayu” yang digunakan untuk menamakan
kawasan luas yang disebut “Dunia Melayu” itu tidak merujuk kepada orang Melayu
atau bangsa Melayu atau etnik Melayu atau kepada agama tetapi kepada bahasa
Melayu, bahasa yang digunakan oleh penduduk pelbagai etnik dan pelbagai agama.
Kawasan
induk Dunia Melayu meliputi negara Indonesia, Malaysia, Negara Brunei
Darussalam, Singapura dan Patani hari ini, mewarisi sejarah budaya atau sejarah
ketamadunan yang sama sejak kedatangan pengaruh asing dari India (lebih dua
ribu tahun dahulu), hingga ke zaman pengislaman, dan sampai ke zaman penjajahan
Barat pada abad ke-16.
Kesan
daripada sejarah budaya atau proses ketamadunan yang panjang, berwarna-warni
dan pelbagai aspek ini dapat dilihat dalam corak dan watak kesusasteraan
tradisional di seluruh kawasan ini: kesusasteraan yang memperlihatkan
kebijaksanaan kolektif penduduk peribumi dan pembina budayanya melakukan proses
penerimaan, penyesuaian, dan penolakan budaya sehingga akhirnya tercerna suatu
tradisi bersama yang mencirikan “jati diri” tamadun Dunia Melayu.
MAKSUD
KARYA AGUNG
Ø KARYA
AGUNG MELAYU
KARYA
AGUNG ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran,
pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu
bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan
tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta
bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita
mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui
karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman
dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang
besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau
dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan
warisan bangsa hingga ke zaman ini.
Karya
Agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman,
penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme,
nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya
melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni,
budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu.
Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi
sastera ini.
Karya
Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan
(pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak
mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada
orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang
Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya
itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di
manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk
dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan,
falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.
Ø KARYA
AGUNG DUNIA MELAYU
KARYA
AGUNG DUNIA MELAYU dimaksudkan kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang
terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang
lain. Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam
bangsa berkenaan sebagai karya agung, antaranya Nagarakertagama atau Serat Centhini
yang ditulis dalam bahasa Jawa, atau I la Galigo yang ditulis dalam bahasa
Bugis. Karya-karya yang seperti ini jika sesuai dengan takrif Yayasan, boleh
diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu dan bolehlah dimasukkan ke dalam
rancangan Yayasaan untuk dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa
Melayu melalui terjemahan.
Rujukan:
Rujukan:
Hassan
Ahmad. (Ketua Ed.) , (2005). Pengenalan
konsep dan gagasan karya agung. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
Mustafa Mohd
Ali (1999). Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih. Selangor: Utusan Publication Sdn. Bhd
No comments:
Post a Comment